Siapa sangka, ketika kecil suka memerhatikan gelagat ibu dan bapanya menyediakan hidangan telah membuat wanita ini pergi jauh dalam dunia masakan. Bukan setakat itu sahaja, malah ibu dan bapanya juga telah mengajar Diana Chan cara memilih bahan-bahan masakan yang berkualiti.
Bergelar pelajar di bumi Kangaroo dan dalam masa yang sama mahu menikmati makanan yang berkualiti membuatkan wanita ini terpaksa masak sendiri. Ini secara tak langsung membuatkan Diana Chan semakin mahir masak. Ditambah pula, meminati program Masterchef yang bersiaran di sana dan cuba menyertai pertandingan masakan yang tersohor tersebut telah mengubah kehidupannya.
Sudah menjadi rezeki, Diana Chan berjaya merangkul gelaran juara pertandingan MasterChef Australia musim ke-9. Bergelar juara melayakkan wanita yang dilahirkan di Sitiawan, Perak ini membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah AUD250,000 bersamaan dengan RM834,000.
Pertandingan yang berlangsung pada tahun 2017 itu telah melonjakkan nama wanita yang dibesarkan di Johor Bahru sejak usia tiga tahun ini untuk beraksi di rancangan masakan termasuk baru-baru ini Unplated with Diana Chan di SBS Food Channel. Terpegun melihat anak Malaysia ini menghidangkan sajian yang begitu istimewa.
Diana Chan mula berpindah ke Australia di usia 18 tahun untuk menyambung pelajaran di Deakin University dalam jurusan perdagangan. Selepas menamatkan pengajian Diana Chan telah bekerja di sana sebagai akauntan atau lebih tepat lagi senior analyst.
Wanita yang berusia 33 tahun ini mendapat inspirasi untuk memasak dari masakan Peranakan Baba-Nyonya yang diwarisi dari ibu dan bapanya. Semoga Diana Chan terus bersemangat membawa masakan Malaysia ke persada dunia dan terus mencipta nama dalam dunia masakan.
Dibesarkan Ibu Tunggal, Kekuatan Mama Jadi Inspirasi Ana Najia Buka Baking Studio Pada Usia 26 Tahun!
Ada satu perasaan senang kala melihat papan tanda Halwa by Ana Najia di Taiping. Barangkali aroma kek dibakar dari dapurnya, atau mungkin kerana susunan kek-kek cantik dari chiller, atau mungkin jua kerana senyuman pemiliknya, Ana Najia Sharin yang manis.
Pada usia semuda 26 tahun, Ana pantas membina legasi perniagaan berasaskan bakeri. Enggan terus mensia-siakan bakat, masa dan peluang di depan mata, wanita pintar yang memegang Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa Inggeris dari Universiti Malaya ini tidak berlengah mengusahakan bisnes, Halwa by Ana Najia.
Mesra membahasakan diri sebagai Ana, wanita yang sudah berkahwin ini sopan menjawab soalan dan berkongsi pengalaman jatuh bangunnya kepada Majalah Nona.
“Bagi Ana, rezeki yang berkat ialah rezeki yang kita peroleh melalui reda Allah, suami dan keluarga. Tak kisah pekerjaan apa pun, selagi dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang sekeliling.” Ana Najia
Kerjaya Ana sebelum membuka baking studio masih seputar minatnya terhadap dunia bisnes.
“Ana memang sudah minat berniaga sejak berumur 18 tahun. Pernah jual tudung, aksesori wanita, kosmetik, baju dan jadi part-time makeup artist. Baking pun ada secara sampingan sejak sekolah.
Selepas tamat belajar, Ana hampir jadi pembaca berita di sebuah stesen TV yang terkenal. Daripada beribu orang yang memohon, Ana merupakan Top 3 yang terpilih untuk menjadi calon pembaca berita.
Banyak sangat yang Ana belajar melalui pengalaman training sebagai pembaca berita. Tapi sayangnya rezeki tidak tertulis di situ.
Ana rasa down sangat sampai sanggup berkurung selama sebulan. Mungkin sebab ia merupakan satu kerjaya yang sangat diidamkan.
Tapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk Ana.” Ana Najia
Selain itu, antara pengalaman menarik dalam hidup wanita ini adalah ketika menjadi peserta program pertukaran pelajar ke USA pada tahun 2013.
“Sebenarnya Ana seorang yang pendiam. Jadi bila ke Chariho Regional High School di Rhode Island, Ana perlu belajar untuk bawa diri dan biasakan diri dengan budaya sana.
Sebulan pertama tu Ana habiskan masa seorang diri di tandas sebab nak elak pergi ke kafe yang ramai orang. Tapi alhamdulillah, ada seorang rakan yang perasan Ana tak ada masa waktu rehat jadi dia ajak Ana untuk duduk sekali dengan dia dan rakan-rakan yang lain.
Dari situ, Ana belajar untuk beranikan diri dan hentam je cakap walaupun tak yakin dengan bahasa Inggeris Ana semasa tu. Melalui program ni, Ana dapat tingkatkan keyakinan Ana dan menjadi seseorang yang lebih berani!”
CABARAN
Permulaan bisnes kek Ana tidaklah semudah yang disangkakan. Banyak cabaran yang menguji diri, lebih-lebih lagi sewaktu negara tiba-tiba dilanda badai pandemik COVID-19.
“Selepas Ana down selama sebulan tu, Ana fikir sampai bila nak bersedih. Dari situ, Ana mula balik bisnes baking secara kecil-kecilan.
Ana fokus dengan pembuatan kek premium dan belajar untuk meningkatkan kemahiran sebagai seorang baker.
Sangat mencabar untuk menjual kek premium di Taiping kerana Ana tidak boleh jual dengan harga yang murah.
Pada awalnya, Ana perlu biasakan diri untuk menerima kritikan yang mengatakan kek Ana mahal berbanding kek lain yang ada di Taiping.
Walau bagaimanapun, permintaan untuk kek Ana semasa PKP 1.0 semakin meningkat dan membuatkan Ana sudah tidak boleh terus membakar kek di rumah mak.
Jadi Ana beranikan diri untuk buka sebuah baking studio dengan sedikit modal hasil jualan sepanjang PKP tersebut. Sangat mencabar untuk mengumpul modal kerana peralatan dan kelengkapan baking adalah sangat mahal.
Ana pula memang tidak boleh mengharapkan bantuan kewangan daripada keluarga atau suami kerana mereka sendiri terkesan akibat pandemik. Namun, sikit demi sikit, akhirnya baking studio kami sudah hampir lengkap!”
Tidak menafikan turut terjejas dengan situasi ekonomi sekarang, Ana berkongsi struggle yang dihadapi sepanjang menguruskan bisnes Halwa by Ana Najia.
“Akibat pandemik yang berlarutan, Ana perasan kuasa beli pengguna semakin berkurangan. Sudah tidak seperti dahulu, sekarang pelanggan lebih berkira-kira apabila ingin membeli.
Ana faham, akibat pandemik ini ramai yang terkesan malah ada yang terus hilang punca pendapatan. Tambahan lagi, jualan untuk custom cake seperti kek kahwin dan dessert table memang sudah tidak ada memandangkan majlis pun tidak boleh dilangsungkan.
Pelanggan dan agent kami dari luar Taiping pun tidak dapat rentas daerah untuk datang ke baking studio kami. Memang sangat mencabar untuk pastikan sales kami terus berada di tahap selesa. Jadi, Ana perlu sentiasa fikirkan cara untuk tarik pelanggan agar terus membeli daripada kami.” Ana Najia
KEKUATAN MAMA
Kekuatan Ana hari ini rupanya terinspirasi daripada ibu tersayang, seorang wanita besi yang menjalankan perniagaan katering.
“Idola bisnes sudah semestinya ibu Ana. Beliau berjaya membina empayar dalam bidang katering setelah bercerai dengan ayah.
Dalam kesusahan dan cabaran beliau sebagai seorang ibu tunggal kepada tiga orang anak perempuan, kami tidak pernah merasa kekurangan selama kami membesar.
Malah, beliau berjaya mendidik kami tiga beradik untuk sentiasa berdikari dan rajin berusaha untuk berjaya.
Walaupun perniagaan katering beliau sangat terkesan, beliau tidak pernah sekalipun menyatakan bahawa beliau sedang berada dalam kesusahan kerana tidak mahu kami risau.
Mama merupakan sebab utama Ana mahu berjaya dalam bidang perniagaan ini supaya Ana dapat membalas jasa beliau yang telah membesarkan Ana dan adik-adik dengan penuh kasih sayang.”
Meskipun baru dua tahun bergiat secara serius dalam bisnes, Ana tidak mahu berniaga syok sendiri dan menguruskan kerjaya ini dengan sistem pengurusan yang tidak teratur. Kerana itulah Ana mengambil peluang menyertai program realiti TV, Pencarian Nona Superwoman sebagai platformnya.
“Ana sangat berterima kasih kepada pihak Majalah Nona, Astro dan Usanita kerana menganjurkan program ini. Sesungguhnya pencarian ini merupakan platform yang sangat besar untuk peniaga seperti Ana.
Melalui Pencarian Nona Superwoman ini, Ana yakin Ana dapat menambah ilmu yang sangat banyak and groom myself to become a great Superwoman!”
Saksikan Pencarian Nona Superwoman 2021, di ASTRO PRIMA bermula 22 September, setiap Rabu jam 9.00 malam. Rancangan ini dibawakan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona, diperkasakan oleh Usanita.
“Jangan TAKUT untuk MENCUBA. Kalau tidak berjaya pada kali pertama JANGAN MUDAH PUTUS ASA.”-Suzie Eryanty
Dalam usia muda, pemilik butik Temujanji, Suzie Eryanty Mohd Suleiman berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan butik fesyen yang terkenal bukan saja di Malaysia bahkan luar negara.
Berkat kegigihan dan tidak pernah mengalah, wanita yang mesra dengan panggilan Suzie ini berjaya menguruskan perniagaannya yang beroperasi sejak tahun 2014 dengan baik. Walaupun masih baru namun Suzie tidak pernah terlepas dengan cabaran yang dianggap lumrah dalam perniagaan.
SYUKUR
“Sebelum munculnya Temujanji by Suzie Eryanty, saya sering menyarungkan baju rekaan sendiri ke majlis-majlis perkahwinan rakan. Tak sangka pula ramai yang memuji dan bertanya di mana saya beli. Dari situlah timbulnya idea, apatah lagi saya juga bercita-cita untuk menjadi seorang pereka fesyen.
Alhamdulillah setakat ini sambutan sangat menggalakkan dan permintaan kian meningkat. Kebanyakan pelanggan bukan saja dari Malaysia bahkan Singapura, Brunei, Indonesia dan Dubai.
Sebenarnya perjalanan saya masih jauh memandangkan perniagaan pun masih baru. Namun saya bersyukur kerana label saya ini mudah diterima dan mendapat sambutan. Saya berterima kasih kepada insan yang selalu berada di saat susah dan senang saya iaitu Papa dan Mama. Merekalah idola serta mentor saya yang sebenar, lebih-lebih lagi Papa yang bergelar usahawan sejak muda dalam menguruskan perniagaan logistik dan kilang di Westport.
Mama pula kini masih mampu mengusahakan kolam pancing di Negeri Sembilan. Mama banyak mengajar saya dari sudut operasi serta cara mempromosikan produk. Pendek kata kami sekeluarga memang business minded,” bicara anak kelahiran Klang berketurunan Melayu-Portugis-Cina ini. Saya berpegang kepada prinsip iaitu terus berusaha keras tanpa jemu, pekakkan telinga apabila ada hal-hal negatif serta teruskan buat yang terbaik. Sentiasa menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.
MINAT
Selain pakar dalam bidang fesyen, Suzie turut memiliki kebolehan dalam bidang reka bentuk bangunan.“Kebanyakan idea reka bentuk saya curahkan pada dekorasi rumah serta butik. Dekorasi dan fesyen adalah jiwa saya. Selepas tamat belajar saya pernah bekerja sebagai arkitek dan pereka interior. Usia 26 tahun saya berjaya menamatkan pengajian dan memulakan perniagaan Temujanji,” kongsi Suzie yang gemar melakukan aktiviti sosial sejak di bangku sekolah sehingga kini.
RAHSIA CANTIK
“Untuk kekal cantik saya mengamalkan minum air suam sebaik bangun pagi dan sebelum bekerja. Jika ada masa terluang saya akan ke spa bersama Mama. Tak dilupakan ialah sedekahkan senyuman setiap hari.
TIP SUKSES
“Jangan takut untuk mencuba. Kalau tidak berjaya pada kali pertama jangan mudah putus asa. Jadilah seorang yang kreatif. Jangan sesekali menganggap pesaing adalah musuh. Salinglah membantu dan berusaha menjadi insan yang positif,” akhiri Suzie.
Gambar koleksi peribadi : Instagram Suzie Eryanty
Tunai Umrah Bersama 2 Anak Kecil, ELFIRA LOY Kongsi Tip Untuk Mudahkan Ibadat
Pelakon genit Elfira Loy meluahkan rasa syukur apabila dapat mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini. Menerusi perkongsian di Instagram, pada mulanya Elfira melahirkan rasa gementar untuk menunaikan umrah apatah lagi membawa kedua-dua anaknya.
“Dekat Malaysia memang nervous sangat nak bawa Rayyan dan Aria untuk umrah.
“Tapi bila dah sampai, Alhamdulillah boleh. Dengan izin Allah,” tulis Elfira di ruangan kapsyen Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Elfira turut berkongsi pengalamannya melakukan ibadah umrah bersama anak kecil. Malah memberitahu dia tidak sempat memasuki Raudhah di Masjid Nabawi gara-gara terlewat 10 minit tiba di perkarangan Raudhah.
“Tips saya untuk travel bersama anak-anak untuk umrah ni, kena banyak bersabar je.
“Kena banyak reda kalau kita tak dapat banyak peluang untuk lakukan banyak ibadah. Contohnya pergi Raudhah.
“Haritu El ada book slot tapi terlewat 10 minit terus tak boleh masuk. Siapa tak sedih kan, takkan nak marah anak-anak? Nak marah yang lain. Jadi apa perlu kita buat? Reda je,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata ini.
Tambah Elfira lagi, dia turut berharap masih ada kesempatan untukknya di kemudian hari untuk memasuki Raudhah.
“Insya-Allah doa dekat mana-mana pun Allah dengar. Harap masih ada peluang untuk El. Doakan okey,” tutupnya.
Namun jika sudah rezeki sudah tertulis untuk Elfira menjejakkan kaki ke Raudhah, sememangnya ia akan termakbul. Beberapa hari lalu nampaknya Elfira berpeluang memasuki Raudhah berkat hari jumaat berada di bumi Anbia.
Bak kata Kak @zandrahakimi ” El tak pernah lambat ! ” El tak lambat Kak Za today 😭 i was the first in line , the first to que to Raudhah , and the first to solat saf depan di antara tiang Aisyah dan Mimbar Rasullah SAW.
Rasa jahil sangat bila diberi kesenangan macamni. Alhamdulillah paling the best , takde gangguan dan tolakan. Terima Kasih Ya Allah 🤲🏻
I just can’t stop crying ,
Thank you doakan El ye.
Thank you @irkaztravel , thank you kak @neddyz , thank you mama , thank you kakcik , thank you anak anakku , Thank you ustazah yang bawak kami ❤️
Duta Buttonscarves itu bersama keluarga kini sedang berada di tanah arab bagi mengerjakan ibadah umrah. Perkongsian foto-foto Elfira dan dua anak kecilnya, Muhamad Rayyan Khalaf dan Nur Aria Mikayla mendapat pujian netizen apatah lagi melihat kegigihan Elfira yang bertubuh kecil memangku Aria yang lena dalam dakapannya.
Semoga perjalanan umrah Elfira bersama anak-anak dan keluarganya dipermudahkan!