
Isi Kandungan
ToggleKalau tak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya itu ungkapan yang sesuai menggambarkan perjalanan karier anak seni yang juga penyanyi bervokal mantap, Aina Abdul.
Menurut Aina, bukan mudah untuknya sampai ke tahap ini. Pelbagai liku serta onak duri terpaksa ditempuhinya seorang diri demi mencapai impian menjadi bintang di arena seni.
Terima Bayaran RM 50, Lepas Nyanyi 20 Buah Lagu?
Antara pahit getir yang kekal terpahat dalam ingatanya sehingga hari ini, adalah menerima hanya RM 50 untuk menyanyikan 20 buah lagu bagi persembahan satu malam.
“Pernah juga saya menyanyi tiga malam berturut-turut tanpa ada penonton di hadapan. Ada ketika, hanya dua hingga tiga orang sahaja.
“Ada masa dapat RM50 sahaja. Kadang-kadang, bayaran pun tak ada. Kena bahagi lagi dengan ahli band. Itu memang pengorbanan dan pengalaman yang saya tidak akan lupa.
“Tetapi, saya pegang satu prinsip dari zaman menyanyi di kelab. Walaupun tidak ada orang, bayaran tidak untung, saya kena teruskan juga,” lapor Utusan Malaysia.
Aina Tak Pilih Rezeki, Grab Semuanya Selagi Boleh
Jelas Aina lagi, perjalanan karier seni nya bermula lambat, ketika usianya 28 tahun, jadi dia tidak punya masa yang ampuh untuk memilih ‘rezeki’ seperti orang lain.
Sehubungan itu, sebarang peluang dan rezeki yang diterimanya digarap dengan sebaik mungkin, walaupun kadangkala tidak terlepas dari menerima kecaman dan kritikan dari wargamaya.
“Saya kena all out. Saya bermula pada usia 28 tahun dan orang anggap lambat. Bila dapat peluang, saya tidak akan sia-siakan.
“Disebabkan itu, saya tidak kisah orang kata fesyen pelik atau dikritik melampau, semuanya saya telan sahaja. Itu bayaran untuk mimpi saya,” ujar Aina.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista
Sumber: Instagram Aina Abdul & Utusan Malaysia
Anggun Di Usia 51, Dato’ Suriani KSU Kementerian Komunikasi dan Multimedia Yang Baharu

Sering tampil anggun dan menawan dengan baju kurung moden atau suit membuat penampilan Dato’ Suriani Dato’ Ahmad sering mencuri tumpuan. Wanita yang bakal menyambut ulang tahun ke 51 pada 25 Julai ini benar-benar cantik dalam kelasnya yang tersendiri.
Pada 1 Julai lalu Dato’ Suriani telah memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu.
Sebelum ini Dato’ Suriani merupakan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada November 2017.
Dato’ suriani berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sarjana Strategi dan Diplomasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Walaupun minatnya begitu mendalam di bidang komunikasi tetapi, sanggup berkorban demi memenuhi permintaan ibu bapa yang mahu Dato’ Suriani mewarisi kerjaya bapanya sebagai penjawat awam.
“Saya terpaksa melupakan kerjaya sebagai Eksekutif Editorial di Bernama PR walaupun sangat menyukai kerjaya itu yang memberikan saya peluang keluar berjumpa orang ramai dan mengatur pelbagai program.
Bagi saya, restu ibu bapa lebih penting dalam semua perkara yang ingin dilakukan kerana ia adalah doa dan hasilnya, di sinilah saya berada kini,” katanya yang pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Pengarah Dasar dan Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Pernah berkhidmat selama 23 tahun sebagai pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), Dato’ Suriani merupakan anak kelahiran Perlis Indera Kayangan.
Mempunyai tiga orang anak, Dato’ Suraini juga pernah dianugerahkan Anugerah Pekerja Contoh 2005 (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).
Sepanjang perkhidmatan, Suriani juga pernah menjawat jawatan penting di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pertahanan.
Nampaknya Dato’ Suriani juga aktif bersukan. Mungkin ini adalah salah satu rahsia awet mudanya. Dato’ Suriani juga merupakan pencinta kucing.
Sumber: BERNAMA & Berita Harian
Foto: Instagram @surianibintiahmad & www.kkmm.gov.my
Pernah Jalani IVF & Rajin Bersedekah, Impian Nur Liyana Bina Empayar LEEYANARAHMAN Tercapai

Di sebalik kejayaan yang dikecapi, siapa sangka beliau pernah jalani IVF sebagai ikhtiar hamil dan rajin bersedekah, malah sifat dermawan itulah asbab impian Nur Liyana bina empayar LEEYANARAHMAN tercapai!
Orangnya kecil molek dan mudah tersenyum. Berusia 30-an, anak Terengganu dan ibu dua anak ini sering menjadi tumpuan usahawan khususnya dalam bidang fesyen Muslimah.
Direzekikan sedang hamil anak ketiga ketika ini, isteri kepada Muhamad Hafiz Abdul Hamid tersebut tidak berselindung kisah mereka menjalani prosedur IVF selepas lima tahun menanti zuriat.
“Dalam pada duk kuat bergaduh tu boleh termengandung pulak tiba tiba aih. Tak tau nak sedih ke nak happy ke nak apa. Dulu sampai jalani IVF sebab 5 tahun menanti zuriat.
Sekarang ni anak tak sampai 2 tahun tup tup mengandung lagi. Apa-apa pun Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap rezeki kita. Doakan I kuat hadap alahan untuk beberapa bulan ni,” tenang Nur Liyana berkongsi kisah IVF beliau ketika sibuk membangunkan LEEYANARAHMAN.
Selain memiliki kemewahan pada usia muda, wanita dermawan yang mesra disapa Yana itu juga kerap menyampaikan sumbangan kebajikan kepada golongan yang memerlukan. Antara yang terbaru, sejumlah dana sekitar RM128,000 melalui Yayasan Nurjiwa buat saudara seislam di bumi Aqsa.


“Sumbangan ni bukanlah dari saya semata tapi sumbangan dari semua yang menyokong produk LEEYANARAHMAN. Walaupun pahala ni benda yang kita tidak nampak, tapi itulah duit kita di akhirat. Semoga sekecil-kecil usaha kita semua ni dipandang Allah dan jadi asbab untuk kita ke syurga.”
INSPIRASI
Sama cantik, sama padan. Kagum dengan karakter pasangan serasi pengasas LEEYANARAHMAN, Nur Liyana Abdul Rahman dan Muhamad Hafiz Abdul Hamid mengatur strategi bisnes serta rumah tangga.
Memiliki sebuah empayar perniagaan pada usia yang masih muda bukan menjadi satu halangan kepada mereka berdua untuk terus menempa kejayaan. Kerana terlalu fokus mengejar impian untuk membina empayar LEEYANARAHMAN, saat itu jugalah mereka berikhtiar menjalani prosedur IVF selepas beberapa tahun menanti tangisan cahaya mata sendiri.
Inspirasi kerja keras Nur Liyana yang merupakan ibu kepada si comel Tyara Luthfia, 5 tahun dan Hanna Qhalisya, 2 tahun ketika membina empayar LEEYANARAHMAN cetus inspirasi.
“Kami memulakan perniagaan ini pada tahun 2012 yang mana ketika itu kami sama-sama menuntut di UiTM dalam peringkat ijazah sarjana muda bidang kewangan. Ketika itu kami baru sahaja bercinta dan belum bergelar suami isteri.
Permulaannya apabila Liyana sendiri mereka busana hari rayanya dan memuat naik gambar tersebut di laman sosial, siapa sangka ramai yang bertanya dari mana Liyana membeli baju tersebut.

Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Kalau nak tahu modal yang kami keluarkan hanya sebanyak RM1,500 dan berjaya menghasilkan 14 helai busana.
Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja, dari keuntungan ini kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit, dari 14 menjadi 28 dan kemudian 36 sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar.
Selepas itu kami menghentikan rekaan ini dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain.
Kalau nak tahu duit sebanyak RM1,500 yang kami gunakan sebagai modal tadi adalah duit pinjaman pelajaran PTPTN yang kami terima sebenarnya, jadi saya menyumbang sebanyak RM900 dan Liyana pula sebanyak RM600.
Alhamdulillah dari hanya wang sebanyak itu kini jenama LEEYANARAHMAN sudah memiliki bangunan sendiri. Berkat kegigihan, kami berjaya membuka butik pertama di Bangi, Selangor.”
REALISTIK
Selepas sedekad berumah tangga, pasangan ini kian matang mengatur strategi bisnes yang dibangunkan bersama.
“Dalam berniaga kita harus bersikap profesional dan realistik, paling penting kalau terlibat di dalam satu projek misalnya, pastikan semuanya perlu ada hitam dan putih agar tidak ditipu.
Bagi saya perkara ini adalah satu tindakan utama yang harus dilakukan bagi menjamin kelancaran sesebuah perniagaan, lagipun ia amat penting untuk melindungi diri kita daripada kerugian.”

Jenama yang berdaftar di bawah syarikat Leeyanarahman Empire Sdn Bhd dan beribu pejabat di Hub Perindustrian Suntrack, Selangor ini sebenarnya bukan asing lagi di kalangan penggemar fesyen Muslimah. Selepas kejayaan koleksi GEMERSIK RAYA, kini Nur Liyana fokus terhadap jualan tudung bawalnya.
“Sebelum tudung kami terlebih dahulu keluarkan pakaian Muslimah. Jualan tudung kami mula sejak Oktober 2022 dan hingga sekarang sudah 700,000 helai tudung terjual.”
Hampir 12 tahun bina empayar LEEYANARAHMAN, bisnes mereka turut berkembang menghasilkan pelbagai produk lain. Antaranya busana lelaki dan produk kosmetik. Moga segala perancangan Liyana dan Hafiz dipermudahkan serta mampu menyuntik inspirasi kepada golongan muda untuk melakar kejayaan sama kelak.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/ilham-pengasas-leeyanarahman-koleksi-gemersik-raya-gamit-memori-pagi-syawal/
Resipi JOVIAN MANDAGIE Untuk Menu Seisi KELUARGA Atau Buat Jualan TAMBAH PENDAPATAN

Ramai mengeluh PKP disambung lagi. Walaupun ramai yang memilih untuk duduk rumah tetapi masih ramai juga yang berdegil. Ada yang terpaksa keluar untuk mencari pendapatan. Dato’ Jovian Mandagie, pereka fesyen terkenal pula mencetuskan idea kepada followersnya untuk berniaga dengan resipi yang dikongsi secara terbuka!
Sejak seminggu yang lalu Dato’ Jovian mula berkongsi menu yang dimasak buat keluarga tersayang. Namun istimewanya beliau bukan sahaja memberi idea menu masakan untuk followers tetapi memberikan resipi untuk dicuba sendiri.
Beruntungnya Datin Nina dan si comel Jeanelle, dapar rasa air tangan suami tersayang. Setiap kali posting Dato’ muncul di Instagram ramai yang memberi komen dan tentunya isteri tercinta pun gembira apabila ketua keluarga menyajikan menu yang sedap-sedap.
“Saya memang suka memasak. Ia juga adalah passion saya selain dari fesyen. Ibu saya juga pandai memasak dan satu waktu dulu saya pernah membuka restoran sendiri. Jadi minat dalam memasak itu tak pernah padam.
Apabila kerajaan melaksanakan PKP, saya mempunyai banyak masa terluang di rumah. Saya gilap semula bakat memasak dan Alhamdulillah mendapat respon diluar jangkaan apabila saya mula muat turun di Instagram dan sangat berbesar hati apabila ramai yang sudi mencuba resipi saya,”
View this post on InstagramA post shared by Jovian Mandagie (@jmandagie) on
Awal-awal lagi Dato’ sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada sesiapa sahaja yang ingin menggunakan resipinya buat mencari sumber pendapatan sendiri. Maklumlah, ramai yang hilang mata pencarian kerana tidak boleh keluar bekerja. Dengan perniagaan baharu ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban.
“Saya rasa berbesar hati dan tak perlu kedekut untuk berkongsi resipi dengan followers saya kerana saya anggap ia adalah satu pengiktirafan apabila mereka sudi mencuba dan suka dengan apa yang saya kongsikan bersama.”
Kata Dato’, sekiranya ada masa terluang dan mendapat permintaan daripada followers, beliau mungkin akan meneruskan perkongsian resipi di Instagram.
“Mungkin ia akan jadi ‘weekend affair’ dengan followers saya apabila saya akan share resipi setiap hujung minggu setelah tamat PKP. Followers sangat penting kepada saya kerana mereka adalah penyokong yang sangat saya hargai.
Tanpa mereka, tak mungkin saya berada di sini pada hari ini. Saya ikhlas dan akan terus cuba menggembirakan mereka dengan memberikan produk terbaik agar mereka terus berpuas hati dengan jenama Jovian Mandagie.”katanya yang sudahpun melancarkan koleksi terbaharu keluaran khas lebaran iaitu ‘Balik Kampung’ dan boleh dibeli secara online di www.jovian.com.my/shop
View this post on InstagramSebuah koleksi tradisi, Balik Kampung 2020 kini di laman web www.jovian.com.my/shop
A post shared by Jovian Mandagie (@jmandagie) on