Dah Setahun Jadi Isteri Tengku Mahkota Kelantan, CHE PUAN SOFIE Makin Selesa Berselendang & Baju Kurung!

19 April lalu, genap setahun usia perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia (YTM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra di samping isteri tercinta, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson. Mengimbas kembali detik bersejarah tersebut, pasangan diraja ini telah melangsungkan majlis pernikahan pada Jumaat malam, 19 April 2019 dalam suasana ringkas tetapi meriah yang diadakan secara tertutup di Istana Balai Besar Kota Bahru, Kelantan.

Che Puan Sofie meskipun bukan berasal dari Malaysia dan menjalani perbezaan budaya sebelum bergelar suri hati kepada YTM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, namun beliau dilihat bijak menyesuaikan diri. Malah biarpun baru setahun menjadi keluarga diraja, penampilan dan kemunculan Che Puan Sofie telah disedari ramai bukan hanya dalam kalangan rakyat Kelantan bahkan seluruh rakyat Malaysia.

Foto perkahwinan YTM Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie

Lawatan pertama kali bertemu rakyat Kelantan ketika baru empat hari bergelar isteri Tengku Mahkota Kelantan

Ini kerana penampilan yang digayakan Che Puan Sofie cukup sopan dan manis dipandang. Masih terbayang kelibat wanita kelahiran Sweden ini yang muncul di khalayak buat pertama kalinya ketika mengikuti Tengku Muhammad Fa-iz Petra mengunjungi rakyat Kelantan yang terlantar sakit dan kurang bernasib baik. Waktu itu, Che Puan Sofie baru empat hari bergelar isteri. Lebih manis, penampilan sopannya menggayakan persalinan tradisional baju kurung biru dan berselendang polos warna senada berjaya mencuri perhatian ramai.

Begitu juga ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyaksikan Che Puan Sofie hadir bersama Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Setia berada di sisi suami tercinta, beliau kelihatan cukup anggun dalam persalinan kebaya labuh songket dan selendang kuning. Pada sebelah malam pula ketika Majlis Santapan Diraja, Che Puan Sofie menggayakan baju kurung emerald green

yang digandingkan dengan selendang rona senada.

Apa yang pasti, Che Puan Sofie bukan hanya dikurniakan raut wajah cantik semata-mata. Sebaliknya, beliau juga seorang wanita yang tidak kekok bertemu masyarakat, aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, ligat di dapur, gemar berbasikal dan pandai menjahit. Wah, memang beruntung Tengku Mahkota Kelantan!

Menerusi perkongsian Che Puan Sofie di laman media sosial miliknya, terserlah bakat menjahit beliau. Istimewanya, mesin jahit yang digunakan adalah pemberian Raja Perempuan Kelantan, YMM Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Pada bulan Ramadan lalu pula, Che Puan Sofie menyantuni orang ramai semasa jualan amal ‘meat ball’ dan ‘cinnamon bun’ hasil air tangannya sendiri di bazar Ramadan di Kota Bharu. Difahamkan beliau menggunakan sebanyak 7 kilogram daging untuk jualan ‘meat ball’ berkenaan selain tidak melepaskan peluang menyediakan juadah berbuka buat suami tercinta.

Sekitar Februari lalu, Che Puan Sofie mengenakan persalinan kurung moden berwarna biru ketika membuat kunjungan ke Sabah dan melawat Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Di sana, beliau berkesempatan melawat kelas pengajian Al-Quran bagi golongan kanak-kanak istimewa. Selain itu, Che Puan Sofie turut melawat Muzium Sabah dan mempelajari budaya serta sosioekonomi masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu. Awal Mac lepas, beliau membuat kunjungan ke tempat pembuatan songket dan wau di Kelantan.

Semoga Allah SWT memelihara rumah tangga YTM Tengku Mahkota Kelantan dan Che Puan Sofie.

 

 

Sumber: Instagram Che Puan Sofie Louise Johansson

Share
Published by
Suzi