Keinginan untuk mengubah nasib hidup dan menjana ekonomi dengan lebih baik adalah motivasi utama Noriey Bahar dalam memulakan perniagaan. Bermula dengan sekecil kecil modal, beliau terus mengorak langkah dalam bisnes seterusnya mula membina jenama PinkandBelle, yang kini membantu orang lain mencapai kulit yang lebih sihat dan cerah.
Membuka bicara mengenai jenama yang diusahakan, Sharifah Nori Bahar atau mesra disapa Noriey Bahar akui asam garam dilalui dalam kehidupan peribadi membuka ruang untuk dirinya bertapak dalam bidang kecantikan dan keusahawanan. “Saya pernah berhadapan dengan masalah kulit yang teruk seperti ekzema dan sunburn yang teruk.”
Pada ketika itu, kebanyakan produk tempatan lebih memberi tumpuan kepada penjagaan wajah, dan hanya sedikit yang memfokuskan kepada penjagaan kulit badan. Dari pengalaman peribadi ini, Noriey menyedari perlunya produk yang khusus untuk menyelesaikan masalah kulit badan. Selepas melakukan kajian menyeluruh mengenai formulasi terbaik, dia melancarkan produk di bawah jenama PinkandBelle, yang bertujuan membantu individu lain mendapatkan kulit badan yang sihat dan cerah.
Memulakan jenama ini dengan matlamat untuk membantu wanita menangani cabaran penjagaan kulit, berjaya mencipta jenama kecantikan yang bukan sahaja diminati dan dipercayai ramai tetapi juga memperoleh pengiktirafan industri.
“Saya dahulu bermula sebagai seorang mak andam. Orang tak panggil saya Noriey Bahar, tapi Noriey Bridal. Bermula dari situ, saya mengenal pasti masalah-masalah utama dihadapi bakal pengantin seperti tona kulit tak sekata dan sebagainya. Lalu, saya membuat keputusan untuk mendalami ilmu kosmetik serta kecantikan dengan menjual produk orang.
Dengan hasil jualan yang memberangsangkan, saya membuat keputusan untuk mengeluarkan produk sendiri pada tahun 2020, dengan formulasi lebih unggul untuk produk penjagaan tubuh dan kulit. Dan alhamdulillah, produk PinkandBelle kini sudah mendapat kelulusan SIRIM serta KKM,” jelas ibu kepada dua orang cahaya mata ini.
Namun siapa menyangka, di sebalik perjalanan dirinya menembusi cabang perniagaan, Noriey Bahar pernah berhadapan dengan pilihan sukar. Memiliki kelulusan diploma dalam perniagaan malah pernah ditawarkan jawatan dalam bidang sumber manusia, namun terpaksa menolaknya ke tepi demi impian membina keluarga sendiri, lantas membuka pintu rezeki baru buat dirinya menjana pendapatan dan mengubah nasib diri dan keluarga.
“Saya menjadi ibu pada usia yang agak muda, pun begitu saya enggan dilabel sekadar seorang isteri dan ibu di rumah. Saya percaya seorang suri rumah juga boleh berjaya dan membantu membesarkan keluarga dengan berbisnes, dan itu yang saya lakukan.”
Mengakui selok-belok perniagaan tidak semudah yang disangka, Noriey meminjam semangat arwah bapa yang mahu dirinya berjaya dalam berniaga. “Dulu niat nak sambung pengajian dalam ijazah, tetapi ayah pula tidak sihat. Lalu saya membuat keputusan tidak lagi menyambung pelajaran demi menjaga kebajikan ayah memandangkan saya seorang saja anak perempuan. Selepas ayah pergi, kemudian adik pula menyusul memberikan saya semangat untuk berhadapan dengan apa jua rintangan, baik bisnes mahupun kehidupan.”
Berbekalkan RM200 yang diberikan suami tercinta, Noriey dilihat berjaya meluaskan empayar perniagaannya, dan tidak sampai lima tahun penubuhan, PinkandBelle kini diiktiraf dengan pelbagai anugerah, antaranya The Best Market Development Award dan Superbrand Malaysian Choice Award. Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kualiti produk PinkandBelle, tetapi juga usaha gigih Noriey Bahar dalam mengukuhkan jenama ini sebagai pilihan utama dalam kalangan wanita Malaysia.
Noriey turut percaya bahawa setiap wanita berhak untuk kelihatan cantik dan merasa yakin dengan diri mereka sendiri. Oleh itu, visi dirinya untuk PinkandBelle adalah untuk menyediakan rangkaian produk kecantikan yang boleh digunakan oleh semua wanita tanpa mengira jenis kulit.
Dengan falsafah ini, Noriey boleh berbangga dengan pencapaiannya mencipta produk asli tanpa bahan kimia berbahaya, serta diformulasikan untuk mencapai hasil yang boleh dilihat dalam masa singkat untuk wanita yang ingin menjaga kecantikan mereka sambil memastikan kulit kekal sihat dan berseri.
Noriey juga kerap kali menekankan bahawa kejayaan produk PinkandBelle bukan hanya bergantung pada keberkesanan produk, tetapi juga kepada kepuasan pelanggan. Sebagai ‘ketua kapal’ dalam PinkandBelle, pelanggan yang gembira adalah pencapaian yang tidak ternilai dan menjadi motivasi utama beliau untuk terus berinovasi dan mengembangkan jenama ini dengan sokongan PinkandBelle Squad yang menjadi tulang belakang kejayaannya hari ini.
Kewujudan dan kejayaan PinkandBelle bukan sahaja bergantung pada dirinya sebagai seorang founder tetapi juga pada kekuatan pasukannya.
“Saya seboleh-bolehnya ingin memastikan setiap team dalam PinkandBelle mendapat latihan sewajarnya dalam memahami nilai-nilai syarikat dan visi jenama tersebut. Pasukan saya adalah aset penting dalam memastikan operasi berjalan lancar dan produk berkualiti tinggi sentiasa tersedia untuk pelanggan. Malah saya cukup berpegang teguh dengan nasihat ibu saya yang menasihati saya untuk menjadi manfaat bukan pada diri sendiri namun pada orang sekeliling.”
Menguruskan perniagaan diiringi jatuh bangun dalam perniagaan, Noriey akui tidak mudah namun percaya itu adat dalam berniaga. Memahami perniagaan kecantikan memerlukan kesabaran dan inovasi yang berterusan, Noriey tidak terlepas berdepan cabaran keperluan untuk bersaing dalam industri yang kompetitif dan memastikan perniagaannya kekal relevan.
“Sebagai pengasas produk, saya perlu bijak dalam mencari solusi untuk memperbaiki produk yang sedia ada dan mencipta produk baru yang memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai. Dengan teknologi moden, komunikasi dengan pelanggan serta mengumpul maklum balas dalam pembangunan produk adalah salah satu cara bagi mengembangkan perniagaan ini,” jelas Noriey sambil mendedahkan Queen Booster Whitening Cream menjadi salah satu produk hot seller jenamanya.
Noriey Bahar adalah inspirasi buat wanita yang ingin menceburi bidang keusahawanan. Melalui PinkandBelle, dia telah membuktikan bahawa dengan kesungguhan dan komitmen, setiap wanita mampu mencapai impian mereka. Jadi, apa agaknya kata-kata nasihat Noriey untuk semua wanita di luar sana yang ingin terjun dalam bidang perniagaan?
“Kita harus berani memulakan langkah, serta kena yakin dan percayakan diri. Jika saya tak berbuat demikian dahulu, saya tak rasa PinkandBelle wujud seperti sekarang. Terus bekerja keras dan konsisten dengan apa jua yang dilakukan. Dan yang paling penting, jangan sekadar ingin mengejar keuntungan semata-mata. Memang bisnes nak untung tapi kualiti produk harus dijaga,” akhiri Noriey Bahar.
This website uses cookies.