Sebut sahaja nama Agnes Monica pasti ramai peminat di Malaysia mengingati lagu popularnya, Matahariku. Pernah mencetus fenomena menerusi sinetron remaja popular, Ku Tlah Jatuh Cinta pada tahun 2004, wajah cantik dan nama selebriti Indonesia ini masih meniti di bibir peminat meskipun sudah hampir dua dekad berlalu.
Menginjak usia 37 tahun pada 1 Julai, Agnes Monica Muljoto atau dikenali sebagai Agnez Mo seorang wanita berbakat besar. Sepanjang pembabitan seni di Indonesia, pelbagai anugerah telah berjaya diraih antaranya 18 Anugerah Musik Indonesia, 8 Panasonic Awards, 4 MTV Indonesia Awards, 3 Asia Song Festival Awards dan banyak lagi.
Tidak hanya berbakat sebagai penyanyi dan pelakon, Agnes juga dikagumi kerana kemahiran koreografi yang menarik. Tidak hairanlah, dia mampu melebarkan sayap sampai ke industri seni Amerika Syarikat!
Menelusuri latar belakang Agnes, dia ialah anak bongsu kepada pasangan Ricky Muljoto dan Jenny Siswono.
Ketika zaman persekolahan, Agnes pernah mendapat pendidikan awal di SD Tarakanita, Jakarta sebelum melanjutkan pelajaran di SLTP Pelita Harapan dan SMA Pelita Harapan. Dia kemudian meneruskan pelajaran di Universitas Pelita Harapan (UPH) dalam jurusan undang-undang.
Namun kerana kesibukan sebagai selebriti dan penyanyi, Agnes mengambil keputusan untuk cuti daripada pengajian dan gred terakhir yang diperoleh ialah 3.67. Satu keputusan yang cukup baik bagi seorang penuntut yang sibuk dengan karier seni.
Dilaporkan Agnes juga pernah mengikuti pengajian di Oregon State University (OSU) di Amerika Syarikat dalam bidang Sains Politik.
Bakat nyanyian Agnes mula bersinar ketika zaman kanak-kanak iaitu sewaktu berumur tiga tahun. Menyedari bakat terpendam itu, ibu bapanya enggan mensia-siakan kebolehan anak tersayang dan sentiasa menyokong bakat serta minat Agnes.
Seawal usia enam tahun, Agnes sudah merakam album pertama berjudul ‘Si Meong’. Dia kemudian menerbitkan album kedua pada tahun 1995 dan dinobatkan sebagai Album Anak-Anak Terbaik pada tahun 1999.
Pada tahun 2003, Agnes melancarkan album dewasa pertamanya iaitu ‘And the Story Goes’.
Menariknya, album ini adalah kolaborasi bersama pemuzik terkemuka Indonesia, Ahmad Dhani dan Melly Goeslaw yang menyaksikan dia menerima double platinum dengan jualan melebihi 300,000 unit.
Bersandarkan kejayaan cemerlang dalam bidang muzik, Agnes diberi gelaran sebagai ‘Diva Muda’ dan dari situ dia mula menyimpan impian untuk ke peringkat antarabangsa.
Dia pernah menerima anugerah Artis Pop Wanita Terbaik dan Karya Produksi R&B Terbaik di Anugerah Musik Indonesia 2006 menerusi lagu Bukan Milikmu Lagi.
Di samping kategori Most Favorite Female di MTV Indonesia 2006 dengan lagu Tak Ada Logika. Pada tahun 2008, Agnes melancarkan album ketiga, Sacredly Agnezious dan single Matahariku yang menjadi single terlaris.
Selain itu, klip video Matahariku meraih puluhan juta tontonan di YouTube.
Tidak hanya nyanyian, Agnes juga seorang pelakon hebat di Indonesia. Bakat lakonan Agnes bermula pada tahun 1999 menerusi sinetron ‘Lupus Millenia’.
Agnes pernah membintangi drama bersiri Asia berjudul The Hospital di Taiwan bersama anggota kumpulan popular F4 iaitu Jerry Yan. Juga, berjaya mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada tahun 2007.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/tetap-bawang-putih-yang-sopan-baik-di-alam-realiti-revalina-cantik-usia-37/
This website uses cookies.