Tumpang bangga melihat kesenangan hidup yang diraih wanita muda ini dalam bidang perniagaan. Mana tidaknya, baru berusia 30 tahun Siti Nabilah Dol Bahrin atau lebih mesra disapa Kak Nab semakin maju mendaki puncak kerjaya. Bahkan dalam usia yang masih muda juga dia sudah mampu memiliki rumah besar, kereta mewah dan perniagaan yang semakin berkembang maju. Alhamdulillah.
Tidak menyangka keputusan berhenti kerja kerana mahu mengusahakan perniagaan sendiri membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya dan keluarga, Kak Nab bagaimana pun enggan mendabik dada. Sebaliknya, lebih selesa menjadikan pencapaian tersebut sebagai pencetus semangat buat kaum wanita lain untuk berjaya dalam bidang perniagaan.
Dalam masa sama, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini tidak lupa berbagi rezeki dengan insan memerlukan. Baginya, tiada istilah tunggu duit banyak baru bersedekah kerana percaya rezeki lebih melimpah ruah apabila selalu ‘memberi’.
“Jujur saya katakan, saya bukanlah berasal dari keluarga kaya. Masuk dunia bisnes ini pun sebab minat. Minat dengan barang-barang yang cantik dan suka tengok orang nampak cantik dengan barang jualan saya. Terdetiknya mahu berniaga sekitar tahun 2014. Dengan modal RM500 dari kawan lelaki yang sekarang dah jadi suami, saya gigih jual tudung dekat Pasar Tani, Pasar Malam termasuk Car Boot Sale.
Sebelum ini saya pernah bekerja di sektor perbankan. Pagi kerja di bank, sebelah malam pula saya berniaga di pasar. Memang letih tapi puas. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat support daripada keluarga dan kawan-kawan. Seronoknya berniaga sebab kita boleh rancang masa sendiri, tambahan pula bila dah ada anak. Sebab itu jugalah saya berhenti kerja dan serius berniaga.
Kira-kira dua tahun kumpul duit jualan tudung barulah saya mampu buka butik dengan kos RM15,000. Itulah detik awal pembukaan Nabella Butik! Dulu butik ini berkonsepkan vendor, tapi bila dah ada modal lebih.. barulah saya bawa masuk barang sendiri seperti baju, tudung, handbag, kasut dan macam-macam aksesori.
Ads
Bila dah dapat ramai customer dan orang mula kenal bisnes saya, saya cuba kembangkan perniagaan dalam bidang kosmetik pula. Produk pertama yang saya keluarkan di bawah jenama Averly Cosmetics ialah Beauty Oil,” telus content creator ‘Ohh Mudahnya Makeup By Kak Nab’ ini penuh semangat.
Kak Nab di samping suami ketika awal berniagaKenangan menjual car boot saleKenangan menjual car boot saleKenangan menjual car boot saleKetika bertugas sebagai eksekutif di sektor perbankan
Biarpun tidak sampai dua tahun di pasaran, Averly Cosmetics sudah pun memiliki empat produk iaitu Beauty Oil, Foundation, Krim Jerawat dan Magic Gloss. Difahamkan sebelum Hari Raya, Kak Nab akan mengeluarkan produk terbaharu iaitu supplemen yang sesuai diamalkan untuk menurunkan berat badan. Sementara produk bengkung dan losen panas pula bakal dikeluarkan selepas Syawal nanti.
“Setelah puas mencari dan berbincang dengan suami, kami akhirnya sepakat memilih nama ‘Averly’ untuk rangkaian produk kosmetik kami. Nama ini diambil daripada perkataan Latin yang membawa maksud terus maju dan kami berpendapat nama tersebut sesuai untuk dikomersialkan.
Istimewanya Averly Cosmetics sebab kualiti yang setanding produk jenama mewah lain. Ia juga dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan premium dan walau dijual murah tapi sangat berbaloi. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan dan produk terlaris ialah foundation.”
Ads
Tujuh tahun membina legasi nyata bukan tempoh singkat. Sepanjang bergelar usahawan, pelbagai dugaan dialami Kak Nab termasuk mengalami kerugian RM20,000 akibat ditipu.
“Untung hasil jualan di butik, saya labur RM20,000 beli kain untuk koleksi raya. Waktu itu saya ambil khidmat orang tengah. Bila dapat sample, kain memang cantik dan kualiti pun ok. Sebaik saja kain sampai, saya terus hantar jahit tanpa periksa keadaan kain.
Tailor pula tak maklumkan apa-apa. Hampir 30 percent dah siap dan dihantar kepada saya untuk cuba, material kain tersebut mudah koyak dan pecah. Sudahnya, saya terpaksa juga bayar kos jahit dan buang semua kain sebab dah tak boleh pakai.”
Ads
Menjadikan Neelofa dan Vivy Yusof sebagai inspirasi dalam dunia perniagaan, ibu kepada dua cahaya mata ini memasang impian untuk memiliki wisma sendiri suatu hari nanti. Ditanya kenangan yang paling tidak dapat dilupakan selama tujuh tahun berniaga, isteri kepada Mohammad Ikhwan ini meluah rasa syukur kerana melalui perniagaan dia belajar erti kesusahan hidup.
“Sejak zaman universiti lagi saya dah mula berniaga kecil-kecilan. Saya jual barang-barang terpakai kepunyaan sendiri secara Door to Door. Ketuk pintu rumah orang untuk menjual sebab kawasan tersebut jauh dari kedai dan supermarket. Jadi, mereka dapatlah beli keperluan dengan mudah dan saya pula dapat jualan.
Sebenarnya sejak awal berniaga, untung yang saya dapat tak adalah banyak mana. Lebih kepada kepuasan dan bantu tampung perbelanjaan yang kurang. Sepanjang berniaga, kenangan paling tak boleh lupa masa saya pergi ke sebuah perkampungan di Bedong, Kedah. Waktu itu saya study di sana.
Niat untuk berniaga terus terkubur bila tengok keadaan penduduk yang hidup susah. Disebabkan modal saya pun tak tinggi dan waktu itu belum ada komitmen, saya beri je barang jualan kepada mereka. Kira macam buat community service. Mungkin sebab dah terbiasa, sampai sekarang pun saya masih buat perkara sama cuma tidaklah selalu sebab dah ada komitmen dan staf.”
Bersempena ketibaan Aidilfitri, Nabella Butik turut menghasilkan 30 koleksi baju raya eksklusif buat para pelanggan. “Tahun lepas kami tak dapat keluarkan baju raya sebab Covid-19. Tapi tahun ini kami keluarkan baju raya based on customer preference. Daripada pemerhatian saya, orang-orang di Kedah suka rekaan yang simple dan nampak eksklusif. Jadi untuk tahun ini, kami hasilkan 30 koleksi baju raya semuanya dan boleh di dapati di Nabella Butik.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kemenangan qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada Sabtu lalu nyata satu kejayaan membanggakan bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencapaian luar biasa yang diraih Farha itu bukan saja mencipta sejarah selaku peserta termuda yang menyertai majlis berkenaan… bahkan dia juga merupakan qariah termuda yang memenangi pertandingan berkelas antarabangsa tersebut pada usia 19 tahun.
Memungut kutipan markah tertinggi 87.05 peratus dalam MTHQA, Farha tidak sekadar berjaya mengatasi markah 86.67 peratus ketika menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan, Mac lalu. Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini juga menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah masing-masing 84.88 peratus dan 80.46 peratus.
Kejayaan Farha dikongsi bersama ahli keluarga
Berpeluang menemu bual Farha sebelum pertandingan berlangsung, anak bongsu ini mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang, dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya. “Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.
Mendengar pengakuan anak tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin yang juga ibu kepada Farha lantas membongkar rahsia tentang kelakuan anak kesayangannya. “Dekat sekolah dia selalu telefon saya dan beritahu nak balik rumah sebab nak tarannum. Bila saya minta dia tarannum je dekat sekolah, dia tak mahu. Katanya rasa macam tak puas… tak lepas. Memang dia nak balik rumah juga.
Jadi, dah sampai je rumah dia akan tarannum puas-puas. Sambil buat kerja pun dia akan tarannum dan hafal surah dengan lenggok lagu yang dia suka. Sampai sekarang, bila semua adik-beradik balik rumah… mereka akan berkumpul dan mengaji bersama-sama.”
Farha Bersama kakaknya ketika memenangi MTHQK pada Mac lalu
MashaAllah, bagusnya didikan Hajah Jaliah dan Allahyarham Haji Panut Haji Markum! Kelima-lima anak mereka bagai sudah sebati dengan Al-Quran dan telah diasuh mencintai kitab suci sejak kecil. Hasilnya, kesemua adik-beradik Farha aktif menyertai pelbagai pertandingan tilawah Al-Quran dan salah seorang kakaknya, Nor Faizah Panut merupakan naib juara Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan yang lalu.
Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.
Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.
Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya.
Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”
Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000. Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebut saja nama Dian Sastro pasti peminat mengingati lakonan menarik pelakon kelahiran Indonesia ini dalam filem ‘Ada Apa Dengan Cinta’. Meskipun sudah lebih dua dekad filem box office tersebut sudah berlalu namun impaknya masih dikenang peminat filem hingga kini. Pesona Dian Sastrowardoyo dan wajah cantiknya pernah menjadi kegilaan ramai jejaka di Malaysia.
Dian dilahirkan di Jakarta pada 16 Mac 1982 dan kini berusia 42 tahun. Walau sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, namun Dian Sastro masih bergiat aktif sebagai anak seni. Yang pasti, pemilik nama Dian Paramita Sastrowardoyo ini bukan calang-calang wanita.
11 Jun lepas, Dian dilantik sebagai Duta Festival Film Indonesia (FFI) 2024 di samping empat lagi pelakon hebat Indonesia.
Pada tahun 2007 ketika kerjaya seni sedang berada di puncak, jelitawan ini dilaporkan berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Falsafah dari Universiti Indonesia.
Biarpun waktu itu dia sudah pun mempunyai nama besar dalam industri seni Indonesia namun Dian tetap belum puas dengan pencapaian tersebut.
Lantas pada tahun 2014, dia meneruskan pengajian dalam bidang ekonomi dan menggenggam Master dalam lulusan berkenaan di universiti sama.
Isteri kepada usahawan berjaya Indonesia ini juga prihatin terhadap nasib pelajar perempuan yang ketinggalan dalam Pendidikan disebabkan kesempitan hidup.
Memetik laporan Antara News, Dian berkata dia terinspirasi untuk menjayakan usaha memberi pendidikan kepada pelajar perempuan daripada tokoh pejuang hak wanita Indonesia iaitu Raden Adjeng Kartini atau lebih dikenali sebagai Ibu Kartini.
“Saya percaya saat banyak perempuan menginginkan pendidikan tinggi, maka akan lahir generasi berikutnya yang jauh lebih cerdas. Kerana dengan mendidik perempuan maka sebenarnya secara tidak langsung sedang mendidik anak-anak dan cucu-cucu iaitu generasi berikutnya.”
Dian mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hati, Maulana Indraguna Sutowo pada tanggal 18 Mei 2010.
Hasil perkongsian hidup selama 14 tahun, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan iaitu Syailendra Naryama Sastraguna Sutowo berusia 13 tahun dan Ishana Ariandra Nariratana Sutowo, 11 tahun.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terkelu Nona membaca kisah yang dikongsikan oleh Ustaz Ebit Lew ini. Memang betul kadang-kadang sebagai isteri, kita ni penat, in facts terlalu penat sebenarnya… duduk rumah pun bukan kita berehat, masih bekerja urus rumah tangga, siapkan makan minum, mengemas dan sebagainya.
Suami suami sepanjang tempoh kuarantin di rumah tu, janganlah asyik bangun lambat. PKP bukan bercuti. Kalau dah bangun, asyik nak mengarah itu ini, bising rumah tak berkemas, anak-anak memekak. Macam nak menyalahkan isteri tak reti urus keluarga. Bukankah kehidupan dalam perkahwinan itu seharusnya dijalani bersama-sama?
Jom sama-sama ambil iktibar dari perkongsian Ustaz Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau ini.
“Seorang suami jumpa saya dan tengah teramat marahkan isterinya kerana anak kecil baru 2 orang tapi rumah dah tak terurus dan diri sendiri… Bersepah, rumah dan diri isteri serta anak-anak dah tak terurus. Beliau pantang tengok benda macam tu katanya. Dia dah nekad takkan balik selagi isterinya tak berubah.
Saya kata padanya, saya lihat seorang ibu di hospital buat fisioterapi kerana tangan dan bahunya sakit dan ada masalah kerana lama dukung anak. Terkesan dan termenung berfikir pengorbanan seorang wanita dan ibu. Ya Allah.
Cuba saudaraku yang kukasihi ingat saat isteri kita melahirkan anak yang kita hampir separuh nyawa mereka melayang. Sakit, perit, kesusahan mereka… Selepas itu kena terus menyusukan anak.
Dukung anak sedangkan diri sendiri baru melepasi kesakitan paling dahsyat dalam dunia. Dulu 9 bulan bawa anak ke sana sini. Tidur, makan, semuanya tidak sempurna. Nak bangun, duduk, pusing. Kepala, pinggang, kaki, tangan, semuanya sakit…
Anak keluar kena menyusukan anak 2 tahun. Anak bangun 2 jam sekali. Paling kurang ambil masa 30 minit. Anak menyusu dan menyakitkan.. itulah seorang ibu. Penat dan kesabaran teramat tetapi ikhlas kerana Allah dan suamilah kekuatannya.
Kerana itu ringankanlah tugas isteri dan ibu anak-anak kita… menangis lihat ibu tersengguk menyusukan anak kerana kepenatan. Masa bila mereka tidur. Masa bila mereka berehat. Saya terus terang katakan saya memang tiada kesabaran dan ketabahan seperti itu. Itulah sifat mulia wanita yang Allah hadiahkan.
Kerana itu kita suami wajib memudahkan segala urusan mereka dengan bersama-sama membantu atau carikan pembantu rumah buat mereka. Ini rumah dan keluarga kita. Bersma-sama membantu. Itulah Islam.
Menguruskan rumahtangga dan ada yang bekerja. Allah. Sayangilah mereka. Semakin kita disayangi Allah. Jika mereka jaga solat awal waktu, jaga aurat dan kita redha dengan mereka syurgalah tempat mereka.
Hidup ini bukan apa kita suka atau tidak. Tapi apa yang Allah mahu dari kita. Bertolak ansur. Hargai isteri. Bangunkan mereka dengan agama. Takpelah kurang sikit bab lain tapi biar mereka masuk syurga. Itulah kasih yang sejati. Cinta sebenarnya.
Saya cakap ini kerana saya ingat ibu saya. Saya ingat isteri saya. Saya ingat Rasulullah saw amat mengasihi isteri dan keluarganya.
Abang tadi menangis. Katanya saya rasa macam tersedar. Saya stress agaknya. Betul tu ustaz.
Tahniah semua lelaki yang sedang mengasihi isteri. Menghormati mereka. Membantu mereka dan memimpin tangan mereka ke syurga. Ingatlah ketika itu kita sedang mengikuti jejak langkah Rasulullah saw.
Tahniah buat wanita yang berkorban dengan rasa cinta kerana Allah.”
Sumber: Facebook Ebit Lew
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang dinanti-nantikan, majlis pernikahan Erra Fazira dan Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau Mr E berlangsung penuh indah pada tanggal 12 Disember 2025. Mengambil keberkatan Hari Jumaat, pasangan ini selamat disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 9.19 pagi tadi.