Empat hari bertarung nyawa melawan kesakitan, akhirnya bayi comel Naufal Amsyar kembali bertemu PenciptaNya hari ini, kira-kira pukul 9 pagi tadi. Berita itu disahkan sendiri bapa bayi 10 bulan berkenaan, Nabil Fikri Anwar melalui aplikasi Whatsapp.
“Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak saya Naufal Amsyar Bin Nabil Fikri yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 9 pagi tadi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah,” katanya.
Kisah Naufal Amsyar tular sejak Selasa lalu apabila dia yang dijaga pengasuh wanita dimasukkan ke hospital dipercayai diserang sawan. Pun begitu, selepas pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata dan retak tempurung kepala.
Rentetan itu, pihak polis menahan pengasuh wanita terbabit berusia 35 tahun pada Khamis lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ni. Satu persatu gejala penderaan bayi melibatkan pengasuh terbongkar dan semakin membimbangkan. Diharapkan agar pihak berwajib dan masyarakat sekeliling lebih peka dengan situasi ini agar tidak kembali berulang.
Buat ibu bapa Naufal Amsyar, Nabil Fikri Anwar dan Noraziqah Rohmat .. tenanglah menerima pemergian anakanda tersayang. Sesungguhnya Allah itu adalah sebaik-baik perancang.
Tahniah! Izara Aishah Selamat Melahirkan Anak Perempuan, Bertuah Cucu Ini Punya 3 Nenek Cantik
Tahniah diucapkan kepada Izara Aishah dan suaminya Adib Khalid kerana telah menimang cahaya mata pertama semalam. Berita gembira ini telah dikongsikan sendiri oleh ibu mentuanya, YM Tengku Datin Seri Zawyah Tengku Izham yang turut menzahirkan rasa syukurnya atas kelahiran cucu perempuannya itu.
Izara Aishah atau nama sebenarnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin telah melahirkan anak sulungnya itu pada hari Rabu, 15 April 2020 seberat 2.9 kilogram. Mesti comel puteri kesayangan Izara dan Adib ini mewarisi kejelitaan ibunya dan kekacakan ayahnya.
Adib pula sudah pun bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa dan menyifatkan puteri yang baru lahir sebagai satu rezeki yang tidak ternilai dariNya. Anak kedua kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K), Adib turut memberitahu andai diizinkan, dia sebolehnya mahu memiliki lebih ramai cahaya mata selepas ini.
“Alhamdulillah berkat doa yang baik-baik dari semua, akhirnya impian kami untuk memiliki cahaya mata termakbul, insyaAllah. Nama untuk bayi yang bakal lahir masih belum difikirkan lagi. Apa pun, jika diizinkan saya pasang impian untuk memiliki tiga atau empat orang anak,” kata Adib kepada Media Hiburan usai majlis Baby Shower yang berlangsung di The Majapahit Residence Kuala Lumpur City Centre (KLCC) tempoh hari.
Walau bagaimanapun bayi comel yang baru lahir ini sudah pasti bertuah kerana mempunyai tiga orang nenek sekali gus. Bayangkan seorang cucu ada tiga orang nenek yang cantik dan ternama. Baik Tengku Datin Seri Zawyah mahupun Puan Safina dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin pasti teruja dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga mereka.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut mencoretkan ucapan tahniah menerusi insta story miliknya, “Alhamdulillah…makin bertambah ahli keluarga kita,” tulisnya ringkas. Aafiyah juga tentu gembira dengan pertambahan ‘geng’ barunya ini.
Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Izara dan Adib semoga kehadiran puteri comel ini akan menyinari lagi kebahagiaan berumah tangga.
Pelakon drama bersiri Ombak Rindu ini telah mengikat ikatan perkahwinan pada 17 November 2017. Majlis resepsi pasangan ini cukup eksklusif apabila memilih tema klasik dan telah direalisasikan oleh perancang perkahwinan terkenal tanah air, Dato’ Rizalman Ibrahim.
Official Photographer: @712studios
Berlesung Pipit & Bertudung Bawal, TAN SRI TENGKU MAIMUN Wanita Pertama Jadi Ketua Hakim Negara!
Selain kelibat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi tumpuan rakyat kebelakangan ini, sosok wanita bertudung bawal merah jambu ini juga mencuri perhatian ramai dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-8 yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara semalam. Yang pasti, beliau bukan calang-calang orang kerana beliau ialah Ketua Hakim Negara!
Pasti orang Kelantan cukup bangga apabila mengetahui Ketua Hakim Negara ini sebenarnya berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. Lebih manis, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mencipta satu lagi sejarah negara apabila menjadi wanita pertama dilantik jawatan berkenaan. Meskipun kecil molek saja orangnya tapi kebijaksanaan Tan Sri Tengku Maimun mengendalikan hal berkaitan perundangan tidak perlu dipertikai lagi.
Awal Mei tahun lalu, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dijemput ke Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Suratcara Pelantikan serta Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara.
Mengimbas kembali momen penting itu, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke istiadat berkenaan. Turut kelihatan dalam upacara tersebut ketika itu ialah Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anggun berbusana tradisi baju kurung rona cerah dan bertudung bawal polos, Tan Seri Tengku Maimun tenang menandatangani surat pelantikan. Begitu juga ketika mengangkat sumpah jawatan.
Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April tahun lalu. Pelantikan Tan Sri Tengku Maimun berkuatkuasa serta-merta mulai awal Mei lepas.
Mengintai latar belakang Ketua Hakim Negara yang berusia 60 tahun ini, Tan Sri Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan pernah memegang jawatan seperti Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan dan Penolong Kanan Pendaftar serta Pegawai Khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982.
Memetik infomasi dari Bernama, pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 Tan Sri Tengku Maimun merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian beliau dilantik menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama hampir empat tahun bermula 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April tahun yang sama hingga 7 Januari 2013, Tan Sri Tengku Maimun pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018.
Tidak hanya terhenti di situ, Tan Sri Tengku Maimun turut menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya mulai 26 November 2018 hingga 1 Mei 2019 sebelum diangkat sebagai wanita pertama dilantik selaku Ketua Hakim Negara.
Sumber: Astro Awani & Bernama
Walau Sibuk Menyanyi ANUAR ZAIN Akui Lebih Tenang Selepas Sertai Aktiviti Tabligh Sejak 2 Tahun Lalu
Penyanyi popular Anuar Zain yang juga adik kepada penyanyi legenda Ziana Zain mengakui dia berasa seronok dan tenang ketika menyertai aktiviti bersama jemaah tabligh sejak 2021 lalu. Anuar, 52 tahun berkata, dia masih menyertai aktiviti bersama mereka jika ada kelapangan masa. Kali terakhir dia menyertai aktiviti keagamaan itu ialah beberapa bulan lalu.
“Saya masih lagi mengikut jemaah (tabligh), tapi sekiranya ada kelapangan masa. Seronok dan tenang kalau dapat sertai aktiviti keagamaan yang dilakukan bersama-sama,” katanya menerusi sumber Harian Metro.
Anuar yang juga cukup aktif dalam misi kemanusiaan itu berkata, sekiranya tidak terikat dengan kerja seni, dia berhasrat untuk menyertai aktiviti mereka lagi. “Saya tak boleh ikut selalu sebab kerja hakiki sebagai artis, cari makan dalam karier seni sebagai penyanyi. Jadi, saya kena tengok masa yang terluang juga,” katanya.
@nadrosli831 #fyp #dakwahtabligh #artishijrah ♬ bunyi asal – nadrosli
Anuar mula aktif mengikuti aktiviti bersama jemaah tabligh sejak 2021 lalu. Malah, pernah tular video dia dan pelawak, Nabil Ahmad bersarapan bersama jemaah tabligh di sebuah masjid di Selangor. Sementara itu, Anuar juga berhasrat mahu mengerjakan solat terawih di beberapa masjid berasingan sepanjang Ramadan ini.
Anuar berkata, dia juga mahu mengajak rakan rapatnya yang berminat untuk turut serta. Katanya, ia aktiviti menyeronokkan untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang menjelma tidak lama lagi.
“Seronok sebenarnya kalau dapat menunaikan solat terawih di masjid-masjid berasingan. Tidaklah hanya berterawih di masjid yang sama saja. Sayanglah kalau kita tak buat solat terawih penuh. Jadi, saya tak mahu lepaskan peluang ini macam tu saja. Malah, satu pengalaman baru juga kalau dapat berterawih di masjid-masjid berbeza,” katanya.
Anuar berkata, dia juga akan mengerjakan solat terawih di rumah bersendirian sekiranya tidak berkesempatan melakukannya secara berjemaah di masjid kerana urusan kerja.
Sumber: Harian Metro
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***