farah khan

Ucap perkara positif, biarpun berhadapan dengan keadaan negatif. Semangat wanita harus kuat, cukup menangis sekali dan kemudian bangkit meneruskan kehidupan. Lisa Binti Khairuddin, 35 tahun, mempunyai pendidikan diploma dalam bidang penggayaan rambut dari Kimarie Hair Academy punya kekuatan tersendiri menghadapi cabaran dalam keadaan pandemik.

Ads

“Saya merupakan pengarah syarikat Srikandi Beauty Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan salun rambut Lisa Hair Saloon di Bandar Saujana Putra. Selain itu, saya juga merupakan pengasas produk penjagaan dan rawatan rambut Lisa Hair Care. Salun rambut yang terletak di Bandar Saujana Putra sudah beroperasi sejak tahun 2009, dan tahun ini merupakan tahun ke-12 kami beroperasi.

Alhamdulillah, kepakaran kami di dalam industri ini menyebabkan terhasilnya produk penjagaan dan rawatan rambut Lisa Hair Care yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2018. Majoriti pelanggan yang datang ke Lisa Hair Saloon mempunyai masalah yang sama iaitu rambut gugur, kelemumur, rambut bercabang atau kering. Jadi tercetuslah idea untuk menghasilkan produk penjagaan dan rawatan rambut Lisa Hair Care yang mampu menyelesaikan semua jenis masalah rambut tidak kira lelaki dan wanita. Selain pengarah syarikat dan pengasas produk, saya juga merupakan hairdresser di salun syarikat saya sendiri dan mempunyai 8 orang pekerja yang sangat komited. Misi kami adalah untuk memastikan semua wanita dan lelaki mendapat rambut idaman mereka,” jelas Lisa.

Mengimbas kembali bermulanya perniagaan ini, Lisa rancak bercerita, “Saya bermula sebagai hairdresser di beberapa buah salun yang terletak di Klang dan salun terkemuka di Kuala Lumpur. Saya nekad untuk memulakan perniagaan salun sendiri pada tahun 2009. Masa tu saya bermula dengan hanya 2 buah kerusi sahaja dan berkongsi satu lot kedai bersama 2 penyewa lain.

Alhamdulillah, berkat doa dan kesabaran. kini Lisa Hair Saloon mempunyai 20 buah kerusi dan 2 lot kedai untuk keselesaan pelanggan kami. Berkat sokongan pelanggan yang tidak putus-putus dan sokongan keluarga, akhirnya jenama Lisa Hair Care sebagai produk penjagaan rambut juga dikeluarkan untuk memberikan rawatan yang sempurna di rumah. Pada awalnya, ia dijual kepada pelanggan-pelanggan salun sahaja, dan kini ia dipasarkan secara dalam talian ke seluruh Malaysia, alhamdulillah,” ujar Lisa sambil tersenyum manis.

Cabaran perniagaan sekarang dalam keadaan pandemik? “Sebagai seorang usahawan salun, kami akur arahan perlu ditutup. Sejak negara dilanda pandemik COVID-19 bermula awal tahun lepas, banyak sektor ekonomi dan perniagaan terjejas termasuklah perkhidmatan salun rambut & kecantikan. Saya perlu menghadapi situasi untuk membayar pembekal, sewa premis dan tanggungjawab mengekalkan pekerja yang telah bertungkus lumus sekian lama bersama dengan syarikat. Namun ia tidak mematahkan semangat kami semua. Sejak gelombang ketiga pandemik, saya beralih kepada perniagaan dalam talian dengan menjual produk Lisa Hair Care.

Pada awalnya, hanya 3 orang dropship dan agent sahaja dilantik sejak awal. Kemudian ia berkembang menjadi lebih kurang 50 ejen dan dropship di seluruh negara. Ramai pelanggan kami terdiri daripada pelanggan tetap yang mendapatkan khidmat di salun dan menggunakan produk penjagaan dan rawatan rambut Lisa Hair Care bertahun lamanya dan juga pelanggan baharu kami yang banyak berkongsi kejayaan mendapat rambut idaman dengan menggunakan produk Lisa Hair Care.”

Ads

CEKAL

Lisa adalah seorang yang tidak mudah patah semangat dengan cabaran yang hadir dalam dunia perniagaan. “Saya bukanlah usahawan yang dilahirkan dalam keluarga berada. Seawal umur 6 tahun, ayah telah pergi meninggalkan kami. Saya saksi perjuangan arwah emak bertungkus lumus bekerja di restoran untuk menyara kehidupan kami selepas kematian ayah.

Ads

Sehinggakan pada satu ketika, kerana arwah emak tidak mampu untuk menjaga kami, saya diserahkan kepada pakcik dan makcik saya untuk dijaga. Saudara mara dan orang sekeliling selalu memandang rendah terhadap kami sekeluarga. Selalunya orang akan berkata mereka yang tidak berpelajaran sahaja belajar ‘gunting rambut’. Semasa bermula dengan kedai kecil yang hanya ada 2 kerusi sahaja, orang selalu perkecilkan ‘Pandai ke potong rambut?’Sejak itu, saya bertekad ingin mengubah nasib keluarga dan orang sekeliling. Saya tak nak anak-anak saya merasai apa yang saya rasa. Peritnya dipandang rendah, hanya Allah sahaja yang tahu betapa kecil dan terlukanya dalam hati ini,” ujar Lisa.

Semangat Lisa tidak pernah rapuh untuk terus berusaha dan berusaha. “Selepas kematian arwah emak, saya mempunyai seorang kakak angkat, Siti Rojitah Jailani yang banyak memberikan semangat untuk saya bangkit dan sentiasa positif tanpa menghiraukan kata-kata orang. Berkat doa dan sokongan suami, Azli Azmi, dia sentiasa menjadi pendorong saya agar sentiasa berusaha dan berjuang membantu masyarakat mengikut kepakaran saya dari segi penjagaan rambut yang sempurna.”

Kata-kata semangat untuk semua wanita peniaga Malaysia, “Untuk berjaya kita perlukan usaha, ilmu dan juga pengalaman. Dalam proses itu, kegagalan akan hadir kerana itu adalah dugaan yang perlu ditempuhi oleh semua usahawan. Sentiasa merancang apa yang perlu dilakukan, fahami kehendak pasaran, kerana dunia perniagaan ini penuh saingan, penuh pasang surutnya, siapa laju dia yang akan ke hadapan. Ingat, tanpa usaha keras tiada kejayaan akan datang. Perniagaan bukan sekelip mata boleh maju, perlukan usaha berterusan tanpa jemu dari segi promosi, pemasaran, produk dan sebagainya.

Ia memerlukan masa yang panjang, bukan sekelip mata. Sama-sama kita berdoa agar pandemik ini selesai dan bisnes salun rambut dan kecantikan boleh beroperasi seperti biasa semula,” bicara Lisa yang sentiasa berfikiran positif.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI