Rancak sungguh melihat Bellaz berceloteh saat dia melakari wajah untuk solekan. Dia tidak lokek berkongsi ilmu malah apa yang disampaikan dalam setiap live di laman media sosial sangat ikhlas dan telus. Selain menjual produk kosmetik, Bellaz juga mengadakan kelas solekan untuk sesiapa yang ingin mendapatkan ilmu solekan daripadanya. Kesungguhannya mencari rezeki untuk keluar dari kesusahan menjadikan Bellaz siapa dirinya kini!
Satu ketika dahulu, Bellaz hidup dalam keadaan keluarga yang sungguh daif. Anak seorang nelayan ini langsung tidak mengenal erti penat demi mendapatkan sesuap nasi untuk keluarga.
“Ayah saya seorang nelayan dan ibu hanya seorang surirumah. Apabila ayah ‘masuk pulau’, hampir dua hingga tiga minggu juga kami ditinggalkan. Sebagai anak ketiga, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mencari rezeki untuk kami anak-beranak makan, biarpun hanya kais pagi makan pagi.”
Dalam satu post di Instagram, Bellaz berkongsi ruangan dapur di rumahnya. Dengan berpendapatan tinggi setiap bulan, Bellaz selesa dengan bahagian paling penting bagi seorang ibu.
Menurut Bellaz, perkongsian ini adalah eksklusif bersama followersnya. Dapur sederhana ini membuatkan Bellaz rasa gembira kerana pemandangannya menghadap bendang di belakang rumah. Walaupun dapur yang digunakan hanya berharga RM80 tetapi itulah yang disukainya.
“Jangan kondem bahagian belakang kuali yang hitam. Itu menunjukkan kami jarang makan di luar. Asalkan semuanya cukup, suami dan anak-anak kenyang perut, Alhamdulillah. Janji semua bahan ada bila nak masak.
Ada juga makcik bawang kata, naik kereta mewah tetapi konsep rumah ala kampung. Biarlah, saya suka stail begini. Lipat baju pun masih stail dulu-dulu. Tu bermaksud I rajin! Alhamdulillah, setakat ini, kawan-kawan rapat tak pernah condemn malah mereka suka cara saya. Dapur pun beralaskan bata!,”tulisnya di Instagram.
Tulis Bellaz lagi, dia tidak dilahirkan dalam keluarga kaya atau berkahwin dengan anak orang berada namun kesungguhannya mencari rezeki dan di tambah pula dengan rezeki anak-anak membuatkan hidupnya berubah 360 darjah.
“Saya tetap dengan kehidupan saya dahulu. Cuma yang membezakan saya dulu dan sekarang adalah kerjaya business sendiri. Alhamdulillah. Di rumah masih sama, tetapi jika menghadiri majlis atau program, saya akan bersiap. Biar bersesuaian dengan keadaan.”
Menurut Bellaz, dia pernah masuk ‘kelas ikan’, mengagihkan ikan bilis pada gred yang sesuai sebelum dijual. Dapatlah RM20 sehari, cukup untuk beli beras dan lauk untuk sekeluarga. Cikgu pun selalu tegur kerana dia selalu ponteng.
“Dek kerana sayangkan masa depan anak murid seorang ni, beberapa orang cikgu membuat lawatan ke rumah saya dan mereka juga yang banyak membantu saya sehingga saya dapat belajar sehingga SPM. Mereka yang bayarkan yuran sekolah malah setiap hari saya ‘disuruh’ bertemu mereka untuk dapatkan duit makan sebanyak RM3. YA Allah, sungguh saya bersyukur pada Allah!” sebak Bellaz.
Apabila penularan wabak Covid-19 mula menjadi pandemik, Bellaz sendiri menjadi tidak keruan. Virus yang mampu menyebabkan kematian ini memerlukan ramai tenaga kerja dari pasukan perubatan untuk menanganinya. untuk meringankan beban, Bellaz cuba untuk membantu petugas yang berada di Hospital Bahiyah Alor Setar Kedah.
“Saya tak pernah terfikir untuk mendapat rezeki besar macam ni dari Allah. Saya fikir, cukuplah kalau ada duit untuk makan, tak perlu kaya-raya. Tetapi ini pemberian Allah, jadi saya perlu buat sesuatu agar ia boleh dikongsi bersama orang lain. Di kampung, memang ramai sangat orang yang susah, malah lebih susah dari saya dulu. Kalau saya dengar ada yang perlukan bantuan, saya akan ke rumah mereka dan lihat apa yang boleh dibantu. Begitu juga sekiranya mereka perlukan bantuan dari segi kemudahan infrastruktur.
“Yang kelakarnya, mereka sampai gelarkan saya YB! Tetapi jujurnya, saya lakukan ini semua ikhlas. Saya pernah susah dahulu dan saya tahu apa yang mereka rasa. Saya suka tolong orang dan saya nak tolong semua orang. Duit memang penting tetapi ia bukan segala-galanya. Lagi banyak rezeki yang saya dapat, lagi ramai orang saya nak bantu kerana dalam dunia ni terlalu ramai orang yang susah.”
Semoga Bellaz terus sukses dalam bidang yang diceburi. Bakat yang terpendam itu setidak-tidaknya dapat memberi manfaat kepada orang lain yang memerlukan.
Kredit foto: IG Muabellaz
This website uses cookies.