Dari Kecil Dah Terserlah Cantik, MARIAN RIVERA Jelitawan Filipina Kaya, Popular & Bijak!

Alahai, tengok gambar zaman kanak-kanaknya sahaja sudah jelas terserlah kecantikan asli milik Marian Rivera Gracia Dantes! Dikurniakan hidung yang mancung, sepasang mata cantik, bibir mungil dan kening cantik terukir sejak kecil, pesona aktres popular Filipina ini nyata memukau.

Raut wajah sempurna dan susuk tubuh langsing Marian mampu membuatkan peminat memandangnya berkali-kali. Tidak hairanlah ibu muda berusia 35 tahun tersebut dinobatkan sebagai selebriti wanita paling seksi di Filipina lebih daripada tiga kali.

Nama Marian mula bersinar di negara kelahirannya selepas kejayaan drama Marimar diikuti Dyesebel, Amaya dan Temptation of Wife. Selain berbakat dalam lakonan, selebriti berdarah keturunan Sepanyol ini juga rupa-rupanya memiliki bakat menyanyi. Sebelum ini Marian sudah menghasilkan dua album iaitu Marian Rivera Dance Hits dan Retro Crazy.

Lahir pada 12 Ogos 1984 di Madrid, Sepanyol… anak kepada Francisco Javier Gracia Alonso dan Amalia Revera ini mempunyai pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari De La Salle University Dasmarinas. Bapanya, Francisco ialah warganegara Sepanyol manakala ibunya pula Amalia ialah rakyat Filipina.

Di samping ayah tersayang ketika kecil

Disebabkan perkahwinan campur tersebut, Marian mampu bertutur dalam tiga bahasa iaitu Sepanyol, Inggeris dan Tagalog. Beberapa tahun mencipta nama dalam industri seni Filipina, jelitawan ini akhirnya memutuskan untuk berkahwin dengan aktor kacak Filipina, Dingdong Dantes pada 30 Disember 2014. Berdasarkan populariti mereka berdua dan kejayaan masing-masing, perkahwinan mereka turut mendapat julukan The Royal Wedding di Filipina pada tahun berkenaan.

Hampir setahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan romantis ini dikurniakan anak perempuan comel iaitu Maria Letizia pada 23 November 2015. Empat tahun kemudian, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki yang dinamakan Jose Sixto G. Dantes IV pada tanggal 16 April 2019.

Meskipun sudah bergelar ibu dua anak, Marian masih kekal menawan dan ramping. Anak perempuan sulungnya, Maria Letizia kini berusia lima tahun sementara anak kedua iaitu Jose Sixto G. Dantes IV dilahirkan pada 16 April 2019.

Sejak kelahiran Sixto, Marian dilihat selesa dengan penampilan lebih segar dan memilih potongan rambut pendek. Ternyata, ramai yang memuji imej baru tersebut. Pendek kata, apa sahaja fesyen yang digayakan selebriti kesayangan Filipina ini pasti disambut baik peminat setianya.

Berbekalkan bakat, wajah yang cantik dan personaliti menarik dimiliki Marian, aktres yang memiliki ketinggian 158 cm ini turut menjadi buruan syarikat pengiklanan yang mahu melantiknya sebagai duta atau penghias kempen pelbagai jenama mewah. Difahamkan sehingga tahun lepas, nilai kekayaan Marian dianggarkan mencecah USD 6 juta!

Selain aktif dengan aktiviti seni, Marian juga sebenarnya pengasas perniagaan bunga-bungaan segar Flora Vida by Marian. Ujarnya, bukan mudah untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga namun kerana tanggungjawab terhadap peminat dan anak anak serta suami dia tetap akan memastikan semuanya berjalan lancar.

“Pada mulanya memang agak sukar menguruskan keluarga dan kerjaya dalam satu-satu masa. Tapi apabila anda sudah dapat membezakan masa satu yang menjadi keutamaan, ia akan menjadi mudah.

Di samping menjaga keluarga, dalam masa sama saya juga akan memantau perniagaan yang diusahakan kerana kedua-duanya adalah penting bagi saya. Walau ada ketikanya susah, tapi saya mampu uruskan keluarga dan perniagaan dengan baik.”

Bagi merancakkan lagi perniagaan tersebut, pada 10 Jun lepas Marian telah melancarkan edisi terbaharu Flora Vida by Marian yang berkonsepkan dried bloom collection. Menariknya, dalam masa hanya 5 hari selepas ia dilancarkan, koleksi ini habis dijual! Sememangnya aura Marian cukup berbisa. Apa sahaja yang dijual mahupun dipromosikan pasti laris di pasaran. Patutlah ramai pengusaha dan syarikat berskala besar berebut-rebut menjadikan jelitawan Filipina ini sebagai duta.

Share
Published by
Suzi