Pandemik COVID-19 ternyata telah merubah kehidupan kita secara total. Baru sahaja hendak menghela nafas lega kerana sebelum ini kita berjaya melandaikan lengkuk kes jangkitan namun kini muncul pula gelombang ketiga. Sedikit sebanyak ia memberi kesan terhadap psikologi atau kesihatan mental.

Ads

Secara tidak langsung pandemik ini bukan saja menjadi satu fenomena perubatan malah menjejaskan ekonomi serta sumber pendapatan rakyat. Mengambil kira faktor tersebut, Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) menerusi inisiatif tahunan kanser payudara, Kempen Wear It Pink menyumbang RM60,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia.

Dana RM60 Ribu Dari Pantai Hospital Kuala Lumpur Untuk Bantu Pejuang Kanser Kurang Berkemampuan
Kempen ‘Wear It Pink’ Edisi 2020 Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Dana ini bagi menyediakan payudara tiruan dan baju dalam khas buat golongan kurang bernasib baik. Kempen Wear It Pink bagi Edisi 2020, PHKL telah menjual lebih daripada 1,500 kotak pelitup muka edisi khas berwarna merah jambu bagi mengumpul sumbangan. Sejak dilancarkan pada tahun 2006, kempen ini memainkan peranan besar dengan menyokong pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kesedaran umum dan mengumpul dana untuk kanser payudara termasuk Pink October Walk, Sidang Kesihatan, Program Kebajikan Minum Petang dan lain-lain.

Dana RM60 Ribu Dari Pantai Hospital Kuala Lumpur Untuk Bantu Pejuang Kanser Kurang Berkemampuan
Mastectomy bra (baju dalam khas) buat pejuang kanser payudara.

“Sumbangan ini boleh memberikan impak positif dalam kehidupan pejuang kanser. Kami juga perlu memastikan pesakit kanser masih boleh datang ke Pusat Penjagaan Payudara bagi mendapatkan rawatan dan bantuan. Dengan penularan wabak COVID-19, kita perlu memberi perhatian lebih kepada pejuang kanser kerana mereka mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah berikutan rawatan diterima dalam usaha untuk mengawal sel kanser. Kami berikrar terus memainkan peranan bagi membantu mereka sebaik mungkin,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif PHKL, Erica Lam.

Dana RM60 Ribu Dari Pantai Hospital Kuala Lumpur Untuk Bantu Pejuang Kanser Kurang Berkemampuan
Perunding Pembedahan Payudara & Endoktrin PHKL, Dr Saladina Jaszle Jasmin menunjukkan rupa bentuk breast prosthesis (payudara tiruan) dan mastectomy bra (baju dalam khas).

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelidikan klinikal PHKL diketuai Dr. Mastura Md. Yusof atas kejayaan mereka menjalankan ujian imunoterapi ke atas Kanser Payudara Tiga Negatif (Triple Negative Breast Cancer atau TNBC). TNBC metastatik adalah jenis kanser paling agresif yang mengakibatkan kadar kematian tinggi di kalangan pesakit muda.

Pasukan penyelidikan Dr. Mastua merupakan antara pasukan dari 29 buah negara yang menilai keberkesanan dan keselamatan ubat imunoterapi yang dipanggil pembrolizumab. Ubat ini digabungkan dengan salah satu daripada tiga jenis kemoterapi lazim yang digunakan bagi merawat TNBC berulang, tidak boleh dibedah atau metastatik yang tidak dapat disembuhkan menggunakan kemoterapi dalam suasana metastatik. Manuskrip lengkap yang memperincikan keputusan positif daripada penyelidikan KEYNOTE-355 tersebut akan diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet.

Dana RM60 Ribu Dari Pantai Hospital Kuala Lumpur Untuk Bantu Pejuang Kanser Kurang Berkemampuan
Dr Saladina Jaszle Jasmin menunjukkan cara payudara tiruan (breast prosthesis) dimasukkan ke dalam baju dalam tiruan (mastectomy bra).

BANTU PROSES PEMULIHAN
Sementara itu, menurut Perunding Pembedahan Payudara dan Endoktrin PHKL yang juga merupakan pengerusi kempen kanser payudara di hospital tersebut, Dr. Saladina Jaszle Jasmin, berharap agar selepas pejuang kanser ini menjalani pembedahan payudara, mereka masih berasa kembali pada sedia kala. Seolah-olah tiada apa-apa yang berubah pada tubuh mereka seperti sebelum dibedah.

“Kami berharap baju dalam khas dan payudara tiruan ini dapat membantu proses pemulihan mereka. Kami amat berterima kasih kepada PHKL dan orang awam yang banyak menyumbang untuk tujuan ini.”

Ads
Dana RM60 Ribu Dari Pantai Hospital Kuala Lumpur Untuk Bantu Pejuang Kanser Kurang Berkemampuan
Sepanjang bulan Oktober Merah Jambu, Hospital Pantai Kuala Lumpur diterangi lampu berwarna merah jambu.

Sepanjang bulan Oktober Merah Jambu, PHKL diterangi lampu berwarna merah jambu yang boleh dilihat dari luar premis bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan ujian saringan kesihatan payudara untuk pengesanan awal. Pakej istimewa ultra bunyi dan mamogram juga ditawarkan hingga bulan Disember 2020.

MENGENAI PANTAI HOSPITAL KUALA LUMPUR
Sejak 45 tahun lalu Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) punya sejarah kecemerlangan dalam menawarkan khidmat perubatan kepada rakyat Malaysia. Kini, PHKL memiliki lebih 200 pakar runding pelbagai bidang perubatan dan pembedahan. PHKL mengutamakan kualiti penjagaan kesihatan, inovasi dan promosi pada harga berpatutan. Pada masa sama, terus komited bagi mencapai dan mengekalkan piawaian cemerlang sebagai penyedia kesihatan yang dipercayai.

PHKL menstrukturkan perkhidmatan sedia ada menerusi Perkhidmatan Klinikal Teras seperti Pusat Kanser, Pusat Penjagaan Payudara, Pusat Wanita & Kanak-Kanak, Pusat Paru-Paru, Pusat Jantung, Pusat Tangan & Bahagian Atas Anggota Badan, Pusat Tulang Belakang & Saraf, dan Pusat Endoskopi. Dianugerahkan akreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (Malaysian Society for Quality in Health, MSQH), Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (Joint Commission International, JCI) serta dinobat sebagai Hospital Mesra Bayi.

Layari www.pantai.com.my/kuala-lumpur untuk maklumat lanjut berkaitan Pantai Hospital Kuala Lumpur.

Kredit Video: Instagram @pantaihospitalkualalumpur

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI