Lisa Manoban mencuri perhatian ramai apabila tampil berbeza dengan gaya rambut yang mempamerkan bahagian dahi yang sering dielakkannya sebelum ini.
Penampilan istimewa anggota kumpulan Blackpink yang berusia 26 tahun ini digayakannya ketika menghadiri acara Bvlgary Serpenti 75th Anniversary Collection yang diadakan di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.
Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan bintang popular ini pasti maklum dengan imej rambut fringe menutupi dahi yang cukup sinonim dengan dirinya.
Memetik perkongsian Sinar Harian, Lisa sebelum ini pernah memberitahu dia tidak akan sesekali membiarkan dahinya terdedah tidak kira atas apa alasan termasuk tuntutan kerja.
Menerusi temu bual bersama Knowing Brothers pada 2020, selebriti yang berasal dari Thailand ini turut memberitahu dia hanya akan mendedahkan bahagian dahinya jika dibayar sebanyak KRW10 bilion atau RM35 juta.
Justeru, apabila melihat penampilan Lisa dengan gaya tersebut, warga maya berpendapat penyanyi lagu ‘Money’ dan ‘Lalisa’ ini mungkin sudah dibayar untuk tampil dengan gaya sebegitu.
Lisa yang memiliki 95.4 juta pengikut di Instagram kelihatan sangat anggun dengan penampilan tersebut, apatah lagi dalam persalinan gaun sutera rona putih yang menyerlahkan sisi lain dirinya.
Perkongsian tersebut tular dengan pantas dan dikongsi di hampir kesemua platform media sosial. Rata-rata warga maya memuji dan menyukai penampilan tersebut.