
Pejam celik sudah lapan tahun tudung kegemaran rakyat Malaysia dUCK menyerikan wajah hijabis. Bermula dengan butik pertama dari Bukit Bintang hingga butik ke sembilan di Singapura lambang kejayaan bisnes yang diterajui oleh Vivy Yusof sebagai Pengasas Bersama The dUCk Group.
Vivy Yusof telah menzahirkan rasa syukurnya ketika bercerita tentang sejak dari pertama tertubuhnya dUCK. “Alhamdulillah, dUCK sudah melangkah sejauh ini sejak hari pertama dilancarkan pada tahun 2014.
Now, dUCk is a global lifestyle brand that provides more than just scarves and clothing but also beauty, home & living and more. From our retail store in Pavilion Bukit Bintang, dUCk now has nine stores including Haji Lane, Singapore and our very own dUCk café and Salon,” kata ibu kepada empat orang anak ini.
Berkongsi kegembiraan dengan dUCkies dan orang ramai sebuah ‘time capsule’ pameran pop-up telah disediakan di hadapan Fahrenheit 88 Kuala Lumpur. Pameran ini boleh dinikmati bermula dari hari ini sehingga Ahad, 29 Mei 2022. Jangan lepaskan peluang untuk menelusuri perjalanan indah dUCK di dalamnya.
Beberapa koleksi seperti The Blurred Lines, The World Map dUCk, The Kaleidoscope dUCk, The Alhambra dUCk dan Disney x dUCk – Mickey boleh dihayati di dalam pameran ini.



Ulang tahun tidak akan berseri seandainya tidak mengeluarkan koleksi baharu. Sudah menjadi tradisi dUCK mengeluarkan koleksi istimewanya dan kali ini menampilkan The Infinity dUCk collection yang terdiri daripada skaf, ready-to-wear (RTW) seperti blaus, beg dan barangan keperluan lain seperti bekas minuman dan buku nota.
Kelahiran Semula Kaum Nabi Luth, Kes Bapa Liwat Anak 626 Kali Bukti Salah Seorang Daripadanya

Satu demi satu jenayah seksual melibatkan hubungan sejenis dan liwat dilaporkan saban hari. Dan di antara yang paling tular mengejutkan rakyat Malaysia adalah kes penderaan seksual seorang bapa terhadap anak daranya sendiri yang kini berumur 15 tahun.
Naluri seorang ibu, Nona sendiri cukup terkesan dengan laporan kes keji ini. Heboh diperkatakan, suspek telah didakwa dengan 626 pertuduhan termasuk 600 kali meliwat, merogol dan melakukan perbuatan seksual fizikal ke atas anak kandungnya hari ini.
Kegilaan bapa itu memang di luar jangkauan fikiran, apabila dia tergamak melakukan perbuatan keji tersebut hampir setiap hari di bulan Ramadan termasuk pada 1 Syawal. Lelaki durjana tersebut turut dilaporkan meliwat anaknya tiga kali sehari bermula Januari lalu.
Apakah manusia semakin hilang pertimbangan dan perikemanusiaannya? Tidakkah kita belajar dari sejarah kaum Nabi Luth dan azab bencana yang Allah turunkan kepada mereka?
Kaum Nabi Luth Lahir Semula?
Kes hubungan songsang, perkahwinan sejenis dan LGBT kini merupakan fenomena sosial yang amat menakutkan. Barangkali sudah ramai yang lupa kisah kaum Nabi Lut ini? Ayuh ulang kaji malam ini.
Luth bin Haran bin Tarah (Azar) adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Luth adalah antara orang beriman yang mengikut Nabi Ibrahim berpindah dari Babylon ke Palestin dan Mesir. Kemudian Nabi Luth mendiami kota Sadum (Sodom) di wilayah Jordan.
Namun, penduduk kota itu berakhlak keji, malah mereka derhaka dan kufur dengan nikmat Tuhan. Kegiatan merompak barangan yang dibawa kafilah dan mengunjungi pusat maksiat menjadi darah daging mereka. Lebih menjijikkan mereka mengamalkan liwat (homoseks).
Nabi Luth menasihati kaumnya supaya meninggalkan perkara maksiat, sebaliknya beriman kepada Allah dan mengingatkan mereka mengenai azab yang bakal diturunkan jika terus bergelumang dengan perbuatan keji itu.
Kaumnya tidak pedulikan nasihat itu, Malah berani memberi amaran kepada Nabi Luth: “Jika kamu tidak berhenti memperlekehkan kami, kami akan mengusirmu dari negeri ini.” Luth berkata: “Sesungguhnya aku mengingkari dan benci perbuatan yang kamu lakukan.”
Seterusnya mereka mencabar Nabi Luth dengan berkata: “Jika benar dengan azab yang kamu ancam ke atas kami, segerakanlah dan datangkan ia kepada kami.”
Mendengar perkataan mereka, Nabi Luth berdoa kepada Allah. Dalam Al-Quran dijelaskan, maksudnya: “Luth berdoa, wahai Tuhanku, tolonglah aku dengan menimpakan azab ke atas kaum yang melakukan kebinasaan itu.” Doa Nabi Luth diterima Allah, lalu diutuskan-Nya beberapa malaikat untuk menurunkan azab ke atas kaumnya.
Sebelum itu, malaikat berkenaan mengunjungi Nabi Ibrahim dan memberitahu tujuan kedatangan mereka. Nabi Ibrahim berkata: “Ya Allah, di dalam negeri itu ada Luth dan bagaimana dengan beliau jika negeri itu dimusnahkan?”
Perkara ini dapat diperhatikan melalui al-Quran, maksudnya: “Berkata Ibrahim; sesungguhnya di kota itu ada Luth. Malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami akan menyelamatkan dia dan pengikutnya, melainkan isterinya, dia termasuk orang yang tertinggal, dibinasakan.”
Setelah mengunjungi Nabi Ibrahim, tidak berapa lama selepas itu malaikat dengan menyamar sebagai lelaki yang tampan pergi ke Sadum. Sampai di Sadum, mereka berjumpa dengan anak perempuan Luth.
“Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu.
Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu.
Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.
Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa.
Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.
Nabi Luth yang pada mulanya tidak mengetahui tetamu itu adalah malaikat berasa cemas kerana bimbang mereka yang berwajah lelaki begitu tampan itu menjadi mangsa kaumnya yang bernafsu gila iaitu homoseksual.
Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar.
Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya. Berita kedatangan tetamu (malaikat) itu diketahui kaumnya, lalu ramai kalangan mereka pergi ke rumah Nabi Luth, semata-mata untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan tetamu Nabi Luth.
Apabila kaumnya berkumpul di pekarangan rumahnya, Nabi Luth cuba menghalang mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menawarkan anak perempuannya untuk diperisterikan, supaya tetamunya itu tidak diusik.
Kaum Luth langsung tidak mengendahkan larangannya, malah berkata: “Sesungguhnya kamu tahu kami tidak mempunyai selera sedikit pun terhadap anak perempuan kamu. Sesungguhnya tidak ragu-ragu lagi, kamu tahu apa yang kami inginkan.”
Seketika keadaan di pekarangan rumah Nabi Luth kacau-bilau. Nabi Luth gagal mententeramkan kaumnya yang dahagakan hubungan sejenis daripada tetamunya itu. Tanpa berlengah malaikat yang menyamar sebagai tetamu itu terus membutakan mata mereka.
Perkara ini diceritakan Al-Quran: “Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-Ku.”
Selepas itu tetamu berkenaan memperkenalkan diri kepada Nabi Luth mereka sebenarnya malaikat. Kedatangan mereka semata-mata untuk menghancurkan kaum Luth. Ketika itu juga Luth diminta membawa bersama ahli keluarganya keluar dari negeri berkenaan pada waktu malam.
Al-Quran memperjelaskan: “Utusan malaikat berkata; wahai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan Tuhanmu. Sekali-kali mereka tidak dapat mengganggu kamu. Oleh itu, pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut kamu pada lewat malam.
Dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, melainkan isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab kerana saat jatuhnya azab ke atas mereka adalah pada waktu Subuh. Bukankah Subuh itu sudah dekat?” Kaum Luth ditelan bumi
Kemudian azab yang ditunggu kaum Luth menimpa mereka. Kehancuran mereka pada waktu Subuh dalam keadaan sungguh dahsyat kerana bumi negeri itu diterbalikkan.
Mereka turut ditimpa batu daripada tanah keras dan terbakar. Al-Quran menyebut azab yang menimpa mereka: “Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.” Norzalina Mohd Alias
Majlis Tunang Mewah, Anak KRISDAYANTI Bakal Kahwin Jutawan Muda Indonesia!

Baru majlis lamaran dan tunang dah mewah serta eksklusif macam ni, kalau resepsi persandingan nanti mesti lebih extravaganza! 13 Mac lalu pastinya menjadi detik istimewa buat Krisdayanti dan bekas suami, Anang Hermansyah apabila anak sulung mereka Aurel selamat melangsungkan pertunangan dengan jutawan muda yang juga YouTuber popular Indonesia, Atta Halilintar.
Lebih eksklusif, majlis yang berlangsung di Hotel Intercontinental, Jakarta turut disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen Indonesia iaitu RCTI!
Seramai 70 tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat menghadiri majlis pertunangan Aurel, 23 tahun dan Atta atau nama penuhnya Muhammad Attamimi Halilintar yang berusia 27 tahun. Tampil sedondon dengan busana tradisional rekaan Ancha Wedding rona ungu, jelas terpancar wajah syukur dan bahagia kedua-dua bakal pengantin tersebut.
Menerusi perkongsian foto pertunangan mereka di media sosial, memang terserlah mewah majlis pertunangan Atta dan Aurel ini. Pendek kata, tidak ubah seperti majlis persandingan apabila ruang dewan dihias dengan bunga-bungaan rona senada putih dan ungu.
Selain kelibat Anang dan Krisdayanti, turut hadir menyerikan majlis ialah isteri Anang iaitu Ashanti dan kakak kepada Krisdayanti, Yuni Shara. Difahamkan, Aurel dan Atta akan diijab kabul sebagai suami isteri pada 21 Mac ini.
Aurel yang mengikut jejak langkah ibu bapa sebagai penyanyi juga bergelar usahawan menerusi jenama Aurelloly Cosmetics. Sementara Atta pula selebriti media sosial terkemuka Indonesia yang mempunyai lebih 26 juta subscribers di YouTube dan dianggarkan meraih pendapatan bulanan mencecah sehingga hampir RM2 juta!
Aurel merupakan kakak kepada Azriel Akbar Hermansyah yang juga anak kepada Krisdayanti dan Anang sebelum ibu bapa mereka bercerai pada tahun 2009.
Kredit foto: Instagram Aurelie Hermansyah & Atta Halilintar
Suami Main KAYU TIGA, Isteri Pun Curang!

Masyarakat kita sudah biasa mendengar kisah kecurangan yang dilakukan oleh golongan lelaki yang bergelar suami. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita juga telah dipaparkan melalui media tentang kecurangan yang dilakukan oleh golongan wanita yang bergelar isteri. Soalnya, mengapakah ramai isteri-isteri pada zaman ini tergamak berlaku curang? Antara sebab-sebab yang dikenalpasti mengapa isteri berlaku curang ialah seperti yang berikut:
- Suami mempunyai hubungan sulit dan diketahui isteri. Lantaran itu isteri membalas dendam dengan cara yang sama.
- Suami tiada masa untuk bersama isteri kerana terlalu sibuk dengan kerjayanya.
- Suami tidak berupaya menunaikan nafkah batin kepada isteri atau lemah tenaga batin (mati pucuk).
- Isteri terjumpa kekasih lama dan menjalinkan semula hubungan cinta akibat kurangnya kasih sayang dan perhatian daripada suami.
Menurut Syarak, isteri yang curang adalah melakukan suatu dosa; sama ada ia dosa besar atau dosa kecil bergantung kepada tahap kecurangan tersebut. Apa yang jelas ialah ia termasuk dalam kategori isteri yang derhaka (nusyuz). Menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuatkuasa di negara ini pula, nusyuz perlu dibuktikan dan disabitkan oleh Mahkamah Syariah.
Menurut undang-undang keluarga Islam di Malaysia, isteri curang yang disabitkan nusyuz tidak berhak mendapat nafkah. Sebagai contoh, Seksyen 59 (2) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303) menjelaskan bahawa pensabitan isteri yang nusyuz boleh berlaku apabila dia nusyuz atau enggan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain:
- apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya,
- apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya, apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Syarak dan undang-undang juga memberi peluang kepada isteri yang curang untuk kembali taat kepada suami. Oleh yang demikian, apabila seseorang suami mengetahui bahawa isterinya telah curang tetapi masih menyayangi isteri tersebut, beliau perlulah mengambil tindakan yang sewajarnya. Ayat 34 surah Al-Nisa’ menjelaskan bahawa Islam menyarankan beberapa kaedah bagi menyelesaikan masalah isteri nusyuz seperti yang berikut:
- Hendaklah dengan cara menasihatinya iaitu dengan memberi peringatan bahawa perlakuannya salah dengan kehendak Islam.
- Jika ia tidak memberi kesan, maka tindakan yang perlu diambil ialah dengan meninggalkan seketiduran dengan isteri.
Jika isteri tersebut tidak berubah juga, maka tindakan seterusnya ialah dengan mengenakan pukulan ringan kepada isteri. Namun perlu diingatkan bahawa pukulan itu bukanlah bertujuan untuk menyakiti atan menghukuminya, tetapi untuk membentuk disiplin yang tidak mencederakan isteri seperti yang diajar dalam Islam.
Bagi mencegah seseorang isteri kembali curang, undang-undang sedia ada membenarkan suami untuk membuat Taklik Nikah yang baru di hadapan Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk (Pegawai PNCR) di mana-mana pejabat agama. Caranya ialah dengan membawa isteri tersebut ke hadapan Pegawai PNCR tersebut dan membuat tambahan lafaz taklik kepada taklik nikah yang asal. Sebagai contoh, suami melafazkan taklik yang baru seperti berikut:
“Jika isteriku (nama) keluar dengan mana-mana lelaki tanpa kebenaranku atau dia berlaku curang kepadaku selepas ini, maka jatuh ke atasnya satu talaq.”
Menurut undang-undang juga, sekiranya seorang isteri dengan sengaja tidak menurut suatu perintah yang diberikan oleh suaminya yang sah mengikut hukum syarak, isteri tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 129 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan. Bagi tujuan itu, suami bolehlah membuat suatu aduan di mana-mana pejabat agama yang berbidangkuasa untuk suatu siasatan dijalankan dan sekiranya perlu, pendakwaan akan dilakukan di mahkamah.
Menurut peruntukan undang-undang yang ada juga, seorang isteri yang sudah disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah tidak lagi berhak untuk menuntut tunggakan nafkah termasuk nafkah i’ddah sekiranya perceraian berlaku. Seterusnya, jika pihak isteri membuat tuntutan perceraian ta’liq atau fasakh dengan alasan suami tidak memberi nafkah, alasan itu tidak lagi relevan untuk diguna pakai.