Tidak dinafikan, Faezah Elai antara pelakon wanita cantik tanah air. Makin terserlah keanggunan yang dimiliki sejak mengenakan hijab, aktres berbakat besar ini kelihatan awet muda walaupun sudah bergelar ibu kepada dua cahaya mata.
Mula mewarnai industri seni sebagai model sekitar tahun 2006, Faezah atau nama sebenarnya Noor Faezah Md Elai bakal berusia 41 tahun pada 16 Ogos depan.
Pelakon kacukan Punjab-Thailand ini memulakan karier seni selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 yang turut bersama Scha Alyahya, Izreen Azminda, Intan Ladyana.
Faezah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Heykal Hanifah pada September 2011. Hasil perkongsian hidup, pasangan iki dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Dealova Heyrinna dan Aurora Heyrinna.
Sejak berkahwin, tumpuannya lebih kepada anak-anak dan keluarga. Malah menerusi pendedahan sebelum ini kepada media, Faezah mengakui bahawa dia seorang ibu yang tegas dalam mendidik anak-anak dan tidak kisah dilabel ibu garang.
Iyalah, ibu mana tak sayang anak! Pastinya di sebalik sifat garang tersebut, tersimpan segunung rasa sayang terhadap anak yang dikandung.
Kian bahagia melayari rutin sebagai ibu, aktres ini pada 6 Februari lalu menitipkan ucapan istimewa buat puteri sulung sempena ulang tahun kelahiran ke-10, Dealova.
Syukur atas anugerah terindah dan penyeri rumah tangga itu, “To the one who made me a mom. 10 years ago on the 6th February 2013, I gave birth to my first child Dealova Heyrinna Heykal. How time flies.
From the moment I became a mother, my purpose has been to love and protect my baby girl with everything I have.”
Sepanjang pembabitannya sebagai anak seni, pelbagai drama, telefilem dan filem dibintangi Faezah termasuklah Sutera Maya, Anak Mamak Menantu Mami, KL Zombi dan Tanda Putera.