Wah, tahniah Nazirah sebab berjaya mengharungi sesi ‘Proposal Defence’ bagi pengajian Doktor Falsafahnya dengan cemerlang! Memang terbukti adik bongsu Anzalna Nasir ini bijak dan sangat komited orangnya.
Meniti usia 25 tahun, Nur Nazirah Md Nasir atau mesra dengan panggilan Maggie mendapat perhatian peminat pelakon jelita tersebut kerana kepintaran yang dimiliki.
Apatah lagi, Anzalna pernah berkongsi kejayaan Nazirah di Instagram miliknya yang memaparkan keputusan cemerlang ‘4 flat’ adik tersayang sewaktu melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda tidak lama dulu.
Nazirah yang kini sedang mengikuti pengajian PhD di Universiti Malaya (UM) terus mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik usai menamatkan semester pertama baru-baru ini. “Alhamdulillah. Got an A for my proposal defence. One down, 3 more to go.”
Proposal Defence adalah salah satu proses yang perlu dilalui pelajar PhD untuk memastikan mereka mampu meneruskan kajian. Proses ini juga kebiasaannya memerlukan pelajar mempertahankan proposal mereka di hadapan panel terdiri daripada para pensyarah.
Graduan kelas pertama Bachelor of Biomedical Science dari Segi University, Nazirah cukup bertuah kerana dapat ‘fast track’ sambung PhD dalam usia muda. Barangkali dia terinspirasi dengan pencapaian dan ikut jejak langkah bapa tersayang melanjutkan pengajian hingga bergelar Profesor.
Bapanya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sejak November lalu hingga 30 Oktober 2023.
Bergelar isteri Umar Annuar pada Ogos 2020, Nazirah yang ditemu bual Nona mengakui pada mulanya dia segan mendedahkan kejayaan akademik kepada umum kerana bimbang disalah erti atau menunjuk-nunjuk. Namun demi memberi inspirasi mengenai kepentingan pendidikan, dia akhirnya sudi berkongsi pengalaman.
“Rutin harian saya sama seperti kaum isteri lain yang perlu sediakan segala keperluan suami dan memasak sebelum pergi ke pejabat. Kemudian, saya akan selesaikan semua kerja-kerja di rumah dan there are days when I’ll be at the Laboratory doing benchwork or at home finishing up some paperwork.
Tak dinafikan saya perlu tahu bagaimana untuk menguruskan masa dengan sebaiknya. Saya akan pastikan ada masa untuk suami, keluarga, mentua, kawan dan juga diri sendiri. Begitu juga masa untuk ‘berada’ dekat dengan Allah SWT. Dia adalah sebaik-baik perancang.
Bercerita soal kerjaya, saya mengimpikan untuk berkhidmat di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Selain sesuai dengan minat dan bidang pengajian yang saya ambil, saya juga mahu memberi sumbangan melalui apa yang sudah saya pelajari. Seterusnya membawa perubahan lebih baik kepada masyarakat.”
Ditanya ketegasan ibu bapa dalam mendidik mereka adik-beradik membuatkan Nazirah mampu berjaya sampai ke tahap sekarang, wanita cantik ini berkata dia bersyukur kerana ibu bapa tidak pernah beri tekanan. Sebaliknya, sentiasa menyokong minat dan kemahuan anak-anak.
“Sejujurnya, cara didikan ibu bapa saya terhadap kami adik-beradik bukanlah tahap tegas yang melampau. Mereka mendidik kami dengan penuh kasih sayang dan tidak pernah paksa untuk kuat belajar. Sebaliknya mereka memberi anak-anak ruang untuk memilih haluan yang kami mahu.
Kesannya, cara tersebut sangat membantu saya bukan saja dari segi pelajaran tetapi juga kehidupan. Mereka memahami saya dan adik-beradik yang lain. Tidak pernah sesekali membanding-bandingkan kami dengan orang lain dan saya amat bersyukur dikurniakan ibu bapa sebaik mereka.
Mereka juga selalu mengingatkan saya supaya buat perkara yang saya suka dengan sepenuh hati dan mendidik kami adik-beradik agar menghormati serta berbuat baik kepada semua orang. Good manners are important.”
Kredit foto: Instagram Nazirah Nasir
This website uses cookies.