HomeInspirasi“Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Dileraikan Bila Kami Melintasi...
“Dalam Motokar, Dia Pegang Tangan Saya. Pegangan Tangan Dileraikan Bila Kami Melintasi Tol & Jari-Jemari Kembali Bertaut Selepas Itu” – Tun Siti Hasmah
Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… hampir empat tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Ads
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Ads
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Ads
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jarang kita mendengar selebriti-selebriti terkenal antarabangsa apatah lagi model untuk menyuarakan pendapat secara lantang tentang pencerobohan Israel di Palestin. Namun tidak bagi model terkenal ini, beliau yang merupakan pilihan pelbagai jenama fesyen antarabangsa merupakan seorang wanita yang berdarah keturunan Palestin dari sebelah bapanya, Mohamed Hadid.
Sedih dengan apa yang menimpa Palestin berikutan pengumuman Donald Trump mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, Bella yang baru selesai menghadiri majlis jam tangan Tag Heuer di Kota London meluangkan masa menyertai perarakan berdekatan kedutaan Amerika Syarikat bagi membantah keputusan presiden tersebut dalam balutan busana gaun rona merah hati dan juga kot bulu putih.
Tindakan Bella yang tidak gentar dikritik oleh puak pro-Israel ini menunjukkan bahawa kesungguhannya yang mahu usaha menyedarkan dunia apa yang terjadi di Palestin menerusi statusnya sebagai seorang bintang terkenal. Tahniah diucapkan kepada wanita berusia 21 tahun yang masih berpijak di bumi nyata dan menghargai mereka yang tertindas di Palestin. Sekurang-kurangnya pihak media barat membawa cerita ini lebih meluas dengan kehadirannya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perjalanan hidup penuh berliku. Untuk berjaya seperti hari ini, banyak kesilapan yang dibuat dan mendewasakan kita. ‘Belajarlah memaafkan kesalahan itu…’ rahsia Oprah Winfrey, 68 tahun, terus unggul sebagai sosok jutawan wanita kulit hitam Amerika Syarikat yang menjadi inspirasi dunia.
Bermula dengan kejayaan The Oprah Winfrey Show yang ditayangkan pada 1986 – 2011, beliau terus mengorak langkah memiliki stesen TV sendiri iaitu The Oprah Winfrey Network (OWN).
Turut diangkat sebagai wanita kulit hitam pertama menjadi jutawan di Amerika Syarikat, nama Oprah Winfrey kekal tersenarai dalam 10 wanita terkaya menurut Forbes 2022.
Sebagai pengacara rancangan televisyen dengan bayaran tertinggi, sudah tentu kejayaannya menjadi inspirasi ramai.
Semak tip-tip kejayaan Oprah Winfrey seperti di bawah ini…
(1) Berusaha untuk membuat perubahan
Kata Oprah, usah membandingkan diri kita dengan orang lain sebaliknya fokus pada sesuatu yang mampu mengubah hidup. Mungkin sukses tidak tercapai dalam percubaan pertama, tapi ia tidak mustahil dengan usaha yang konsisten.
(2) Bijak ambil peluang
Rebut peluang atau kesempatan yang ada. Menurut Oprah, sukses itu bukan nasib atau takdir seseorang. Ia adalah tentang memanfaatkan peluang di depan mata.
(3) Maafkan kesalahan lalu
Tiada manusia yang maksum atau langsung tidak membuat salah. Jadikan kesalahan lalu sebagai pelajaran dan pengalaman berharga untuk menjadi lebih maju.
(4) Sentiasa perbaiki diri sendiri
Kedengaran remeh namun bagi Oprah mempunyai makna yang sangat mendalam. Beliau percaya kita semua harus berkembang dan jangan pernah lelah mencari ruang untuk memperbaiki diri.
Foto: Facebook Oprah Winfrey
(5) Lakukan sekuatnya
Berusaha membuat yang terbaik dalam setiap yang dikerjakan. Itulah yang membawa kejayaan dan usaha mengejar apa yang dicita-citakan.
(6) Percaya pada mimpi
Tidak salah memiliki impian besar untuk diri sendiri. Untuk sukses, percaya bahawa kita mampu mencapai impian tersebut.
CIPTA SEJARAH
Oprah Winfrey atau lebih terkenal dengan nama Lady O ini sememangnya berjiwa pemurah. Ingat lagi 16 tahun lalu, apabila wanita ini telah mencipta sejarah dalam dunia penyiaran melalui rancangan bual bicara popularnya, The Oprah Winfrey Show.
Oprah telah memberi kejutan apabila menghadiahkan 276 unit kereta kepada setiap penonton dalam studionya.
Benar orang kata, lagi banyak kita memberi lagi murah rezeki yang kita dapat. Siapa sangka, jiwa pemurah yang dimiliki wanita ini, melayakkannya dinobatkan sebagai selebriti wanita TERKAYA di dunia dengan jumlah bersih kekayaan bernilai RM15 billion (USD3.5 billion). Semua yang diraih oleh Oprah ini adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Sikapnya dalam memajukan diri sangat menginspirasikan. Teringat kata-katanya, “Think like a queen. A queen is not afraid to fail. Failure is another steppingstone to greatness.”
Bayangkan program ikonik ini telah bersiaran selama 25 tahun sebelum berakhir pada tahun 2011. Jumlah gaji yang diterima oleh wanita ini tidak diketahui tetapi beliau memperoleh sekitar RM720 juta (USD165 juta) di antara Mei 2011 dan Mei 2012.
Setelah program bual bicaranya berakhir, Oprah telah melancarkan saluran kabelnya sendiri, Oprah Winfrey Network (OWN). Pegangan sahamnya sebanyak 25.5 peratus dalam saluran kabel ini dianggarkan bernila RM327 juta (USD75 juta). Selain itu, Oprah juga memiliki syarikat majalah sendiri dengan menjadi sebahagian Ahli Lembaga Pengarah dalam Weigh Watchers.
Menurut CNBC, harga saham syarikat wanita yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni/Sains, Universiti Tennessee State ini, mencapai rekod tertinggi pada bulan Jun 2018. Forbes melaporkan sahamnya telah berubah dari RM192 juta (USD43.5 juta) menjadi RM1,747 juta (USD400 juta).
Selain itu, Oprah juga memiliki syarikat bernama Harpo Production yang memiliki rangkaian tunggal dengan Discovery Communication. Harpo Production merupakan kekuatan di sebalik program Dr. Phil, Rachael Ray dan The Dr. Oz Show. Ini bermakna jiwa wanita ini sudah sebati dengan dunia penyiaran dan tidak mampu meninggalkannya meskipun bekerja di belakang tabir sahaja.
Foto: Facebook Oprah Winfrey
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cantik dan bijak orangnya! Seronok dapat peluang mengenali dan menemu bual ratu hati Fizo Omar ini. Ketika dihubungi Nona, Fazeera Nazri Azrai atau mesra disapa Faz cukup mesra menyambut panggilan penulis.
Daripada butir bicaranya jelas menyerlahkan perwatakan wanita kelahiran Sarawak ini seorang yang berbudi bahasa dan penuh wawasan. Patutlah Fizo terpikat!
Mengenali figura cantik ini, Faz dilahirkan pada 29 November 1996 di Kuching, Sarawak. Dia merupakan anak kedua daripada tiga beradik. Ayahnya bertugas sebagai juruteknik komputer sementara ibunya pula seorang suri rumah. Sebelum ini Faz berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan Air Asia dan Qatar Airways.
“Sekarang ni saya tengah ambil degree in education di UNITAR dan akan habis dalam dua tahun lagi. Lepas habis SPM, saya sambung STPM dalam bidang seni. Habis STPM, mulanya saya rasa nak kerja dulu dan timba pengalaman. Plan nak kerja dalam setahun je. Saya pun cuba interview Air Asia dan luckily dapat.
Suddenly makin ‘melekat’ pula sebab saya rasa macam suka dapat jumpa ramai orang, exchange ideas with people dan bergaul dengan ramai orang dari seluruh pelusuk dunia. I was flying with Air Asia for three years, lepas tu dengan Qatar Airways setahun lebih,” ujarnya yang diberhentikan kerja sebagai kabin krew kerana situasi pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor penerbangan.
“Sekarang ni saya bantu suami in terms of content dan appearance. Saya juga full time student dan buat motivation talk di media sosial. Apa yang saya share tu semua dari buku-buku yang pernah saya baca dan motivational video.”
Sejak mendirikan rumah tangga, Faz akui tidak terlepas daripada tempias dunia glamor. Walau agak terkejut dengan perhatian luar biasa yang diterima ketika pernikahan mereka pada 21 Oktober 2021 namun dia kini lebih bersedia dengan realiti bergelar isteri selebriti.
“Sebelum kahwin lagi, Fizo dah bagi mental preparation macam mana nak hadapi sesuatu perkara. Dari situ saya persiapkan diri. Benda ni memang dah discuss dari awal dan sebelum kahwin memang kami tak nak expose dulu.
Kami merancang (perkahwinan) dan sampai masanya baru uar-uarkan. Alhamdulillah semuanya berjalan seperti yang dirancang. Tak dinafikan dah jadi isteri selebriti, secara tak langsung saya kena adapt dunia glamor ini terutamanya bila melibatkan privasi.
Sebab itu sekarang ni saya cuba keep everything eksklusif. Mengenai personal life dan sebagainya, saya selesa untuk tak expose diri dekat platform media sosial sangat.”
Tambahnya lagi, “Kami kenal daripada kawan dan saling tukar nombor telefon. Kemudian lepas saya pindah ke KL untuk sambung belajar, dari situlah kami lebih rapat. Dia bawa saya jumpa family dan decide kahwin.
Alhamdulillah keluarga restu hubungan kami sebab Fizo seorang yang sangat baik dengan semua orang termasuk orang tua dan ahli keluarga lain. Dia layan mak ayah saya macam dia layan ibu bapa dia sendiri. Istimewanya Fizo ialah dia sangat komited dan passionate dengan goals dan kerjaya.
Dialah yang banyak ajar saya macam mana nak capai matlamat. Dia ada planning sendiri sampai dia boleh capai target dan bukan jenis separuh jalan. Semua benda dia buat konsisten.” Telus Faz yang menjadikan suami tercinta sebagai sumber inspirasi.
Enggan terpalit dengan sebarang kontroversi, Faz dalam nada tenang memberitahu dia mahu dikenali masyarakat sebagai personaliti yang mampu memberi inspirasi dan manfaat kepada semua.
“Everyone ada goals dan mission. Bagi saya, saya bukan nak jadi famous. Saya cuma nak spread motivational things to people supaya boleh bantu orang serba sedikit. Dalam masa sama beri kesedaran sebab sekarang ni kan ramai orang tengah struggle.
Alhamdulillah saya sangat puas hati. Tak sangka saya ada banyak ‘believers’ yang percaya dengan apa yang saya cuba sampaikan.”
Ditanya jika satu hari nanti dia mendapat tawaran sebagai pelakon atau hos, ini jawapan jujur Faz. “InshaAllah in the future, kalau ada. Bidang hiburan mungkin bukan kemahiran saya tapi kalau jadi hos mungkin boleh. Apa-apa pun saya kena discuss dengan suami dulu.
Saya suka jika diberi peluang jadi pembaca berita atau hos. Sebelum ini pun saya pernah bagi talk untuk pelajar universiti antaranya di UiTM dan UNITAR. 22 Februari nanti saya dijemput TV Sarawak untuk bagi pendapat tentang women empowerment.”
Memandangkan Faz kini pelajar universiti sepenuh masa, dia membahagikan masa yang ada dengan sebaiknya untuk pengajian dan keluarga melalui block time.
“Pukul 9 pagi saya pergi jogging atau gym. 10 hingga 12 tengah hari saya akan rehat. 12 sampai 3 petang macam tu saya akan baca buku atau tengok motivational video. The rest saya akan buat assignment.
Anyone tak boleh kacau block time tu unless saya betul-betul free. Block time tu saya kena ikut. Itu adalah rutin harian saya dan saya jadikan seperti bekerja dari pukul 9 sampai 6 petang yang mana kita kena patuhi.
Kebiasaannya pagi-pagi saya akan sediakan keperluan suami. Before dia pergi kerja saya akan pastikan we spend quality time at least dekat meja makan dan masak untuk dia. Dia paling suka masakan saya, Nasi Goreng Corned Beef yang orang Sarawak je tahu,” kongsi Faz sambil tertawa.
Kalau tengok media sosial Faz, kebanyakan postingnya adalah berkaitan bahan-bahan bacaan. Katanya, dia boleh menghabiskan dua buah buku dengan 300 muka surat dalam masa sebulan dan buku kegemarannya ialah Thing and Grow Rich karya Napoleon Hill.
Tak hairanlah Faz suka berkongsi kata-kata positif dengan followers. Dia menjadikan aura positif tersebut untuk merangsang pemikiran yang lebih ke hadapan dan menjadi individu berjaya.
Mengulas kekuatan yang ada dalam diri, Faz terbuka berkongsi sisi peribadi dengan pembaca setia Nona. Ujarnya ia adalah sebagai pencetus semangat dan motivasi buat golongan wanita agar percaya diri walau dalam ap acara sekalipun.
“Saya seorang yang sangat independent. Sejak kerja Air Asia dulu saya terbiasa buat semuanya sendiri. Even saya tak kisah naik grab untuk ke mana-mana dan seorang diri je. Dulu masa tinggal dekat Doha pun saya uruskan semuanya sendiri. Laundry, semualah. Saya jarang minta tolong orang lain. Walau pun saya susah macam mana, saya cuba ikhtiar juga sampai saya dapat.”
Semoga perkongsian Faz ini dapat dijadikan sebagai panduan dan inspirasi buat semua wanita di luar sana ke arah menggenggam sebuah kejayaan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang gembira tengok kehidupan Faisal Halim sekeluarga sekarang. Selepas melalui episod hitam yang memberi kesan mendalam dari segi mental dan fizikal pada Mei 2024, kini tonggak utama Selangor FC tersebut bangkit menjalani kehidupan di samping isteri ...