Penyampaian dakwah melalui platform teknologi, terbukti menjadi magnet yang mampu menarik generasi masa kini agar lebih cintakan Islam. Inilah usaha wanita hebat yang bukan sahaja bergelar pendakwah dan penceramah bebas tetapi usahawan Muslimah yang disegani, Ustazah Asma’ Harun.
Ustazah Asma tiba ke lobi Concorde Hotel Shah Alam bersama suami, Ustaz Tengku Fazli Tengku Yahya. Wajah penerima Nona Motivator Award 2022 ini terlihat begitu bersih dan menenangkan, terasa betapa indah pertemuan ini diserikan dengan silaturrahim sambil kami berbalas khabar dan bertukar salam.
Meneliti senarai portfolio dan pengalaman kerjaya Ustazah Asma’ Harun pada usia 39 tahun, sesungguhnya cukup mengagumkan.
Anak jati Terengganu itu menetap di Seremban, dikurniakan 7 orang cahaya mata serta memiliki kelulusan Sarjana Pengajian Islam dari Open University Malaysia (OUM) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Al-Azhar di Mesir.
Dalam kesibukan berdakwah, Ustazah Asma’ sebenarnya banyak menulis buku. Antara karyanya adalah Sahabat Dunia Akhirat, Kembara Menuju Allah, Ada Syurga Di Rumahmu, Hijrahku Ini Sebenarnya Untuk Siapa dan Ensiklopedia Keluarga Bahagia.
Bakat mendidik itu barangkali diwarisi daripada ibu tercinta, Puan Fikriah Awang yang merupakan seorang guru fizik.
Tidak cukup dengan menulis, siapa sangka Ustazah Asma’ turut meneruskan minat bapanya, Ustaz Harun Ismail dalam bidang dakwah dan perniagaan.
Bahkan cucu kepada murabbi Ustaz Haji Awang Abu Bakar dan cicit Tok Guru Haji Abbas yang cukup disegani di Pantai Timur itu turut bergelar usahawan dengan menerajui pelbagai cabang perniagaan Muslim.
“Saya pernah digelar ‘Ustazah Ayam’ kerana pernah meniaga ayam masa awal berceramah dahulu. Setiap minggu suami akan berulang-alik ke Kedah untuk ambil stok ayam dan setiap kali ceramah, kami akan bawa ayam frozen untuk dijual.
Hanya suami dan keluarga sahaja yang tahu betapa mencabarnya keadaan kami waktu itu.
Niatnya adalah untuk membekalkan makanan yang diyakini halal kepada orang ramai, kebetulan ketika itu sedang hangat dengan isu haiwan yang disembelih tidak mengikut syariat.
Dari situ, alhamdulillah saya mula meningkat sedikit demi sedikit hingga kami berjaya tubuhkan sebuah NGO iaitu Sahabat Amal Care (SAC).” Ustazah Asma Harun
KERJAYA
Sebelum meninggalkan jawatan tetap dalam kerajaan pada Ogos 2017, Ustazah Asma’ pernah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam JAKIM, Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JHEAINS (Perunding Cara Rumah Tangga) dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS.
Dengan tekad dan nawaitu untuk terus memberi manfaat kepada ummah, Ustazah Asma’ kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hijrah Berhad, Pengasas Yayasan Al-Hijrah, Pengarah Urusan dan peneraju di syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Hijrah Berhad serta Penaung NGO Sahabat Amal Care di Seremban, Negeri Sembilan.
“Sebelum meletak jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS pada tahun 2017, pada waktu itu saya telah pun mula terlibat dengan ceramah secara kecil-kecilan seperti usrah dan tazkirah di surau.
Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti kerja kerana ingin fokus pada dunia dakwah dan ceramah. Keputusan tersebut mendapat sokongan suami dan keluarga.
Namun, ujian dakwah tidak ringan dan memerlukan sokongan yang kuat daripada orang terdekat. Saya lalui ujian demi ujian, sehingga pernah mengalami masalah kewangan yang teruk dan ayah saya meninggal dunia sewaktu saya menyampaikan ceramah.” Ustazah Asma Harun
Baca artikel perjuangan dakwah bersama penerima Nona Motivator Award, Ustazah Asma’ Harun ini dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022 di pasaran Januari 2023.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Konsep & Penata Gaya: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Solekan: Mimie Romyza
Lokasi: Concorde Hotel Shah Alam
This website uses cookies.