Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun (MHLW) akan menawarkan imbuhan kewangan tambahan kepada ibu bapa yang melahirkan anak bagi mengatasi kadar kelahiran rendah dalam kalangan penduduk, lapor akhbar Japan Today semalam.
Sebelum ini, ibu bapa baharu di Jepun akan menerima Geran Bersalin dan Penjagaan Anak sebanyak 420,000 yen (RM13,517) selepas kelahiran anak mereka.
Bagaimanapun, kementerian tersebut merancang meningkatkan jumlah bantuan kepada 500,000 yen (RM16,091) semasa mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Fumio Kishida mengenai cadangan itu minggu lepas.
Bantuan itu dijangka akan diluluskan dan berkuatkuasa untuk tahun fiskal 2023 yang bermula pada musim bunga. Geran itu dibiayai melalui sistem insurans perubatan awam Jepun.
Bagaimanapun, penambahan dalam bantuan itu didakwa tidak akan memberikan kesan yang jelas terhadap insentif tersebut ekoran baki wang yang dijangka tinggal selepas bersalin.
Menurut akhbar Maniachi Shimbun, purata kos untuk melahirkan seorang anak di seluruh Jepun adalah kira-kira 473,000 yen (RM15,222).
Walaupun kenaikan bayaran berlaku, ibu bapa akan melihat jumlah baki bantuan 30,000 yen (RM965) selepas mereka keluar dari hospital.
Mereka mendapati wang yang diberi tidak akan mampu menampung jumlah kos untuk membesarkan anak sehingga dewasa.
Isu utama dalam ketidakyakinan ibu bapa adalah keupayaan mereka untuk menampung dan mengekalkan kebahagiaan keluarga sambil mengimbangi kehidupan bekerja dan peribadi ketika anak membesar.
Kegusaran itu menjadi faktor kepada kadar kelahiran yang rendah termasuk perbelanjaan untuk melahirkan anak. – Agensi
Sambut Anniversary Ke-3, Gaun Eksklusif & Wedding Mewah SYAHRINI Cipta Kenangan Tersendiri!
27 Februari lepas, genap tiga tahun usia perkahwinan selebriti popular Indonesia, Syahrini dan Reino Barack. Walau sudah tiga tahun tapi kemewahan dan gilang-gemilang persandingan figura ini masih terpahat di ingatan peminat.
Mana tidaknya, resepsi Syahrini diadakan penuh eksklusif bukan hanya dari segi lokasi dan dekorasi dewan. Malah busana yang dipakai juga dihasilkan pereka fesyen bertaraf antarabangsa!
Sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan tahun ini, Syahrini dan suami tercinta menikmati makan malam penuh romantik di sebuah restoran di Singapura. Momen indah tersebut dikongsikan Syahrini di laman Instagramnya.
Melihat perkahwinan Syahrini, tak ubah seperti majlis perkahwinan diraja. Daripada busana persandingan, aksesori sehinggalah dekorasi dewan, Syahrini sangat memahami apa yang diinginkan untuk hari bersejarahnya agar tampak serba mewah, eksklusif dan unik.
Sesuai dengan kehendak dan impian majlis perkahwinan yang diidam-idamkan Syahrini selama ini. Bertuahnya dia!
Sah bergelar suami isteri pada tanggal 27 Februari 2019, pasangan romantis ini meraikan hari istimewa mereka bersama rakan artis, media dan peminat pada 3 Mei 2019. Difahamkan hanya 120 tetamu dijemput meraikan resepsi persandingan Syahrini dan Reino Barack.
Bukan saja terpegun dengan gaun kembang mewah ala Cinderella yang terletak cantik di tubuh langsing Syahrini, venue resepsi persandingan yang digelar sebagai Dinner Silaturahmi turut menjadi perhatian khalayak kerana diadakan di Four Seasons Hotel, Jakarta. Sebuah hotel berkelas antarabangsa yang terkenal di serata dunia kerana servis dan kualiti lima bintang!
Begitu juga gaun eksklusif yang digayakan Syahrini iaitu ilham pereka ternama Indonesia, Sebastian Gunawan yang turut pernah menghasilkan busana selebriti Hollywood, Halle Berry.
Syahrini juga selesa memilih rekaan Sebastian ketika pernikahannya di Jepun. Memetik laporan media Indonesia, Sebastian Gunawan atau lebih mesra disapa Seba terkejut ketika dihubungi adik Syahrini iaitu Rani pada awal Februari 2019 apabila diminta membuat gaun perkahwinan Syahrini dalam masa yang singkat iaitu empat hari sahaja.
Biarpun mempunyai jadual padat dan terpaksa ke luar negara seminggu sebelum pernikahan Syahrini, pereka fesyen profesional ini mampu merealisasikan gaun impian selebriti kesayangan Indonesia berkenaan dengan cukup mewah, anggun dan berjaya memukau pandangan tetamu yang hadir.
Tampil lebih eksklusif daripada rekaan persalinan yang pernah dihasilkan untuk Syahrini, gaun mewah kembang yang dipakai suri hati Reino tersebut merupakan gaun dari koleksi Sebastian Gunawan Sposa yang dicipta khusus untuk gaun perkahwinan.
Penampilan Syahrini pada resepsi Dinner Silaturahmi berkenaan lebih terserlah bak puteri kayangan dengan pemakaian mahkota dari pereka aksesori terkemuka, Rinaldy A. Yunardi yang dicipta khas semata-mata untuk majlis resepsi Syahrini di Jakarta!
Selain busana dan aksesori yang digayakan, dekorasi majlis juga tidak kurang hebatnya. Mengambil khidmat dekorasi perunding perkahwinan, Lotus Design, suasana di ruang dewan dihiasi dengan kelopak bunga teratai pelbagai saiz berwarna putih salju. Sepadan dengan penataan warna suci tersebut dari gerbang pintu masuk sehinggalah di atas singgahsana.
Untuk menghidupkan lagi efek mewah dan klasik, Lotus Design menyerikan ruang siling dewan dengan juraian kristal, bunga-bungaan berwarna putih dan lampu candelier. Ternyata, idea kreatif itu berjaya menyerlahkan suasana mewah dan tampak sempurna tatkala mempelai berarak masuk menuju pelaminan.
Tuah Anak Muda Putrajaya, Mierul Aiman Ditabalkan Juara Edisi ke-11 Hero Remaja 2021
Pencarian Hero Remaja melabuhkan tirainya pada 6 November 2021 dengan menobatkan Muhammad Amirul Aiman bin Norazman atau lebih dikenali sebagai Mierul Aiman, 23 sebagai juara Hero Remaja edisi kesebelas pada tahun ini.
Menerusi siaran langsung selama satu jam setengah di saluran Astro Ria, On Demand dan aplikasi Astro Go, empat orang finalis akhir yang terpilih untuk berentap di pentas finale bersama-sama Mierul Aiman ialah Aqil Taqeeuddin bin Tuhit (Aqil Taqee), Muhammad Fazziq Muqris bin Mohd Shariff (Fazziq Muqris) dan Afiq Hilman bin Hamidon (Afiq Hamidon).
Pada malam tersebut, mereka telah dihakimi oleh dua orang juri tetap program Hero Remaja iaitu Datuk Rosyam Nor dan Dewi Remaja 2005/2006, Scha Alyahya tanpa kehadiran juri jemputan.
Cabaran pertama yang perlu dilalui adalah pengacaraan solo secara langsung. Cabaran kedua adalah persembahan sketsa mengikut idea, skrip dan memilih pelakon iringan sendiri dan cabaran ketiga adalah sesi soal jawab (Q&A) bersama juri tetap.
Ternyata setelah diadili dalam tiga segmen tersebut, Mierul Aiman mendahului lain-lain peserta dengan persembahan yang cukup menyakinkan juri serta penonton.
Mierul dinobatkan sebagai juara manakala kedudukan finalis lain adalah seperti berikut; Naib Juara, Aqil Taqee; Pemenang Tempat Ketiga, Fazziq Muqris dan Pemenang Tempat Keempat, Afiq Hamidon.
Dua lagi kategori yang turut disampaikan pada malam tersebut menjadi milik Aqil Taqee bagi kategori Hero Inspirasi dan Syazani Zainal bagi kategori Hero Favourite hasil undian peminat di laman web rasmi Majalah Remaja sepanjang percarian berlangsung.
Pencarian Hero Remaja 2021 turut menampilkan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan juara Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar sebagai pasangan hos. Ia juga meraikan kehadiran penaja, NIVEA Men menerusi beberapa episod yang ditayangkan.
Foto: Sharinizam Othman & Azfarina Sulaiman
Buat Pelaburan? Anda Tergolong Daripada Kumpulan Yang Mana?
Dalam berhadapan pendemik COVID19, ramai di kalangan individu terjejas dari segi pendapatan sama ada terpaksa dipotong gaji atau elaun, cuti tanpa gaji ataupun diberhentikan kerja.
Pastinya ia memberi kesan terhadap pengurusan kewangan apatah lagi jika mempunyai keluarga untuk ditanggung. Inisiatif kerajaan mengumumkan Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini disambut dengan rasa kelegaan khususnya bagi individu atau ahli yang menghadapi masalah kewangan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, seramai lapan juta pencarum KWSP layak untuk mengeluarkan wang mereka sehingga RM10,000. Manakala had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.
Namun begitu, setiap individu harus bijak menguruskan kewangan supaya wang yang diterima dapat disalurkan atau digunakan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan menjalani kehidupan dalam saat sukar ini. Antara perkara yang boleh diberi perhatian khusus adalah menanamkan tabiat menabung dan seterusnya melabur bagi kegunaan di masa hadapan.
Secara umumnya golongan pelabur ini terbahagi kepada beberapa kumpulan. Sebelum anda melangkah lebih jauh dalam dunia pelaburan, anda perlu tahu dalam kumpulan mana anda berada. Carilah di mana letaknya diri anda, analisis diri dan buat perancangan yang sesuai untuk anda.
PENDATANG BARU
Mereka yang berada dalam kumpulan ini adalah golongan yang baru berjinak-jinak dengan dunia pelaburan dan memiliki pengalaman melabur yang agak cetek. Kesedaran untuk mencapai matlamat kewangan menerusi tabungan dan pelaburan memang ada. Namun, dalam keghairahan membuat pelaburan, mereka ada kalanya mendapatkan panduan daripada sumber maklumat atau orang yang salah. Memulakan langkah dengan gerak yang songsang akhirnya menjuruskan diri menjadi mangsa skim penipuan.
Tip:
Dapatkan panduan melabur daripada pakar atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengalaman, misalannya daripada mereka yang berlesen. Sentiasa berhati-hati dengan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi, terutamanya dengan kadar yang segera, jangan cepat “gelap mata”. Bersabarlah, jangan bertindak terburu-buru terutama bila wujudnya sebarang keraguan. Sebaliknya, ambil masa untuk belajar dan membuat analisis mengenai pelaburan yang bijak.
PELABUR BERWASPADA
Pelabur jenis ini akan mengelakkan diri daripada pelaburan yang berisiko tinggi. Mereka mengambil masa untuk memahami sesuatu produk. Seterusnya membuat analisis dan berfikir panjang sebelum membuat sebarang keputusan. Pilihan pelaburan mereka adalah produk yang stabil. Mereka biasanya tidak mengharapkan pulangan yang tinggi dalam pelaburan, cukup sekadar jaminan pulangan dan dapat memelihara modal mereka.
Tip:
Jangan cepat percaya dengan janji “pulangan terjamin” atau “modal terpelihara”. Telita setiap tulisan pada prospektus syarikat kerana setiap pelaburan itu pasti mempunyai risiko tersendiri. Anda perlu berhati-hati dengan tawaran yang menjanjikan pulangan terjamin yang tinggi tanpa berhadapan dengan sebarang risiko.
PELABUR PASIF
Setelah membuat pelaburan, golongan ini biasanya menyerahkan segalanya kepada mereka yang bertanggungjawab. Mereka tidak ambil peduli untuk memantau perkembangan pelaburan mereka. Segala penyata kewangan, laporan tahunan, nota kontrak dan pelbagai dokumen pelaburan yang dihantar tidak langsung diambil endah, apatah lagi untuk memfailkan sebagai rujukan akan datang. Sikap tidak acuh dan lepas tangan pelabur ini akan mengundang kesan negatif terhadap pelaburan mereka. Apabila segalanya jatuh merudum, tiada apa lagi yang dapat dibuat melainkan gigit jari.
Tip:
Pantau pelaburan anda! Jangan ambil mudah dan mengharapkan agen kewangan anda semata-mata. Ianya duit anda, jadi anda perlu lebih prihatin terhadap pelaburan anda. Jangan sesekali mempunyai persepsi bahawa setiap pelaburan itu akan bergerak sendiri dengan lancar setiap masa. Sensitiviti anda terhadap keadaan pasaran dan prestasi pelaburan akan membolehkan anda menilai semula pelaburan anda terutama jika ianya tidak menguntungkan.
KAKI JUDI
Golongan ini biasanya berani mengambil risiko tinggi. Mereka mudah tertarik dengan khabar angin dan ramalan panas pasaran. Kerugian dalam pelaburan bukan satu yang menggerunkan mereka. Keuntungan cepat dan pelaburan tambah nilai adalah agenda utama dalam pelaburan. Membuat keputusan pelaburan berdasarkan instinct dan bukannya maklumat yang tepat boleh menyebabkan mereka membuat pelaburan yang salah yang akhirnya membawa kerugian yang besar.
Tip:
Bergantung kepada naluri dan ramalan panas bukan cara yang bijak dalam membuat pelaburan. Anda perlu ingat keandalan fakta dan angka dalam pelaburan tidak boleh disangkal dengan khabar angin yang tidak tentu kesahihannya. Jangan salah guna keberanian anda dengan mengambil risiko menbuta tuli. Setiap maklumat yang diterima perlu disusuli dengan penilaian bernas. Fahami risiko yang bakal dihadapi dan perlengkapkan diri sebelum berhadapan dengannya.
PELABUR BIJAK
Golongan ini sentiasa memantau setiap pergerakan pelaburan mereka. Setiap keputusan dalam pelaburan yang dilakukan berdasarkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai. Keputusan mereka tidak dikuasai emosi tetapi berdasarkan penilaian tentang keburukan dan kebaikan pelaburan yang bakal dilakukan. Golongan ini sentiasa mendapatkan nasihat daripada mereka yang arif dan berlesen dalam bidang pelaburan. Peka dengan keadaan pasaran dan bersedia menukar strategi pelaburan asalkan matlamat kewangan mereka dapat dicapai.
Tip:
Inilah tabiat pelabur yang berjaya. Jangan patah semangat kalau anda tidak tergolong dalam kumpulan ini. Teruskan menimba ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan berjaya. Langkah awal penting dalam menentukan kejayaan masa hadapan. Peka terhadap pasaran dan rajinlah belajar. Pelaburan bukanlah sesusah yang disangka, bila anda sudah mendapat “tune” dunia pelaburan, segalanya akan berjalan lancar. Sikap memainkan peranan utama dalam setiap kejayaan.