Pelakon Zamarul Hisham, 52, dan isterinya, Diana Rafar teruja terima menantu sulung selepas anak terunanya, Izzat Haiqal, 24, selamat bernikah dengan Dina Zakirsa, baru-baru ini. Zamarul atau nama sebenarnya Zamarul Hisham Mohamed berdoa ikatan pasangan itu disulam kebahagiaan dan turut menitipkan nasihat buat mereka. “Tahniah Izzat dan Dina. Maka bermula satu perjalanan sebagai pasangan suami isteri. Macam mana pun jalan yang bakal ditempuh, tempuhilah dengan sifat bertolak ansur.
“Saling faham memahami untuk sama-sama pastikan jalan yang dipilih menuju kebahagiaan, keharmonian, dan kekal hingga Jannah,” katanya.
Zamarul juga jelas teruja dan bersedia bergelar datuk pula. Dia sempat berseloroh dengan seorang pengikut di Instagram yang komen tak lama lagi pasti dia jadi datuk.
“Walaupun akan jadi atok (datuk), TikTok tetap ‘on’. Umur itu sekadar angka,” katanya membalas komen terbabit.
Ramai rakan artis turut mengucapkan tahniah buatnya. Mereka termasuk Aleza Shadan dan Esma Daniel.
Terdahulu, Zamarul berkongsi foto bersama pasangan pengantin serta isterinya juga pelakon Diana Rafar di Instagram.
Sumber: Harian Metro | Foto: Instagram @zamarulhisham93 & @dinazkrsaa
Jom, Berusaha Jadi WANITA CANTIK Di Mata Allah SWT Ikut 10 Ciri Yang Ustazah Ini Kongsikan!
Semua orang tahu bahawa kecantikan itu satu nilai yang tinggi. Jika mahu memilih perhiasan rumah pasti akan dicari yang cantik. Pakaian juga begitu, nilainya pada kecantikan. Makin cantik, makin tinggi harganya. Kecantikan sebenar seorang wanita terserlah melalui jiwa sehingga membentuk keperibadian seorang Muslimah sejati.
Wanita yang memiliki kecantikan sebenar sentiasa berfikiran positif, yakin diri, sentiasa bersangka baik, tidak sombong, pemaaf, berlapang dada, positif menerima teguran, ringan tulang, ceria dan penyabar. Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif berkongsi 10 ciri-ciri kecantikan sebenar bagi seorang wanita di mata Allah SWT. Paling penting ialah cantik di mata Dia, bukan pada manusia.
Hakikatnya, kebanyakan kaum Adam mengimpikan pasangan yang cantik. Begitu juga wanita yang ingin memiliki pasangan yang tampan atau sedap mata memandang.
Tetapi benarkah cantik itu yang akan dinilai apabila bergelanggang di pentas rumah tangga? Dalam bab memilih pasangan, cantik memang dianggap sebagai nilai utama. Bahkan terdapat amalan dalam sesetengah masyarakat, semakin cantik si gadis maka semakin tinggi harga mahar dan hantarannya.
Percayalah, biarpun seorang suami inginkan pasangan yang cantik tetapi hakikatnya dia lebih perlukan yang matang sebagai teman. Maka asasnya, bukan isu utama anda itu cantik atau sebaliknya. Paling utama ialah pembentukan diri dan sikap anda dalam menuju alam rumahtangga.
Maka, siapakah wanita itu?
- Wanita yang sentiasa berpegang kepada Al Quran dan Sunnah Rasul-Nya.
- Wanita yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya.
- Wanita yang sentiasa patuh dan taat kepada suaminya (jika sudah bersuami).
- Wanita yang sentiasa menutupi auratnya serta tidak berlebihan jika berhias.
- Wanita yang sentiasa menjaga kehalusan dan kesopanan dalam tutur kata.
- Wanita yang sentiasa menjauhkan diri dari sekumpulan orang yang suka membicarakan buruk orang lain dan tidak suka memfitnah.
- Wanita yang sentiasa menjaga keindahan, kemuliaan akhlak dan tingkah lakunya.
- Wanita yang sentiasa bersikap ramah dan saling menyayangi.
- Wanita yang sentiasa hormat kepada yang lebih tua dan menghargai kepada yang lebih muda.
- Wanita yang pandai menempatkan diri baik dalam tutur kata serta sikapnya ketika bergaul dan di mana jua dia berada.
Berusahalah untuk menjadi wanita yang sentiasa menyenangi dan disenangi teman-teman, bertolak ansur, pandai mengurus diri dan rumah dengan baik. Belajar dan terus belajar. Jangan selesa dengan kecantikan dan paras rupa sehingga anda menjadi seorang yang rugi untuk tidak belajar dan terus ego untuk berubah.
Buang sifat negatif dan berusaha membentuk kematangan diri. Ingat, anda akan beralih kepada sebuah kehidupan yang sangat praktikal, bukan teori yang mengasyikkan lagi. Seorang wanita biasa akan terlihat lebih cantik di mata Allah SWT. Dan, seorang wanita cantik akan terlihat jauh lebih cantik di mata Allah SWT. Wallahualam.
Tiket Konsert RM2,099 Habis Terjual, PEMINAT MALAYSIA Tak Sabar Tunggu Aksi Marcell Di Konsert Once In A Lifetime
Pencinta lagu duet Hanya Memuji, gandingan Marcell dan Shanty pasti teruja untuk menyaksikan penyanyi kelahiran Indonesia ini yang bakal mengadakan konsert Once In A Lifetime di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 23 September ini.
Selain Hanya Memuji, lagu-lagu romantis seperti Firasat, Jangan Pernah Berubah dan Peri Cintaku pasti akan menjadi sajian di konsert yang bakal mengimbau kembali kenangan dan ingatan peminat terhadap penyanyi yang mula mendapat perhatian di Malaysia pada tahun 2002 tersebut.
Selain itu, lagu terbaharunya seperti Jadi Milikku juga semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Marcell atau nama sebenarnya Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan berkata konsert ini begitu istimewa sempena meraikan tahun ke-15 penglibatannya dalam dunia muzik. Suami kepada pelakon Rima Melati Adams itu juga bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 September ini.
Menurut Marcell, dia memilih untuk mengadakan konsert solo pertamanya di negara ini berikutan Malaysia begitu dekat dengan jiwanya. Malah, Marcell turut berbuat demikian sebagai penghargaan untuk peminat di Malaysia yang banyak menghadiahkan kenangan manis buatnya.
Seluruh tenaga produksi untuk konsert Once In A Lifetime telah dibawa khas dari Indonesia. Ia bakal dipentaskan pada 23 September depan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Saya sering mengatakan ada ikatan batin dengan Kuala Lumpur. Ketika mula-mula mengadakan persembahan di sini, saya terkejut melihat sambutan dan sokongan diberikan. Sampai saat ini, saya masih menganggap Malaysia sebagai rumah kedua saya,” katanya dalam satu sidang media di Publika.
“Orang selalu berkata, hidup bermula ketika usia 40 tahun. Ia sejajar dengan harapan saya selepas ini untuk menjadi seorang penerbit, selain penyanyi dan pemain dram.
Saya berharap konsert ini menjadi permulaan untuk saya menjadi Marcell yang baharu,. Semakin dekat tarikh konsert, semakin berdebar-debar dan tidak sabar beraksi di hadapan peminat Malaysia,” ujarnya.
Konsert yang dianjurkan oleh beliau sendiri turut mendapat kerjasama Empire Live, VMC Music Indonesia dan Oleg Sabchabakhtiar dari Planet Design Indonesia. Pada konsert berkenaan, bakal menyaksikan Marcell menyanyikan 40 lagu, termasuk secara medley.
Persembahan artis yang terkenal dengan lagu Semusim ini akan diiringi oleh 14 pemuzik di bawah pimpinan Rishanda Singgih selaku Pengarah Muzik. Selain itu, Marcell juga akan berkolaborasi dengan beberapa pemuzik ternama selain menjanjikan sekurang-kurangnya 15 gimik istimewa untuk para peminatnya.
Tiket berharga RM99 hingga RM2,099 kini boleh didapati menerusi laman sesawang www.goersapp.com, kiostix.com, airasiaredtix.com dan tiket.com. Difahamkan, tiket termahal telah habis dijual kebanyakannya dibeli oleh peminat dari Malaysia dan Brunei.
Trivia Marcell
- Nama penuh Marcell ialah Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan
- Selain menjadi penyanyi, Marcell juga mahir bermain dram dan pelakon filem di Indonesia.
- Marcell merupakan suami dari bekas finalis Miss Singapore Universe 2001 Rima Melati Adams. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Ananda Siahaan.
- Perkahwinan pertama Marcell mempunyai seorang anak lelaki Edga Ian Cook.
- Penyanyi berketurunan Batak ini memeluk Islam dan mendapat bimbingan dari Syekh Muhammad Hisyam Kabbani. Syekh tersebut dikenal sebagai pengajar Sufi yang membuat Marcell jatuh cinta pada Islam.
- Anaknya, Seth turut menunjukkan minat bermain dram dan Marcell sering memuat naik sesi jamming bersama anak kesayangannya itu. Rosmah Idayu Abu Samah
Semeja Raikan Hari Jadi Anak Bersama Bekas Suami, Sikap NORA DANISH Raih Pujian Ramai “Beginilah Family Contoh..”
Siapa yang tidak mengenali pelakon jelita Nora Danish bukan? Dan baru-baru ini, Nora Danish mendapat perhatian dan pujian netizen selepas meraikan ulang tahun lkelahiran anak sulungnya, Putra Rayqal bersama-sama dengan suami, Mohamad Nedim Nazri dan bekas suaminya.
Tindakan Nora Danish yang masih boleh duduk semeja dengan bekas suaminya sekali gus membuatkan pengikutnya berasa begitu senang dan teruja. Apatah lagi melihat Nora masih lagi menjalinkan hubungan profesional dengan bekas suami, Jejai yang sudah beberapa lama sama-sama membesarkan anak mereka.
Ramai warga maya memuji sikap Nora dan menyifatkan Nora seorang wanita dan ibu yang hebat apabila meraikan ulang tahun kelahiran anak sulungnya bersama bapa kepada anaknya. Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Nora, 41, berkongsi beberapa keping foto meraikan hari jadi Rayqal ke-14 tahun yang turut dihadiri bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.
“Sambutan awal hari jadi untuk anak kami yang kini berumur 14 tahun sebelum menghantarnya ke sekolah. Kami sempat makan tengah hari bersama keluarga. Masih tidak percaya bahawa Rayqal sudah mencecah usia 14 tahun dalam masa tiga hari lagi,” tulis Nora.
Rata-rata menyifatkan apa yang dilakukan Nora wajar menjadi contoh kepada keluarga lain apabila masih sama-sama membesarkan anak walaupun tidak lagi bergelar suami isteri. Malah ramai juga yang memuji penampilan Nora Danish yang kekal anggun seperti remaja, dan saling tidak tumpah seperti kakak apabila berdiri bersebelahan dengan anaknya.
Untuk makluman, Nora dan Jejai atau nama penuhnya Rizal Ashram Ramli telah mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang cahaya kata iaitu Rayqal. Pasangan itu bagaimanapun berpisah pada 10 Julai 2008.
Nora kemudiannya berkahwin buat kali kedua dengan Mohamad Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl yang kini berusia lima tahun.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***