Dari Jururawat Ke Dunia Perniagaan, AIFA AZLAN Bersyukur Rezeki Makin Melimpah Ruah!

Setelah puas berfikir panjang dan tak sampai dua tahun berkhidmat sebagai jururawat, Aifa Azlan akhirnya nekad meninggalkan bidang perubatan demi meneruskan minat dalam dunia perniagaan. Ketika usia baru mencecah 25 tahun dan mempunyai seorang anak, dia dikurniakan Allah dengan rezeki berniaga yang sangat luas. Pada umur yang masih muda dan berkat kerja keras mempromosikan produk kosmetik di media sosial sendiri, Nurul Aifa Asyikin Azlan berjaya meraih pendapatan lebih RM100 ribu ringgit sebulan. Berbeza daripada gaji bulanan RM2600 yang diterimanya sewaktu menjadi jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang suatu masa dulu.

Semangat dan keberanian Aifa mempelajari selok-belok bidang perniagaan meskipun tanpa latar belakang bisnes sememangnya wajar diberi pujian. Berbekalkan rasa percaya kepada diri dan kekuatan untuk mengubah taraf hidup keluarga membuatkan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini sanggup berdepan apa jua cabaran mendatang. Satu per satu tangga kejayaan di daki dan terbaru, Aifa bakal mengeluarkan jenama kosmetiknya sendiri yang dihasilkan dari Osaka, Jepun.

“InsyaAllah, Aifa Azlan Cosmetics akan dipasarkan awal tahun 2019 nanti. Saya tak dapat nak keluarkan pada tahun ini disebabkan masalah bahan mentah memandangkan ia diimport dari Osaka. Memandangkan situasi di sana  baru saja dilanda bencana, so bekalan bahan mentah terputus. Buat masa ini Aifa Azlan Cosmetics masih lagi dalam peringkat R&D. Dalam rangkaian kosmetik ini juga akan ada lip matte dan produk penjagaan kulit facial oil.”

Terangnya lagi, disebabkan tanggungjawab terhadap keluarga semakin bertambah sejak menyambut cahaya mata kedua.. Aifa dan suami sepakat untuk kembali menetap di Kelantan. Apatah lagi mereka bakal mempunyai rumah yang selesa di sana.

“Sebelum ni butik Aifa di Kuantan tapi dah ditutup buat sementara waktu sebab kami pindah ke Kelantan. Masa tinggal di Kuantan dulu kami menyewa. Lebih selesa rasanya dapat tinggal di rumah milik kami sendiri memandangkan Aifa baru saja beli tanah di Kelantan awal tahun ni.

Walau macam mana pun, kami akan mula buka butik baru selepas Aifa habis berpantang tak lama lagi. Produk jus Aijuice Dossier masih lagi dijual. Tapi di HQ dah sold out. Pun begitu, Aifa akan keluarkan jus ini dengan packaging dan formula baruBagi produk Sistho Lip Matte pula yang merupakan bisnes Aifa dan kakak, ia tetap dijual di pasaran juga cuma lepas ini Aifa akan lebih fokus kepada jenama sendiri, Aifa Azlan Cosmetics.

Kalau dulu Aifa Signature lebih kepada pakaian, kali ini fokus Aifa tertumpu kepada inner

tudung. Inner ini tak semua jual online. Ada juga dijual di butik tapi buat masa sekarang pihak kami masih lagi berusaha mencari tempat untuk buka butik baru. Istimewanya inner ini kerana ia menggunakan kain berkualiti knit viscose dan warnanya yang terhad kepada 10 pilihan saja. Maknanya, sesiapa yang nak beli warna-warna yang ditawarkan kena beli cepat-cepat sebab kalau dah habis, kami tak akan restock dah. Inner ini juga sangat selesa dipakai kerana ada tali di belakangnya dan dijual dengan harga mampu milik.

Sebelum ini Aifa pernah buat inner silang dan kemudian rekaan inner silang bertatahkan batu Swarovski asli. Yang ini pun limited edition dan habis dijual. Sekarang, kami keluarkan inner basic iaitu anak tudung biasa yang mempunyai tali boleh laras di belakangnya khas untuk ikut keselesaan pengguna. Dengan rekaan inner ini bukan je orang dewasa boleh pakai.. anak kecil pun boleh guna,” kongsi Aifa penuh semangat.

Ditanya cabaran terbesar yang terpaksa dilaluinya sepanjang bergelar usahawan, ungkap Aifa, “Cabaran terbesar setakat ini masa mengandungkan anak kedua. Aifa alami alahan yang sangat teruk sampai tak boleh fokus dengan bisnes dan tak mampu uruskan sangat perniagaan ini. Masa tu rasa sangat down tapi alhamdulillah jualan produk Aifa masih bertahan. Waktu tengah mengandung, memang Aifa rasa tak mahu pergi ke office. Pada saya, itu adalah cabaran yang terbesar.

Bila berhadapan dengan masalah kesihatan seperti stres dan tak sihat, kita akan jadi seorang yang negatif, rasa terpinggir dan tak mahu jumpa orang langsung. Yang saya tahu waktu itu, asyik hendak tidur.

Aifa sedar, sebagai usahawan yang menjalankan bisnes online dan guna personal branding.. Aifa kena kuat. Sebab kalau Aifa down, sale stokis juga akan menurun sedikit. Secara tak langsung mereka juga akan rasa benda sama juga. Apa-apa pun sekarang, Aifa bangkit dan mula pergi ke kelas balik. Selain tengah buat team baru dan buat tour di setiap negeri untuk coaching, marketing dan ajar tentang bisnes online. Aifa juga sekarang dalam proses buka office baru di Kota Bahru dan insyaAllah akan buat kelas
seminar untuk online seller yang baru nak start belajar bisnes.”

Memang kental betul semangat Aifa ini. Mempunyai dua orang anak nyata bukan alasan bagi Aifa untuk terus mengejar impian yang diidamkan selama ini. Moga kekuatan Aifa menjadi inspirasi dan menjentik semangat untuk wanita lain mencipta kejayaan sama dalam apa jua bidang yang diceburi.

 

 

Share
Published by
Suzi