Gaya Hidup

Dari Kecil Dah Cantik, Aura Memukau AGNES MONICA Usia 35 Tahun & Makin Popular Di US!

Sebut sahaja nama Agnes Monica pasti ramai peminat di Malaysia mengingati lagu popularnya, Matahariku. Pernah mencetus fenomena menerusi sinetron remaja popular, Ku Tlah Jatuh Cinta pada tahun 2004, wajah cantik dan nama selebriti Indonesia ini masih meniti di bibir peminat meskipun sudah 18 tahun berlalu.

Menginjak usia 36 tahun pada 1 Julai nanti, Agnes Monica Muljoto atau dikenali sebagai Agnez Mo ini nyata seorang wanita yang berbakat besar. Sepanjang pembabitan seni di Indonesia, pelbagai anugerah telah berjaya diraih antaranya 18 Anugerah Musik Indonesia, 8 Panasonic Awards, 4 MTV Indonesia Awards, 3 Asia Song Festival Awards dan banyak lagi.

Tidak hanya berbakat sebagai penyanyi dan pelakon, Agnes juga dikagumi kerana bakat koreografi yang menarik. Tidak hairanlah, dia mampu melebarkan sayap sampai ke industri seni Amerika Syarikat. Bukan calang-calang!

Menelusuri latar belakang Agnes, dia ialah anak bongsu kepada pasangan Ricky Muljoto dan Jenny Siswono. Agnes mempunyai seorang abang iaitu Steve Muljoto yang juga berkhidmat sebagai pengurusnya.

Ketika zaman persekolahan, Agnes pernah mendapat pendidikan awal di SD Tarakanita, Jakarta sebelum melanjutkan pelajaran di SLTP Pelita Harapan dan SMA Pelita Harapan. Dia kemudian meneruskan pelajaran di Universitas Pelita Harapan (UPH) dalam jurusan undang-undang.

Namun kerana kesibukan kerjaya sebagai selebriti dan penyanyi, Agnes mengambil keputusan untuk cuti daripada pengajian dan gred terakhir yang diperoleh ialah 3.67. Satu keputusan yang cukup baik bagi seorang penuntut yang sibuk dengan karier seni. Difahamkan, Agnes juga pernah mengikuti pengajian di Oregon State University (OSU) di Amerika Syarikat dalam bidang Sains Politik.

Agnes ketika kanak-kanak
Agnes ketika kanak-kanak
Zaman persekolahan

Bakat nyanyian Agnes mula bersinar ketika zaman kanak-kanak. Menyedari bakat terpendam itu, ibu bapa enggan mensia-siakan kebolehan anak tersayang dan sentiasa menyokong mengembangkan bakat serta minat Agnes.

Seawal usia enam tahun, Agnes sudah merakam album pertama berjudul ‘Si Meong’. Dia kemudian menerbitkan album kedua pada tahun 1995 dan dinobatkan sebagai Album Anak-Anak Terbaik pada tahun 1999.

Pada tahun 2003, Agnes melancarkan album dewasa pertamanya iaitu ‘And the Story Goes’. Menariknya, album ini adalah kolaborasi bersama pemuzik terkemuka Indonesia, Ahmad Dhani dan Melly Goeslaw yang menyaksikan dia menerima double platinum dengan jualan melebihi 300,000 unit.

Bersandarkan kejayaan cemerlang dalam bidang muzik, Agnes diberi gelaran sebagai ‘Diva Muda’ dan dari situ dia mula menyimpan impian untuk ke peringkat antarabangsa. Dia pernah menerima anugerah Artis Pop Wanita Terbaik dan Karya Produksi R&B Terbaik di Anugerah Musik Indonesia 2006 menerusi lagu Bukan Milikmu Lagi. Di samping kategori Most Favorite Female di MTV Indonesia 2006 dengan lagu Tak Ada Logika.

Pada tahun 2008, Agnes melancarkan album ketiga, Sacredly Agnezious dan single Matahariku yang menjadi single terlaris. Selain itu, klip video Matahariku meraih puluhan juta tontonan di YouTube.

Tidak hanya nyanyian, Agnes juga seorang pelakon hebat di Indonesia. Bakat lakonan Agnes bermula pada tahun 1999 menerusi sinetron ‘Lupus Millenia’. Setahun kemudian, dia menjadi teraju utama sinetron Pernikahan Dini yang sekaligus melonjakkan namanya di persada seni.

Agnes pernah membintangi drama bersiri Asia berjudul The Hospital di Taiwan bersama anggota kumpulan popular F4 iaitu Jerry Yan. Juga, berjaya mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Jun tahun lalu, nama Agnes kembali menjadi bualan para peminat apabila figura ini berbesar hati mendirikan klinik vaksinasi Covid-19 secara percuma di Rumah Sakit Lapangan AGP di Ancol, Jakarta Utara khusus untuk masyarakat di sana. Inisiatif tersebut nyata mendapat pujian ramai kerana meskipun dia kini menetap di luar negara namun masih menyumbang jasa di negara kelahirannya.

Dilaporkan klinik vaksinasi tersebut adalah usaha sama Agnes dengan Yayasan Artha Graha Peduli (AGP) yang didirikan oleh pengusaha Tomy Winata.

 

Kredit foto: Instagram Agnez Mo

Share
Published by
Suzi