Siapa sangka, ketika kecil suka memerhatikan gelagat ibu dan bapanya menyediakan hidangan telah membuat wanita ini pergi jauh dalam dunia masakan. Bukan setakat itu sahaja, malah ibu dan bapanya juga telah mengajar Diana Chan cara memilih bahan-bahan masakan yang berkualiti.
Bergelar pelajar di bumi Kangaroo dan dalam masa yang sama mahu menikmati makanan yang berkualiti membuatkan wanita ini terpaksa masak sendiri. Ini secara tak langsung membuatkan Diana Chan semakin mahir masak. Ditambah pula, meminati program Masterchef yang bersiaran di sana dan cuba menyertai pertandingan masakan yang tersohor tersebut telah mengubah kehidupannya.
Sudah menjadi rezeki, Diana Chan berjaya merangkul gelaran juara pertandingan MasterChef Australia musim ke-9. Bergelar juara melayakkan wanita yang dilahirkan di Sitiawan, Perak ini membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah AUD250,000 bersamaan dengan RM834,000.
Pertandingan yang berlangsung pada tahun 2017 itu telah melonjakkan nama wanita yang dibesarkan di Johor Bahru sejak usia tiga tahun ini untuk beraksi di rancangan masakan termasuk baru-baru ini Unplated with Diana Chan di SBS Food Channel. Terpegun melihat anak Malaysia ini menghidangkan sajian yang begitu istimewa.
Diana Chan mula berpindah ke Australia di usia 18 tahun untuk menyambung pelajaran di Deakin University dalam jurusan perdagangan. Selepas menamatkan pengajian Diana Chan telah bekerja di sana sebagai akauntan atau lebih tepat lagi senior analyst.
Wanita yang berusia 33 tahun ini mendapat inspirasi untuk memasak dari masakan Peranakan Baba-Nyonya yang diwarisi dari ibu dan bapanya. Semoga Diana Chan terus bersemangat membawa masakan Malaysia ke persada dunia dan terus mencipta nama dalam dunia masakan.
This website uses cookies.