Baru-baru ini tular apabila Najib Asaddok, 39, atau nama sebenarnya Mohd Najib Asaddok yang sedang membuat sesi siaran langsung dihujani dengan pertanyaan seorang pengguna laman sosial yang bertanyakan soalan berunsur provokasi mempersoalkan apa perniagaan Najib yang sudah berjaya sehingga layak mengajar orang lain mengenai ilmu pemasaran. Seterusnya sesi itu mendapat komen beberapa pengguna laman sosial mempertikaikan kejayaan diraih hanya dengan ‘menjual air liur’.
Dia digelar bisnes air liur. Bunyinya mungkin agak sinis, tapi itulah realitinya apabila Najib Asaddok berjaya membina empayar perniagaan dengan memberi perkhidmatan latihan secara dalam talian kepada golongan peniaga.
Namun, Najib yang juga pengasas syarikat Momentum Internet Sdn Bhd sejak 2014 lalu enggan ambil pusing segala komen yang dilontarkan.
“Ketika buat sesi siaran langsung itu, saya sedang membincangkan topik agak serius berkaitan isu peniaga yang mengalami kejatuhan dalam jualan. Tapi, apabila terdapat komen dan soalan sama berulang kali, ia lebih kepada provokasi dan berniat nak menjatuhkan kredibiliti. Saya juga orang biasa yang mempunyai emosi dan perasaan.
Pun begitu, disebalik kejayaan yang dicapai hari ini, siapa sangka Najib yang berasal dari Benut, Pontian, Johor sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah semata-mata ingin mengubah nasib diri dan kehidupan keluarganya.
Ads
“Pada usia 11 tahun ayah saya meninggal dunia. Ketika itu mak hanya pekerja kilang dengan pendapatan RM300 hingga RM500 sebulan. Malah, sejak kecil lagi saya bersama lima beradik lain tinggal dengan datuk. Dengan bantuan datuk juga, kami adik beradik cukup makan, pakai dan sekolah.
“Dari sekolah lagi saya sudah berniaga dengan terbabit sebagai ketua koperasi di sekolah menengah dan menjadi Ketua Kelab Usahawan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar. Pada 2004 saya sudah mula membuat perniagaan jualan langsung yang mana ketika itu masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Najib Asaddok ketika mula berniaga.
“Kemudian, pada 2006 hingga 2008 saya terbabit dengan perniagaan menjual produk kesihatan. Saya buat jualan di sekolah, buka ‘booth’, masuk ekspo dan beberapa pejabat kerajaan. Dalam masa sama, sepanjang tempoh itu juga saya mula menjadi pelatih dengan memberi latihan kepada orang yang mahu mula berniaga. Semua yang saya buat ini bukan semata mata minat, tapi terpaksa sebab saya berasal daripada keluarga susah,” katanya.
Kesusahan dan keperitan dilalui Najib tidak menghalang dirinya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (MBA) di Anglia Ruskin University kampus Kolej FTMS Cyberjaya (2018) dan kini sedang menuntut di peringkat Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).
Ads
Najib dan isteri ketika menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.
Daripada seorang jurujual, Najib membuat anjakan dalam kerjayanya apabila menukar strategi dengan terbabit dalam perniagaan secara dalam talian pada 2009. Berbekalkan pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sebulan, Najib mula dihimpit rakan dan orang sekeliling bagi mendapatkan rahsia kejayaan itu.
“Semua kawan bertanya macam mana saya boleh jualan hingga mencecah angka itu. Dari situ saya buat bisnes ‘coaching’ atau latihan hingga sekarang. Kebanyakan orang faham apabila berniaga hanya secara ‘offline’. Apabila mereka mula menyedari perniagaan dalam talian, saya ajar mereka cara nak bermula termasuk penggunaan ayat yang sesuai untuk tarik minat pelanggan.
“Alhamdulillah, pada 2020 saya membuat satu kelas berskala besar yang dihadiri 5,500 individu yang terdiri daripada usahawan pelbagai industri dan latar belakang. Pengalaman yang ada sepanjang terbabit dalam perniagaan dalam talian saya kongsikan kepada mereka. Ini juga berkat hasil saya berguru dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” katanya.
Najib dan Datuk Dr Azizan Osman
Sesuatu yang membanggakan buat Najib juga apabila menerusi syarikatnya dia sudah berjaya membantu lebih 400,000 usahawan menerusi e-book, video, buku, kelas dalam talian dan ‘offline’ yang dibuat secara percuma.
Ads
“Perjalanan untuk berjaya ini bagi saya kejayaan milik semua orang. Sesiapa saja berhak untuk berjaya. Bila ada niat kuat nak bantu orang sekeliling, insya-Allah dipermudahkan.
“Dari buku, e-book, video semua saya berikan percuma. Sebab saya tahu ramai nak mulakan bisnes tapi tidak ada duit macam mana saya dulu. Jadi, saya mahu mudahkan mereka. Dari situ juga, skala makin besar sampai sekarang. Daripada bises ‘air liur’ ini juga banyak jenama dan perniagaan yang kita bantu hingga berjaya. Itu juga dengan izin Allah,” katanya.
Berkat kesabaran, usaha dan pertolongan, ternyata itu semua memberikan sinar dalam kehidupannya termasuklah baru-baru ini syarikatnya memperoleh sijil Sirim ISO 9001:2015 yang membuktikan hasil kerja keras kakitangan Momentum yang mengikut segala prosedur.
Najib juga dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh DYAM Tunku Mahkota Johor selain menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.
Najib (kiri) dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh DYAM Tunku Mahkota Johor.
“Alhamdulillah, saya sudah berjaya membelikan sebuah rumah buat mak dan ibu bapa mertua. Pada 2019, saya hantar mak menunaikan haji. Baru-baru ini pula, saya membawa membawa isteri dan kedua mentua menunaikan haji. Rezeki nak tolong keluarga, Allah permudahkan semuanya,” katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebagai Muslim kita wajib percaya bahawa rezeki sudah diatur oleh Allah SWT. Cuma tinggal bagaimana cara seseorang itu menjemput rezeki dalam kehidupannya. Jangan hanya memandang kebendaan sahaja sebagai rezeki.
Ini kerana kesihatan dan kebahagiaan juga tergolong dalam kurniaan rezeki. Dalam perkahwinan, salah satu pembawa rezeki buat suami ialah isteri yang solehah seterusnya membentuk keluarga yang sakinah mawadah warohmah.
Namun begitu, suami juga wajib bertanggungjawab buat keluarganya agar rezeki akan ikut terus mengalir tanpa henti. Berikut ciri-ciri seorang isteri pembawa rezeki.
TAHU BERSYUKUR
Mensyukuri rezeki pendapatan suami sama ada besar atau kecil. Bersyukur menjadi seorang ibu yang terbaik buat anak-anak.
Kesimpulannya sentiasa bersabar dan bersyukur dengan apa yang diperolehi.
SUKA BERSEDEKAH
Apabila diberikan nafkah dia menggunakannya untuk bersedekah.
Maka dengan izinNya, rezeki keluarga akan bertambah, boleh jadi rezeki itu diperolehi dari pendapatan suami atau dari orang lain.
SELALU MENDOAKAN SUAMI & KELUARGA
Selain berusaha bersungguh-sungguh, banyakkan berdoa kepada Allah SWT.
Wanita yang selalu mendoakan suami dan keluarga, dengan izinNya doa itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT.
MENYENANGKAN HATI SUAMI
Suaminya akan selalu mahu berada di rumah untuk bersama keluarga.
Selain itu, pandai menjaga adab dan tingkah laku di hadapan suami seterusnya menunjukkan kesetiaan sehingga rezeki dapat mengalir kerana membahagiakan hati suami.
SUKA BERSILATURRAHIM
Menjaga hubungan dengan orang tua, saudara mara, keluarga suami, jiran tetangga dan rakan-rakan.
Ini bukan saja membantu melancarkan rezeki suami bahkan keluarga.
SERING SOLAT DHUHA
Jika seorang isteri sering melakukan solat dhuha pada setiap hari, dengan izinNya dapat menjemput rezeki buat dirinya, suami serta keluarga.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Laungan ‘Terbang Latif, Terbang’ umpama suntikan semangat buat atlet para ini setiap kali menyertai kejohanan dunia. Mula mencipta nama sejak memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu dalam acara Lompat Jauh T20 (masalah pembelajaran).
Kejayaan Latif dalam arena sukan bukan hanya menceriakan seluruh rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Memiliki ketinggian 1.77 meter, Latif yang tiba tepat di studio penggambaran berseluar jeans biru dan T-shirt hitam serta beg silang Gucci mesra menyambut salam penulis. Nona sebelum ini pernah mengadakan sesi fotografi bersama Latif pada tahun 2016 selepas berjaya merangkul emas di Sukan Paralimpik Rio. Kini setelah empat tahun berlalu, Latif tidak hanya kelihatan berbeza dari segi penampilan. Malah semakin matang dalam berbicara.
Tatkala ditanya bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam bidang sukan, Latif sambil tertawa membuka rahsia. “Saya mula serius ceburi sukan lompat jauh ini ketika di Tingkatan 3, umur 15 tahun. Banyak sukan yang saya masuk sebelum ini dan saya pilih lompat jauh atas saranan cikgu. Mungkin cikgu nampak fizikal saya yang tinggi, sesuai dengan kategori sukan ini. Jadi, cikgulah yang nampak bakat saya di situ.
Ikutkan dulu semua sukan saya main. Bola sepak, bola baling, bola tampar dan untuk olahraga pula saya pernah turut serta larian 100 meter, lompat kijang dan lompat tinggi. Lepas jurulatih nampak potensi saya, mereka bawa pergi buat ujian kecergasan sama ada layak masuk Majlis Sukan Negara (MSN) atau tidak.
Alhamdulillah saya diterima masuk MSN pada bulan Julai 2014. Dua tahun lepas tu, nama saya tersenarai sebagai atlet untuk Sukan Paralimpik Rio,” katanya yang menjadikan jaguh lompat jauh dunia, Aleksandr Menkov dan Datuk Wira Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasi.
CABARAN COVID-19
Tambahnya lagi, sepanjang bergelar atlet dia turut berdepan pelbagai cabaran. Salah satu daripadanya ialah soal disiplin. “Ya, cabaran paling susah untuk menjaga disiplin. Pada awalnya memang susah hendak sesuaikan diri terutamanya apabila melibatkan waktu tidur, makan, senaman dan latihan intensiti tinggi. Saya akui nak jaga disiplin dalam semua ini bukan mudah. Selain sokongan jurulatih, atlet itu sendiri perlu ada ketahanan mental dan fizikal.”
Lebih memberi kesan kepada Latif apabila dia terpaksa ‘bertarung’ dengan diri sendiri sepanjang musim pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lepas. Bukan dirinya sahaja tetapi semua atlet menjalani latihan dan kuarantin di MSN dalam persediaan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Lapan bulan saya tak jumpa keluarga sebab berlatih waktu Covid-19. Setiap hari kami hanya training dan tak boleh keluar ke mana-mana langsung. Memang susah dan mental kena kuat sebab hari-hari hadap benda sama. Terkurung dan kuarantin sesama kami saja. Sebelum ini kalau waktu cuti rehat bolehlah juga keluar untuk release tension dan jalan-jalan.
Ini 100 peratus fokus kepada latihan ditambah pula dengan tak berjumpa keluarga berbulan-bulan. Jadi waktu itu, saya cuma main game atau tengok orang main bola di padang saja untuk lepaskan stres. First time jadi situasi macam ini sebab penularan wabak Covid-19. Apa-apa pun saya bersyukur pengorbanan selama lapan bulan ini ada hasil dan berbaloi,” ujar anak bongsu kepada Romly Mat dan Salmah Yatim ini.
Mengulas lanjut mengenai amalan diet sebagai atlet para lompat jauh, Latif mendedahkan tiga bulan sebelum menyertai kejohanan dia perlu mengikuti gaya pemakanan yang disarankan pakar nutrisi. “Memang saya jaga diet harian. Gula saya tak ambil langsung kecuali cheat day atau hari Ahad. Tiga bulan sebelum kejohanan biasanya saya elak makan daging untuk elak lemak.
Tambahan pula daging nak proses dalam badan lambat. Saya lebihkan pengambilan protein seperti ikan. Buat jus buah-buahan pun tanpa gula dan pergi ke gim seminggu dua kali iaitu pada pagi hari Selasa dan Khamis selama kira-kira satu setengah jam.”
Diaju soalan mengenai dirinya jika tidak menjadi ahli sukan, ini jawapan jujur Latif. “Saya pun tak terfikir. Mungkin saya kerja di kedai makan atau tolong mak mengusahakan bisnes kerisik. Mak berniaga kerisik di kampung secara kecil-kecilan dan buat jika ada tempahan. Dulu saya bercita-cita nak jadi polis tapi tak kesampaian.
Impian dalam bidang sukan saya berhasrat nak buat lompatan sejauh 8.03 meter dan memecahkan rekod milik Andre Anura Anuar selain berjaya masuk Sukan Olimipik. Buat masa ini sepenuh tumpuan saya hanya kepada karier sukan. Saya target untuk terus aktif dalam kerjaya sukan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Apa-apa pun saya amat berharap agar akan ada pelapis sukan lompat jauh ini yang boleh meneruskan kesinambungan legasi yang pernah saya sertai ini. Bukan hanya bakal atlet para yang berbakat dalam sukan ini tetapi juga dalam sukan lontar peluru menggantikan Muhammad Ziyad Zolkefli, jaguh lari pecut Mohammad Ridzuan Puzi dan lain-lain,” tegas Latif yang turut merancang mengakhiri zaman bujang pada hujung tahun 2022.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Namanya pernah menjadi sebuan peminat apabila membintangi drama televisyen kontroversi Nur, dimana Amyra Rosli ditugaskan menggalas watak sebagai anak kepada seorang pelacur lorong gelap.
Malah, dek kerana kecantikan aktres Amyra Rosli sememangnya diketahui ramai dan tidak disangkal lagi. Memiliki pesona dan aura tersendiri, dengan sikapnya yang mesra, rendah diri dan penuh kelembutan.
Bertutup Litup Lebih Anggun Mempersona
Dari seorang pelakon, bakat nama Amyra Rosli kini terus kekal menyinar sebagai pengacara rancangan berprestij NONA yang ditanyangkan oleh Media Prima Berhad menerusi saluran TV3.
Terdahulu, kehadiran isteri kepada aktor Amar Baharin ke sebuah majlis ilmu nyata menarik perhatian para tetamu dan peminat setia.
Berkongsi momen istimewa itu di media sosial miliknya, Amyra yang anggun mengenakan persalinan jubah rona Aqua cukup manis dipandang.
Sekaligus menyerlahkan sisi elegan dan perwatakan wanita muslimah sejati.
Yang pasti, foto yang dimuat naik itu mendapat pujian ramai. Bukan hanya terpesona dengan kecantikan Amyra bahkan mereka turut menyenangi perwatakan jelitawan tersebut yang berbudi pekerti tinggi.
Kongsi Amyra dalam gambar berkenaan, “She’s imperfect but she tries. Thank you kak Umie Aida bagi peluang sebaris dengan insan-insan hebat. Banyak perkongsian yang dapat Myra manfaatkan daripada majlis ilmu ni. Alhamdulillah.”
April lalu, ibu dua anak ini turut mendapat tumpuan masyarakat apabila berusaha keras menyiapkan kediaman ibu bapa yang ditipu sebuah syarikat hiasan dalaman. Difahamkan Amyra membayar sejumlah besar wang kepada syarikat terbabit namun tiada tindakan susulan dibuat.
Bagaimana pun niat untuk membahagiakan ibu bapa menjadi realiti apabila syarikat hiasan dalaman terkenal iaitu Lentera Creative Home sudi membantu.
Amyra atau nama sebenarnya Nur Amirah Izzati Rosli kini meniti usia 32 tahun dan merupakan seorang anak seni berjaya.
Dia mendirikan rumah tangga dengan Amar Baharin pada tanggal 11 November 2016. Hasil perkongsian hidup, pasangan romantis ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu anak lelaki Aqeef Anaqi dan anak perempuan Ayra Aryssa.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA