Tumpang bangga melihat kesenangan hidup yang diraih wanita muda ini dalam bidang perniagaan. Mana tidaknya, baru berusia 30 tahun Siti Nabilah Dol Bahrin atau lebih mesra disapa Kak Nab semakin maju mendaki puncak kerjaya. Bahkan dalam usia yang masih muda juga dia sudah mampu memiliki rumah besar, kereta mewah dan perniagaan yang semakin berkembang maju. Alhamdulillah.
Tidak menyangka keputusan berhenti kerja kerana mahu mengusahakan perniagaan sendiri membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya dan keluarga, Kak Nab bagaimana pun enggan mendabik dada. Sebaliknya, lebih selesa menjadikan pencapaian tersebut sebagai pencetus semangat buat kaum wanita lain untuk berjaya dalam bidang perniagaan.
Dalam masa sama, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini tidak lupa berbagi rezeki dengan insan memerlukan. Baginya, tiada istilah tunggu duit banyak baru bersedekah kerana percaya rezeki lebih melimpah ruah apabila selalu ‘memberi’.
“Jujur saya katakan, saya bukanlah berasal dari keluarga kaya. Masuk dunia bisnes ini pun sebab minat. Minat dengan barang-barang yang cantik dan suka tengok orang nampak cantik dengan barang jualan saya. Terdetiknya mahu berniaga sekitar tahun 2014. Dengan modal RM500 dari kawan lelaki yang sekarang dah jadi suami, saya gigih jual tudung dekat Pasar Tani, Pasar Malam termasuk Car Boot Sale.
Sebelum ini saya pernah bekerja di sektor perbankan. Pagi kerja di bank, sebelah malam pula saya berniaga di pasar. Memang letih tapi puas. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat support daripada keluarga dan kawan-kawan. Seronoknya berniaga sebab kita boleh rancang masa sendiri, tambahan pula bila dah ada anak. Sebab itu jugalah saya berhenti kerja dan serius berniaga.
Kira-kira dua tahun kumpul duit jualan tudung barulah saya mampu buka butik dengan kos RM15,000. Itulah detik awal pembukaan Nabella Butik! Dulu butik ini berkonsepkan vendor, tapi bila dah ada modal lebih.. barulah saya bawa masuk barang sendiri seperti baju, tudung, handbag, kasut dan macam-macam aksesori.
Bila dah dapat ramai customer dan orang mula kenal bisnes saya, saya cuba kembangkan perniagaan dalam bidang kosmetik pula. Produk pertama yang saya keluarkan di bawah jenama Averly Cosmetics ialah Beauty Oil,” telus content creator ‘Ohh Mudahnya Makeup By Kak Nab’ ini penuh semangat.
Biarpun tidak sampai dua tahun di pasaran, Averly Cosmetics sudah pun memiliki empat produk iaitu Beauty Oil, Foundation, Krim Jerawat dan Magic Gloss. Difahamkan sebelum Hari Raya, Kak Nab akan mengeluarkan produk terbaharu iaitu supplemen yang sesuai diamalkan untuk menurunkan berat badan. Sementara produk bengkung dan losen panas pula bakal dikeluarkan selepas Syawal nanti.
“Setelah puas mencari dan berbincang dengan suami, kami akhirnya sepakat memilih nama ‘Averly’ untuk rangkaian produk kosmetik kami. Nama ini diambil daripada perkataan Latin yang membawa maksud terus maju dan kami berpendapat nama tersebut sesuai untuk dikomersialkan.
Istimewanya Averly Cosmetics sebab kualiti yang setanding produk jenama mewah lain. Ia juga dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan premium dan walau dijual murah tapi sangat berbaloi. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan dan produk terlaris ialah foundation.”
Tujuh tahun membina legasi nyata bukan tempoh singkat. Sepanjang bergelar usahawan, pelbagai dugaan dialami Kak Nab termasuk mengalami kerugian RM20,000 akibat ditipu.
“Untung hasil jualan di butik, saya labur RM20,000 beli kain untuk koleksi raya. Waktu itu saya ambil khidmat orang tengah. Bila dapat sample, kain memang cantik dan kualiti pun ok. Sebaik saja kain sampai, saya terus hantar jahit tanpa periksa keadaan kain.
Tailor pula tak maklumkan apa-apa. Hampir 30 percent dah siap dan dihantar kepada saya untuk cuba, material kain tersebut mudah koyak dan pecah. Sudahnya, saya terpaksa juga bayar kos jahit dan buang semua kain sebab dah tak boleh pakai.”
Menjadikan Neelofa dan Vivy Yusof sebagai inspirasi dalam dunia perniagaan, ibu kepada dua cahaya mata ini memasang impian untuk memiliki wisma sendiri suatu hari nanti. Ditanya kenangan yang paling tidak dapat dilupakan selama tujuh tahun berniaga, isteri kepada Mohammad Ikhwan ini meluah rasa syukur kerana melalui perniagaan dia belajar erti kesusahan hidup.
“Sejak zaman universiti lagi saya dah mula berniaga kecil-kecilan. Saya jual barang-barang terpakai kepunyaan sendiri secara Door to Door. Ketuk pintu rumah orang untuk menjual sebab kawasan tersebut jauh dari kedai dan supermarket. Jadi, mereka dapatlah beli keperluan dengan mudah dan saya pula dapat jualan.
Sebenarnya sejak awal berniaga, untung yang saya dapat tak adalah banyak mana. Lebih kepada kepuasan dan bantu tampung perbelanjaan yang kurang. Sepanjang berniaga, kenangan paling tak boleh lupa masa saya pergi ke sebuah perkampungan di Bedong, Kedah. Waktu itu saya study di sana.
Niat untuk berniaga terus terkubur bila tengok keadaan penduduk yang hidup susah. Disebabkan modal saya pun tak tinggi dan waktu itu belum ada komitmen, saya beri je barang jualan kepada mereka. Kira macam buat community service. Mungkin sebab dah terbiasa, sampai sekarang pun saya masih buat perkara sama cuma tidaklah selalu sebab dah ada komitmen dan staf.”
Bersempena ketibaan Aidilfitri, Nabella Butik turut menghasilkan 30 koleksi baju raya eksklusif buat para pelanggan. “Tahun lepas kami tak dapat keluarkan baju raya sebab Covid-19. Tapi tahun ini kami keluarkan baju raya based on customer preference. Daripada pemerhatian saya, orang-orang di Kedah suka rekaan yang simple dan nampak eksklusif. Jadi untuk tahun ini, kami hasilkan 30 koleksi baju raya semuanya dan boleh di dapati di Nabella Butik.”
This website uses cookies.