Manusia, kalau hatinya sudah percaya, semua perkara nak dicerita. Nak nak kalau dengan pasangan atau kawan-kawan yang sekepala. Cuma yang membimbangkan, bagaimana jika satu saat nanti keadaan berubah? Inilah iktibar dari kronologi kes jenayah melibatkan seorang remaja perempuan yang dikatakan menjadi mangsa rakan baik sendiri.
Kejadian yang menimpa arwah Siti Nur Surya di Terengganu antara yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Baru semalam, pendakwah dan dermawan terkenal, Ustaz Ebit Lew turut dilihat menziarahi keluarga mangsa sambil memberikan kata-kata semangat kepada ahli keluarga mangsa. Kes jenayah yang masih dalam siasatan itu dipercayai didalangi rakan baiknya sendiri.
Sayu pilu sangat rasa hati perginya adik Siti Nur Surya. Sampai jer rumah mereka. Ayahnya terus datang peluk saya menangis. Terharu ustaz hadir ke sini. Saya pun tak tahan rasa sedih. Ya Allah.
Saya tak dapat lupa ustaz. Air mata asyik mengalir jer cerita tentang arwah. Arwah anak baik. Beliau selepas SPM sentiasa jaga maknya yang sakit kanser. Boleh urus seorang diri dibantu adik perempuannya tingkatan 3.
Sanggup korban belajar sebab nak jaga mak dekat rumah. Mandikan dan uruskan mak nya sentiasa. Maknya kenal saya. Katanya selalu tengok saya walau dalam keadaan tak sihat.
Beratnya ujian mereka. Tadi berkongsi kisah Nabi Yaakob AS kehilangan Nabi Yusuf AS. Kisah ujian Nabi SAW yang kita cintai. Dapat berdoa bersama semua ahli keluarga. Saya beri sedikit sumbangan. Semoga Allah beri kekuatan buat seluruh ahli keluarga – Ebit Lew
RAHSIA KITA
Kita tak pernah tahu apa yang terpendam dalam hati seseorang. Di depan baik, di belakang mungkin sebaliknya. Siapa tahu rahsia yang dikongsi ini boleh menjadi asbab yang menyusahkan kita kelak. Maka belajarlah mengunci kemas-kemas 6 rahsia ini demi keselamatan diri kita di kemudian hari.
(1) Masalah Keluarga
Rahsiakan segala hal yang terjadi dalam keluarga kita. Sedekad apa pun hubungan anda dengan orang lain, peganglah kuat-kuat rahsia ibu bapa dan adik-beradik sendiri khasnya perkara sulit seperti kesenangan atau kesusahan mereka.
(2) Pendapatan
Rahsiakan gaji bulanan, untung rugi perniagaan atau segala ganjaran bonus yang diterima kerana itu privasi anda. Masyarakat hari ini suka bermegah dengan pendapatan yang besar, sehingga kita lupa ada manusia-manusia yang cuba mengambil kesempatan dari ruang yang terbuka.
(3) Rahsia Orang Lain
Anda cukup bertuah jika menjadi orang kepercayaan seseorang, jadi jagalah rahsia mereka seperti rahsia anda sendiri. Cukup hanya dengar dan hadamkan, selebihnya jika tak berkaitan pendam saja atau lupakan rahsia itu.
(4) Impian Masa Depan
Kita selalu menganggap apa salahnya berbahagi impian dan cita-cita dengan orang lain. Boleh, tapi rahsiakan strategi atau cara yang dirancang itu untuk mencapainya. Lagipun menyimpan sesuatu tujuan untuk diri sendiri sebenarnya mempunyai kekuatan batin yang kuat untuk mendorong anda mencapainya.
(5) Sejarah Silam
Setiap orang mempunyai sejarah silam yang berbeza. Jangan diceritakan kisah itu walaupun hanya sekadar untuk diambil iktibarnya. Membicarakan masa lalu atau hubungan lampau kita pada orang lain tidak akan mengubah apa-apa. Siapa tahu anda pula yang menjadi kebencian mereka!
(6) Kata laluan
Apa sahaja kata laluan baik e-mel atau akaun media sosial serta kod pin bank harus disimpan rapi untuk diri sendiri. Jaga privasi ini agar tidak berlaku transaksi misteri di ATM. Rahsiakan hal ini di luar jangkauan siapa pun.
Nah, inilah 6 rahsia yang harus disemat kemas sepanjang hidup kita sebagai perlindungan keselamatan. Elakkan berbicara tentangnya dengan sesiapa pun, agar fikiran kita tenang dan keselamatan lebih terjamin!
Al-Fatihah untuk arwah Siti Nur Surya dan sama-sama kita doakan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
This website uses cookies.