Dah Sapu Krim Pelembap Tapi Masih Tak Cukup, Doktor Ini Bincang Kenapa Kulit Kering Berlaku

Perubahan cuaca yang panas dan lembap dan bekerja dalam bilik yang mempunyai pendingin hawa membuatkan kulit wajah cepat menjadi kering. Ditambah pula dengan sikap tidak menjaga kebersihan pengunaan pelitup muka menjadikan masalah ini semakin serius. Kali ini Nona telah mendapatkan pandangan daripada Medical Director, Alainn Clinic, Dr. Nurul Ain Abdullah – MB BCh BAO (NUI,Ire) MSc (UCSI) tentang masalah kulit kering yang melanda wanita.

Foto: Koleksi Peribadi Dr. Nurul Ain Abdullah

Ramai wanita sedar tentang perubahan kulit yang menjadi semakin sensitif dan kering. Walaupun telah berusaha melembapkan kulit dengan krim pelembap namun usaha mereka gagal. Sebagai pakar estetik yang berpengalaman luas dalam bidang kecantikan, Dr. Nurul Ain mengatakan masalah kulit kering adalah perkara yang sering dihadapi oleh wanita masa kini.

Foto: Koleksi Peribadi Dr. Nurul Ain Abdullah
Foto: Koleksi Peribadi Dr. Nurul Ain Abdullah

“Walaupun sudah menggunakan krim pelembap tapi masih tidak mencukupi, mengapa begitu? Sebenarnya krim pelembap wajah berfungsi untuk melembapkan permukaan kulit atas (epidermis). Walau bagaimanapun, mereka yang berada dalam fasa umur 30 tahun ke atas, akan menghadapi pengurangan kandungan Hyaluronic Acid pada lapisan dermis (lapisan kedua kulit).

Foto: Koleksi Peribadi Dr. Nurul Ain Abdullah

Fungsi Hyaluronic Acid ini ialah untuk memerangkap kelembapan pada permukaan kulit. Jadi jika ia semakin berkurangan akan menyebabkan kulit menjadi kering lebih cepat,” jelas Dr. Nurul Ain tentang mengapa krim pelembap sahaja tidak mencukupi untuk mengatasi masalah kulit kering.

Solusi untuk menghalang kulit kering adalah dengan melakukan rawatan yang tepat. Rawatan yang paling sesuai untuk mengatasi masalah kulit kering terbahagi kepada dua iaitu;

Epidermis (lapisan kulit luar) – penggunaan krim pelembap yang mengandungi Hyaluronic Acid.

Dermis (lapisan kedua) – suntikan Hyaluronic Acid ke dalam lapisan dermis akan merangsangkan kolagen bawah kulit sekali gus membentuk semula lapisan bawah kulit serta mengekalkan kelembapan kulit.

Terdapat 2 jenis suntikan Hyaluronic Acid di pasaran.

1. Profhilo (rawatan – perlu 2 kali suntikan jarak sebulan dan kesannya bertahan hingga 6 bulan).

2. Juvederm Volite – cuma 1 kali suntikan (kesannya boleh bertahan hingga 9 bulan). Kelebihannya boleh digunakan juga untuk garis-garis halus di bawah mata dan rawatan untuk bibir kering.

Foto: Koleksi Peribadi Dr. Nurul Ain Abdullah
Foto: Koleksi Peribadi Dr. Nurul Ain Abdullah

Nasihat Dr. Nurul Ain tentang penjagaan kulit, “Sebagai wanita penting untuk menjaga kecantikan kulit. Amalkan penjagaan kulit mengikut rutin harian, mingguan dan bulanan.

Rutin harian – Penggunaan produk penjagaan kulit yang betul untuk jenis kulit masing-masing. Pastikan penggunaan krim tabir suria sekurang-kurangnya SPF30 setiap hari untuk mengelakkan kerosakan kulit akibat matahari dan UVA/UVB yang boleh menyebabkan jeragat dan kedutan.

Rutin Mingguan – Pakai face mask atau topeng wajah untuk melembabkan kulit. Jangan lupa skrub wajah untuk menanggalkan sel-sel kulit mati.

Rutin Bulanan: Buat rawatan wajah untuk menanggalkan dan membuang whitehead atau blackhead.

Setiap 3-6 bulan bergantung pada umur, boleh membuat rawatan seperti laser atau radiofrequency target pada lapisan dermis, untuk merangsangkan kolagen dan menganjalkan kulit.

Share
Published by
Hamizatul Maizan Binti Mohamed