Seronok tengok perkembangan terkini Lana Nodin. Kalau dulu namanya sinonim sebagai pelakon tapi kini isteri Mohd Daud McKienzie ini makin aktif mengusahakan perniagaan bakeri.
Bukan hanya memiliki gudang pembekal bahan-bahan bakeri, aktres jelita ini juga rancak mengikuti pelbagai bazar jualan di dalam dan luar negara.
April lalu, dia sempat membuka gerai jualan di Mega Raya ekspo di Singapura. Antara produk bakeri keluarannya ialah Bombolana, Jagung Shake, Keria, Cookies by Lana, Butter Cakes dan Kek Buah Kukus.
Malah dia turut mampu menggaji pekerja warga asing di gudang miliknya bagi memudahkan perniagaan. Tumpang bangga dengan bisnes maju Lana Nodin sekarang!
Bersempena Syawal, figura ini turut berkongsi wajah terkini anak-anak dan suami tercinta. Hasil perkongsian hidup bersama atlet kelahiran Amerika Syarikat tersebut, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Gia Quinn McKienzie berusia 7 tahun dan William Daud McKienzie yang berumur 4 tahun.
Sebagai public figure, Lana tidak terlepas menjadi tumpuan khalayak. Bahkan perkongsian foto zaman kanak-kanak yang dikongsikan di media sosial turut menarik perhatian ramai khususnya peminat setia.
Ads
Rata-rata mereka terpikat dengan kecomelan wanita ini dan mewarisi rupa paras anggun ibu tersayang.
Ia ialah kenangan ibu dua anak ini sewaktu tadika berusia lima tahun di samping ibu bapanya. Dari kecil, sudah terserlah kecomelan wanita berusia 43 tahun ini.
Ads
Pernah menjadi penghias kulit Majalah Nona edisi November 2019, pemilik nama Mazlina Hasan Nodin mengakui dirinya seorang yang ringkas. Walau berkahwin dengan lelaki ‘Mat Saleh’ namun dia masih berpegang kuat dengan amalan kecantikan semula jadi.
“Kalau keluar ke mana-mana terutama pada waktu siang, saya lebih selesa tidak mengenakan sebarang solekan. Apatah lagi suami, dia tidak suka saya bermekap berlebih-lebihan. Cukup sekadar penyeri wajah agar tidak terlihat kusam atau tidak bermaya.”
Semoga karier Lana Nodin dalam perniagaan dan bidang seni terus maju serta menjadi sumber inspirasi ramai.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bergelar seorang isteri dan ibu bukanlah halangan buat Staf Sarjan Saidatul Husna Kamarudin yang tular kerana keberanian dan kehebatannya melakukan aksi ‘stunt’ pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 baru-baru ini.
Sepanjang 13 tahun penglibatannya dalam pasukan akrobatik, wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah ini melakar detik paling bersejarah apabila berjaya membuat aksi lompatan merentasi 66 buah motosikal Royal Enfield pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang diadakan di Dataran Putrajaya, Putrajaya.
Aksi tersebut turut disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta pimpinan negara.
Lebih bermakna lagi apabila detik bersejarah itu terlakar pada hari kelahirannya yang ke-35 tahun. Rezeki ibu kepada seorang cahaya mata ini.
“Ia merupakan detik bersejarah apabila buat pertama kali sepanjang 13 tahun penglibatan dalam pasukan akrobatik, saya berpeluang membuat persembahan di hadapan pasangan diraja tersebut.
“Lebih bermakna, tarikh keramat ini turut merupakan hari kelahiran saya. Ia sesuatu yang tidak akan dilupakan selagi hayat dikandung badan,” ungkap Sarjan Saidatul Husna kepada Sinar Harian.
Menurut Sarjan Saidatul Husna, beliau sendiri tak menyangka mampu melakukan aksi tersebut di hadapan puluhan ribu penonton walaupun pada awalnya diselubungi perasaan gemuruh.
Namun begitu, Sarjan Saidatul Husna bersyukur kerana akhirnya beliau bersama pasukan berjaya melakukan aksi yang terbaik.
“Berbekalkan doa dan semangat, saya kuatkan hati dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada ALLAH agar segalanya berjalan lancar.
PERNAH ALAMI KECEDERAAN SERIUS
Anggota tentera Kor Polis Tentera Diraja, Kem Genting Klang, Setapak ini turut berkongsi di mana sebelum ini beliau pernah hampir berputus asa akibat kecederaan lutut yang dihadapi ketika menjalani sesi latihan.
Ketika itu, Sarjan Saidatul Husna terpaksa membuat pembedahan kecil dan atas nasihat doktor beliau dimintaa berehat buat seketika.
“Semangat saya ketika itu hampir saja jatuh, namun berkat sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya nekad bangun semula dan berazam untuk terus mencipta kejayaan,” katanya.
TERSENARAI DALAM MBOR
Kejayaan lain yang pernah diraih oleh Sarjan Saidatul Husna ialah berjaya menempa nama untuk Malaysia Books of Record (MBOR) sekitar Mac 2023.
Beliau mencatatkan rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) ketika persembahan TATU Tentera Darat (TDM) bersempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Saya sering amalkan doa naik kenderaan sepanjang beraksi, dari situlah saya peroleh kekuatan.
“Selain itu, saya dan rakan sepasukan akan memberi semangat antara satu sama lain. Pada masa sama berserah kepada Allah SWT agar setiap aksi dipermudah,” kata Sarjan Saidatul Husna yang berkecimpung selama 15 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Bagi beliau, segalanya tidak mustahil asalkan mempunyai tekad selain sokongan keluarga dan rakan.
“Wanita juga mampu melakukan pelbagai aksi sebagai mana lelaki. Ini yang mahu saya buktikan kepada semua wanita di luar sana.”
Semoga Sarjan Saidatul Husna terus sukses dan menjadi inspirasi buat seluruh wanita.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ratu Jordan, Rania Al Abdullah dilahirkan pada 31 Ogos 1970 dan merupakan graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari American University of Cairo pada 1991 yang pernah berkhidmat di sektor perbankan dan teknologi sebelum berkahwin dengan Putera Abdullah Al Hussein pada 10 Jun 1993. Hasil perkahwinan selama hampir 30 tahun, Ratu Rania dan Putera Abdullah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Putera Hussein, Puteri Iman, Puteri Salma dan Putera Hashem.
Sebagai Ratu Diraja Jordan, Rania dikenali di seluruh dunia bukan saja kerana kecantikan yang dimiliki bahkan jiwa penyayang beliau membela nasib golongan kurang bernasib baik terutamanya kanak-kanak dan wanita di Jordan selain komited merapatkan jurang perbezaan kaum dan budaya di peringkat antarabangsa.
Tumpuan utama Ratu Rania adalah pendidikan dan beliau percaya setiap kanak-kanak Jordan sama ada lelaki mahupun perempuan perlu diberikan hak pembelajaran mengikut peredaran masa kini. Demi memastikan ia bukan sekadar cakap kosong, Queen Rania mewujudkan pelbagai inisiatif antaranya Jordan Education Initiative, Queen Rania Teachers Academy, Madrasati (atau bermaksud sekolah) dan Edraak yang bermaksud kesedaran.
Tidak cukup dengan itu, Ratu Rania juga terlibat dengan United Nations Foundation dan World Economic Forum serta menjadi individu penting dalam UNICEF dan dilantik UN sebagai Panel Kehormat yang berperanan meningkatkan taraf kehidupan penduduk dunia menjelang tahun 2030.
Paling mengagumkan, kerana naluri keibuan yang menebal dalam diri.. Ratu Rania berpeluang menghasilkan beberapa buku kanak-kanak yang berkisar pengalaman beliau sewaktu kecil. Antara naskhah istimewa karya Ratu Rania adalah The Sandwich Swap, Eternal Beauty, Maha of the Mountains dan The King’s Gift.
Memang terinspirasi dengan semangat dan jiwa besar Ratu Jordan ini. Malah, personaliti Ratu Rania turut menjadi perhatian penggemar fesyen lantaran gaya dan cita rasa menawan yang ditampilkan Ratu Rania tatkala berada di khalayak. Tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau tidak ubah seperti supermodel yang cantik berjalan di karpet merah. Cukup memukau!
Foto: Instagram Queen Rania
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penyakit ialah ujian daripada Allah SWT. Ia juga kerana cintaNya kepada hamba. Allah SWT mencintai kesabaran, kesungguhan dan doa hamba-hambaNya. Islam menyuruh umatnya berikhtiar untuk berubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ini nasihat Ustazah Sharifah Khasif untuk peringatan kita bersama.
“Sebagaimana Allah SWT merakamkan dalam Surah Al-Israk : 82 “ dan Kami turunkan Al-Quran beransur-ansur yang terdiri daripada ayat-ayat suci yang menjadi ubat, penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya“
Direkodkan daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda, setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat itu sesuai dengan penyakit itu, ia sembuh dengan izin Allah SWT. ‟Dari Usamah bin Syarik menceritakan daripada Rasulullah SAW bersabda, seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah SAW apabila mendapati penyakit, “Wahai Rasulullah! Adakah kami perlu berubat?” Rasulullah SAW bersabda, “Ya, wahai hamba Allah. Hendaklah kamu berubat. Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan penyakit melainkan ada penawarnya.” Hadith riwayat Tirmizi.
HUKUM BERUBAT MENURUT ISLAM
Harus bagi orang awam ketika dia masih dapat menanggung kesakitan, bersabar atau penyakit itu belum kritikal.
Wajib bagi yang tidak mampu menanggung kesakitan yang dialaminya.
Sunat bagi mereka yang niat berubat kerana mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Haram apabila pesakit itu beriktikad yang menyembuhkan penyakit adalah daripada ubat yang digunakan atau yang dimakan sedangkan hakikat penyembuh ialah Allah SWT. Begitu juga jika ia berubat dengan perkara yang dilarang syarak.
Setiap rawatan asalnya halal dan harus kecuali terdapat dalil yang sahih lagi jelas daripada syarak yang mengharamkannya. Dari surah Al-Hajj : 65 “Tidakkah kamu melihat Allah SWT yang memudahkan apa yang ada di bumi untuk kamu? ”Rasulullah SAW bersabda, “Berubatlah kalian dan janganlah berubat dengan yang haram.”
Haram jika rawatan kepada pesakit:
Menggunakan bahan-bahan kotor dan najis.
Membawa mudarat dan mencacatkan tubuh.
Berdasarkan sihir, tahyul, khurafat dan bidaah.
Menggunakan tangkal azimat.
Berdasarkan jampi mantera.
Menggunakan jin, iblis dan syaitan.
Hadis Abu Darda menyatakan Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit berserta ubatnya dan dijadikan untuk setiap penyakit itu ubatnya. Berubatlah kamu dan jangan sekali-kali berubat dengan perkara haram.” Direkodkan oleh Abu Daud .
Direkodkan oleh Abu Daud, dalam hadis lain Rasulullah SAW ditanya perihal arak yang dijadikan ubat. Nabi menyatakan, arak itu penyakit dan bukannya ubat. Bahan-bahan najis seperti bangkai binatang, arak, najis binatang dan sebagainya tergantung kepada syarat keharusan berubat dengan benda najis hanyalah ketika:
DARURAT : Apabila diyakini pesakit bahawa mati atau rosak salah satu anggotanya apabila tidak diubati dengan menggunakan benda-benda haram, namun hanyalah sekadar yang diperlukan bagi menyembuhkan penyakit sahaja. Ketentuan keadaan darurat bagi menggunakan benda-benda haram perlu ditentukan doktor Muslim yang adil dan mahir dalam bidang perubatan namun begitu haruslah berusaha bersungguh-sungguh bagi mewujudkan ubat alternatif yang halal.
CARA BERUBAT YANG DIHARAMKAN
Sihir
Dari sudut bahasa, perkara yang halus dan tersembunyi sebab-sebabnya. Dari sudut syarak, perkara atau kejadian yang tersembunyi sebabnya. Mungkin juga mengkhayalkan perkara yang bukan hakikat serta berlaku di luar kebenaran. Kebanyakan pengamal ilmu sihir mendapat pertolongan makhluk ghaib iaitu syaitan atau jin. Ini akan memudharatkan atau mengelirukan manusia.
Khurafat & Pemujaan
Kepercayaan dan perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan agama Islam sedangkan hakikatnya bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat. Contoh, mempercayai azimat dapat menghalang bahaya dan mengunjungi kubur dianggap keramat.
Tangkal & Azimat
Tangkal yang digunakan bagi menolak bala seperti penyakit, hantu, jin dan lain-lain. Azimat pula terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu khusus atau kulit binatang yang dipakai pada bahagian tubuh seperti pinggang. Ia dianggap sakti dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya.
PERUBATAN YANG DIBENARKAN
Digalakkan jika memenuhi 3 syarat utama iaitu menggunakan bacaan ayat-ayat A-Quran dan Sunah (rukyah) dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya, tidak bertentangan dengan syarak. Boleh menggunakan bacaan selain daripada bahasa Arab tetapi mestilah difahami maknanya dan tiada percanggahan syarak. Perawat perlu percaya yang penyembuh sebenarnya hanya Allah SWT. Perawat dan bacaan hanyalah ikhtiar.
Al-Jin : 6 “Sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin. Ini kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
Muzakarah jawatankuasa fatwa ke-39 membuat keputusan, bersahabat dengan jin atas tujuan mendapatkan pertolongan dalam rawatan perubatan sehingga membawa syirik ialah haram. Jin tidak dapat dilihat maka kita tidak dapat memastikan jin yang menolong itu jin baik atau jin jahat, Islam atau kafir.”
Wallahua’lam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang gembira tengok kehidupan Faisal Halim sekeluarga sekarang. Selepas melalui episod hitam yang memberi kesan mendalam dari segi mental dan fizikal pada Mei 2024, kini tonggak utama Selangor FC tersebut bangkit menjalani kehidupan di samping isteri ...