Anak jati Kuala Krai, Kelantan ini sudah jauh merantau beribu batu menempa nama di negara orang. Menjadikan kota New York sebagai rumahnya kini, pun begitu beliau tidak pernah melupakan tanah tumpah darahnya Malaysia. Menjejakkan kaki di bumi Amerika Syarikat pada usia 20 tahun dan bermula secara kecil-kecilan sehingga beliau membina nama yang kini meniti di bibir para elitis serta penggemar fesyen elegan. Menemu bualnya secara berbalas e-mel, satu persatu persoalan yang penulis beri dijawab dengan baik.
SELEPAS 28 TAHUN BEKERJA DARI STUDIO MERANGKAP BILIK PAMERAN AKHIRNYA DATUK BARU MEMBUKA BUTIK SENDIRI. KENAPAKAH BARU SEKARANG DAN APAKAH KEISTIMEWAAN BUTIK BARU INI?
Saya rasa ini merupakan masa yang sangat sesuai bagi jenama runcit untuk mengambil risiko, jadi saya memutuskan untuk membuka butik utama ini sekarang. Kalau bercakap tentang keistimewaannya, bagi saya ia umpama satu kotak perhiasan berlian yang cukup istimewa. Waktu yang sukar saya rasakan ini adalah waktu yang terbaik untuk mengambil risiko.
SEWAKTU BARU BERGELAR PEREKA FESYEN, SAYA DENGAR ANNA WINTOUR MENAMPILKAN REKAAN DATUK DI DALAM MAJALAH VOGUE EDISI MAC 1990. BOLEH KONGSI SEDIKIT TENTANG PERKARA INI DAN BAGAIMANA IA MEMBERI IMPAK KEPADA JENAMA ZANG TOI?
Saya sangat berterima kasih kepadanya dan kalau nak tahu saya merupakan pereka Asia pertama yang beliau ketengahkan dan perjuangkan bakat yang ada pada saya. Jadi perkara ini mengukuhkan lagi nama Zang Toi dalam arena fesyen di sana.
DUNIA FESYEN BERPUTAR LAJU DARIPADA SEGI TREND DAN STAIL. BAGAIMANAKAH PULA DENGAN JENAMA ZANG TOI? BAGAIMANAKAH DATUK MELIHAT JENAMA INI BERUBAH DARIPADA MASA KE SEMASA?
Trend datang dan pergi. Rekaan busana di Zang Toi merupakan satu proses yang tidak lapuk dek zaman dan merupakan satu helaian yang memiliki nilai tinggi. Pelanggan yang mendapatkan rekaan saya juga sangat setia dan bagi saya perkara ini merentasi erti trend. Saya juga menjadikan model perniagaan fesyen Zang Toi berpaksi kepada jenama Hermes yang sangat eksklusif.
BAGAIMANAKAH DATUK MENDAPAT SUMBER INSPIRASI UNTUK SETIAP KOLEKSI YANG DIHASILKAN?
Melalui kembara saya melihat dunia. Bak kata orang jauh berjalan luas pemandangan, jadi setiap lokasi yang cantik yang saya jumpai adalah satu sumber inspirasi terbaik.
BAGAIMANAKAH PROSES REKAAN BUSANA BERLAKU DARI MULA DATUK MENDAPAT INSPIRASI?
Saya akan meluangkan masa sendirian dan membayangkan koleksi yang saya impikan. Dari situ saya akan duduk melakar beberapa idea. Kemudian dari lakaran tersebut saya akan berbincang dengan pekerja saya dalam menghasilkan koleksi penuh dan memilih yang terbaik.
SESIAPA SAHAJA BOLEH MENJADI PEREKA FESYEN, NAMUN BUKAN SEMUA BOLEH BERJAYA DALAM BISNES FESYEN. BAGAIMANAKAH DATUK MENCAMPURKAN KEDUA-DUA ELEMEN INI SEHINGGA BERJAYA?
Menjadi seorang pereka fesyen, anda perlu mencari keseimbangan di antara nilai komersial dan nilai kreativiti. Di dalam bisnes ini perlu ada jualan yang akan menampung nilai kreativiti yang dimiliki.
APAKAH MEMORI YANG PALING BERHARGA SEPANJANG DATUK MELIBATKAN DIRI DI DALAM DUNIA FESYEN?
Semestinya sewaktu mula-mula hadir kerja saya diterbitkan di dalam majalah Vogue, kalau nak tahu ketika itu saya baru sahaja enam bulan memulakan perniagaan saya. Selain itu antara memori berharga adalah apabila saya mereka busana untuk wanita paling kaya di dunia iaitu Melinda Gates. Selama lima tahun dalam dunia fesyen sayalah orang yang menggayakannya.
BOLEH DATUK KONGSI SEDIKIT KATA-KATA SEMANGAT UNTUK MEREKA YANG MAHU BERJAYA SEBAGAI PEREKA FESYEN?
Kerja keras! Ini adalah satu kata azimat paling penting yang harus pereka fesyen miliki untuk berjaya di dalam bisnes ini.
AKHIR SEKALI, BOLEH DATUK CERITAKAN SEDIKIT TENTANG KOLEKSI TERBARU ZANG TOI SPRING SUMMER 2018. APAKAH INSPIRASI DI SEBALIK KOLEKSI INI?
Inspirasi di sebalik rekaan ini adalah sebuah lokasi yang bernama Lake Garda yang terletak di Itali. Saya menamakan koleksi ini ‘Luxe Life of Lake Garda’ sempena dengan klien-klien saya yang merupakan jet setter yang sering bermain di minda ini. Boleh dikatakan ia merupakan sebuah koleksi uber-mewah.
This website uses cookies.