Puan Sri Nisa Bakri nyata bukan calang-calang wanita. Kejayaan yang diraih beliau bukan hanya dalam industri kulinari tempatan malah diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa. Salah satu pencapaian membanggakan yang terpahat segar di ingatan Puan Sri Nisa pastinya saat beliau berjaya membawa masakan warisan Malaysia sampai ke Kota London!
Menceritakan kembali perjalanan awal dalam bidang ini, pemilik nama Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid ini mengakui aktiviti memasak pada mulanya hanya dijadikan sekadar hobi. Namun lama-kelamaan isteri Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini memilih dunia kulinari sebagai kerjaya.
Ads
Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah menempa nama dan reputasi cemerlang sepanjang bergelar cef selebriti.
“Memasak ini memang hobi saya dan dari hobi itu ia kemudian berputik menjadi passion. Sejak suami bersara kira-kira enam tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan memasak di rumah. Sepanjang aktif memasak ini juga saya akhirnya berjaya keluarkan buku masakan dan ada program masakan sendiri.
Tak sangka dari hobi, ia makin menjadi-jadi. Ingat hendak berehat dah, tapi Tan Sri faham minat saya dalam dunia masakan dan mahu saya teruskan minat ini. Mengenai pencapaian terbaik, alhamdulillah pada bulan Ramadan tahun lalu saya dapat buat program masakan sendiri yang disiarkan di saluran TV Okey bersama artis-artis tersohor negara.
Itu adalah salah satu pencapaian bermakna bagi saya. Keduanya pula ialah apabila saya dapat masak di London Fashion Week 2018. Saya buat masakan warisan Malaysia untuk empat fashion show melibatkan 700 orang. Memang ia pencapaian berharga buat saya,” telus Puan Sri Nisa yang merupakan penulis buku masakan, I Am Not A Chef.
Buku masakan yang diterbitkan pada tahun 2015 tersebut merupakan sebuah karya unik beliau berkonsepkan Romance, Food and Love yang menghimpunkan 25 resipi tradisional. Selepas kejayaan menerbitkan buku masakan sendiri, Puan Sri Nisa turut mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018 selain dilantik Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019.
Pada tahun sama juga Puan Sri Nisa menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran Awen iaitu ASEAN Women Entrepreneur Network di Bangkok, Thailand.
Berbicara soal rutin harian, Puan Sri Nisa mengambil manfaat situasi pandemik Covid-19 untuk mengajak semua kakitangannya tampil lebih kreatif dan berani mencuba strategi pemasaran baharu dalam usaha menarik semula permintaan pasaran.
Ads
Antara inisiatif yang dijalankan adalah pengenalan pek makanan, menyediakan makanan DIY, membantu golongan wanita yang diberhentikan kerja menjana pendapatan dari rumah, menyediakan modul perniagaan dari rumah, memantapkan jenama NisaBakri secara dalam talian, mengadakan kelas makanan online dan kelas masakan untuk kanak-kanak.
“Setiap minggu hari Jumaat, NisaBakri (NB) Gourmet akan tutup katering untuk public business. Kami ambil hari Jumaat untuk memasak bagi pihak pemberi sumbangan sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim, gelandangan, warga emas, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan makanan sihat dan lazat.
Individu-individu yang memberi sumbangan kepada NB Gourmet ini percaya dengan kebolehan kami untuk melaksanakan niat mereka sebab kami amat mementingkan masakan yang sihat tanpa pengawet atau preservatives.
Ads
Sejujurnya, saya sudah mulakan program ‘Friday Givings’ ini sejak enam tahun lepas. Sekarang alhamdulillah, ramai yang sudah tahu program berkenaan. Hari Jumaat ialah hari paling istimewa buat saya dan saya sendiri akan masak untuk insan-insan istimewa berkenaan.
Antara menu yang disediakan ialah Biryani Ayam Yemen, Biryani Grill, Ayam Masak Merah, Lontong Ayam Sayur, Daging Dendeng dan banyak lagi,” jelas Puan Sri Nisa yang mengambil tempahan makanan bagi tujuan kebajikan.
Terinspirasi dengan gaya hidup Puan Sri Nisa. Meskipun sibuk mengurus keluarga, cucu dan anak, tetap komited dengan bisnes yang diusahakan. Moga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.
Kredit foto: Instagram Puan Sri Nisa Bakri
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Saat ini demam Raja Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan terus melanda pawagam seluruh dunia apabila filem Pathaan ditayangkan secara rasmi pada Rabu, 25 Januari 2023 lalu. Selepas empat tahun tidak aktif berlakon, kemunculan beliau kali ini tentu sekali mendapat sambutan hebat hingga berjaya meraih kutipan RM28.5 juta ketika hari pertama tayangan.
Dengan usia mencecah 57 tahun, populariti Shah Rukh Khan kekal utuh meskipun dengan kehadiran ramai pelakon lelaki baharu di India.
Aura suami kepada usahawan Gauri Khan dan bapa kepada tiga anak itu bukan hanya dirasai di negara kelahirannya malah ke seluruh pelosok Nusantara.
Shah Rukh Khan dan Gauri bergelar suami isteri selama lebih tiga dekad dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aryan, Suhana dan AbRam Khan.
Masih mengekalkan senyuman yang charming serta bentuk badan sasa beliau yang ikonik, aktor Shah Rukh Khan terus menjadi pilihan utama dalam industri perfileman India.
Biarpun hero kesayangan ramai ini sudah hampir mencecah 60 tahun, namun kehebatan lakonan serta pesona fizikalnya terus menjadi igauan peminat.
Di sebalik isu kontroversi melibatkan pelakon wanita Deepika Padukone, ugutan boikot dan adegan panas yang diuar-uarkan, penampilan Shah Rukh Khan jelas masih punya jiwa tersendiri.
Filem terbaru Shah Rukh Khan ini diarahkan oleh Siddharth Anand mengisahkan tentang seorang ejen patriotik yang berjuang menentang musuh negara di India.
Menurut Hindustan Times, filem ini telah memperoleh sejumlah RM28.5 juta pada hari pertama tayangan dan bakal menyaksikan aliran menaik sepanjang hujung minggu lima hari yang dilanjutkan.
Kutipan tersebut telah melebihi jangkaan penganalisis filem yang meramalkan pembukaan sekitar RM18 – 23 juta untuk filem itu.
Dengan pembukaan RM28.5 juta ini, Pathaan menjadi pembuka filem Bollywood terbesar yang pernah diterbitkan, meninggalkan filem Thugs of Hindostan arahan Aamir Khan, yang memperoleh RM26 juta pada hari pertama.
PECAH REKOD
1. Filem Pathaan yang dibintangi Shah Rukh Khan merekodkan jumlah kutipan filem tertinggi dalam sejarah untuk hari pertama tayangan. Filem-filem beliau sebelum ini yang mencatat rekod adalah filem Happy New Year (RM18 juta), Dilwale dan Raees (RM10 juta).
2. Pathaan juga melakar sejarah dalam industri filem Hindi sebagai pemegang rekod kutipan tertinggi pada hari pertama tayangannya, diikuti filem KGF2 (RM27 juta), War (RM26 juta), Thugs of Hindostan (RM26 juta) dan Bharat (RM21 juta).
3. Meskipun dilancarkan pada hari bekerja iaitu Rabu, filem Pathaan tetap memecah rekod tersendiri. Lebih bertuah jumlah tersebut makin meningkat apabila hari kedua tayangan jatuh pada pada hari cuti umum Republic Day di India.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dapat keputusan 4 flat satu semester pun dah cukup membanggakan. Inikan pula setiap semester untuk empat tahun berturut-turut. Memang satu pencapaian luar biasa dan mengagumkan.
Lebih manis, kejayaan Irdina Shahriman terpahat di salah sebuah institusi pendidikan terkenal di Amerika Syarikat. Sebagai rakyat Malaysia, pasti ramai yang turut rasa kagum. Tahniah Irdina kerana berjaya mengharumkan nama negara!
Tidak dinafikan, nama Irdina menjadi bualan beberapa hari kebelakangan ini. Malah, kisah gadis berusia 24 tahun ini mendapat perhatian luas di Internet dan media sosial.
Semuanya selepas pemegang biasiswa Yayasan Tenaga Nasional (YTN) ini mencatat keputusan cemerlang dan konsisten memperoleh purata gred kumulatif (CGPA) 4.0 sepanjang tempoh pembelajarannya di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat.
Berbekalkan iltizam dan kesungguhan untuk berjaya, gadis ini berjaya mengharungi cabaran dalam bidang pembelajaran tersebut yang majoritinya dimonopoli kaum lelaki. Seterusnya mengekalkan keputusan cemerlang. Bukan sekali, tetapi pada setiap semester!
Irdina meraih ranking pertama di VT, kolej dan bidang pengkhususan bagi tahun akademik dari 2019-2020 dan 2018-2019. Ia sekaligus menyaksikan Irdina menduduki tempat pertama dalam kalangan hampir 10 ribu pelajar di sana.
Irdina ialah pelajar Program Pertukaran Sarjana Muda Amerika (ADTP) Yayasan Tenaga Nasional meraih Kelas Pertama (CGPA 4.0) Sarjana Muda Kejuruteraan Kuasa Elektrik Pengkhususan Tenaga dan Sistem Kuasa Elektronik.
VT merupakan universiti penyelidikan yang menduduki tempat ke-75 di AS dan antara 100 teratas dalam lapan mata pelajaran.
Atas kejayaan tersebut, Irdina turut dianugerahkan pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan iaitu anugerah kepada graduan senior dengan pencapaian akademik terbaik.
“Saya bukan seorang yang genius semula jadi, disebabkan itu saya bekerja keras untuk memperoleh keputusan cemerlang. Saya tidak ponteng kelas, saya membuat nota dengan bersungguh-sungguh dan paling penting, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas untuk meningkatkan pemahaman tentang pembelajaran.
Ada ketikanya saya terpaksa batalkan rancangan untuk keluar dengan rakan-rakan atau menonton filem bersama-sama. Cuti hujung minggu dan hari bekerja tidak ada bezanya dengan saya kerana banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan tugasan dan belajar untuk peperiksaan.”
Selain berbahasa Melayu dan Inggeris, dia turut mempunyai kemahiran dalam bahasa Jepun dan Cina.
Difahamkan, Irdina telah pun tamat pengajian pada Disember tahun lalu dan sedang menunggu tawaran pekerjaan di Tenaga Nasional Berhad.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hari ini saya sepertinya tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Tidak juga terlintas di fikiran, 2018 menjadi hamparan tsunami apabila tampuk Kerajaan beralih kuasa. Hebat sungguh penampilan kembali matan kesayangan ramai rakyat Malaysia, Tun Dr. Mahathir. Buat kali kedua beliau kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia di usia, 93 tahun. Lantas itu, saya Kiffy Razak mengambil kesempatan untuk mengembalikan memori terindah saya bersama Majalah NONA yang berkesempatan berbual panjang bersama Tun Dr. Siti Hasmah, Tun Dr. Mahathir pada tahun 2016. Perkongsian buat ini ikhlas mereka yang mungkin tidak berkesempatan memiliki Majalan Nona Jun 2016, di pasaran ketika itu.
Sepertinya seorang ayahanda dan bonda, berdiri di hadapan saya dengan budi bicara yang mesra dan tenang. Seindah itu juga senyuman terukir di wajah isteri tercinta Tun Dr. Siti Hasmah menyambut suami tercinta. Pasangan sejoli kekal bersama dalam suka dan duka mengharungi setiap liku kehidupan sepanjang perjalanan di pentas bumi bertuah. Lantas mengheret ingatan saya kepada nukilan puisi yang pernah menjadi tamparan kepada kehebatan semangat politik setiap warga Malaysia. ‘Perjuangan belum selesai’ – 4 Mei 1996, karya seni mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, saya menyelami dan menjiwai setiap baris ayat itu dan bila saya merenung ke dalam dasar insan empunya puisi tersebut, rasanya noktah itu belum berakhir. Saya memetik ayat-ayat cita puisi itu, ‘Masa depan belum menjanjikan syurga, bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa. Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsa yang berjaya…’
Terlalu banyak saya rasakan masih tersimpul dalam mindanya. Saya percaya sehingga di ketika ini dan di saat kami berbual bicara bersama majalah Nona, (biarpun tempoh masa yang diberikan tidak terlalu lama) di dalam kotak mindanya mempunyai pelbagai perkara yang terus difikirkan. Begitulah hebatnya jiwa seorang pemimpin yang telah banyak berbudi dan berjasa kepada rakyat dan negara, tidak perlu saya merungkaikan kehebatannya kerana segala-galanya telah terbukti di hadapan mata.
Tipu kiranya saya menyatakan tidak berasa gementar pada awal pertemuan kerana auranya dirasakan cukup besar. Namun, Tun Dr. Mahathir membuka ruang dirinya untuk sesiapa sahaja yang berada di sekeliling, berasa cukup selesa. Tutur kata kala berbicara sopan dan lemah lembut, jelas mencerminkan keperibadian dirinya yang intelek, merendah diri dan disenangi.
Sempat bergurau senda, “Kiffy tidak perlu takut, saya tidak garang!” Ya benar beliau bukanlah seorang yang garang tetapi di sebalik personaliti itu saya dapat menilai beliau seorang bapa dan pemimpin yang sangat tegas dan amat fokus kepada setiap apa yang dilaksanakan. Alhamdulillah, komitmen yang diberikan oleh pihak Tun sekeluarga sewaktu sesi fotografi bersama majalah NONA ini, amat kami hargai. Suasana berlangsung dengan tenang dan bersahaja, disulam bersama ketawa kala bahasa loghat orang utara, Kedah dituturkan. Sekapal saya dan Tun Mahathir, berasal dari Alor Setar dan membesar di kawasan kampung yang sama. Lantas itu kami terus rancak berbual…
Ramadan bakal kembali. Membawa kebahagiaan, persaudaraan dan makna pengorbanan. Ia merupakan bulan cinta dari Maha Pencipta. Bagi Tun sendiri pengertian Ramadan dan kenangan suasana menyambutnya dahulu dan sekarang, “Bagi saya, kita perlu menunaikan ibadah puasa dengan kerelaan hati yang ikhlas. Niat itu penting dan jadikan ia sebagai satu ibadat. Semaikan kekuatan iman yang kukuh dan jangan berpuasa kerana takut.
Ramadan dahulu dan sekarang memang jauh bezanya, dulu masa kecil seronok sangat bila tibanya bulan mulia ini. Paling istimewa apabila bulan ini dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan yang luar biasa dari hari kebiasaannya. Saya seronok pergi beli ais di pasar dan paling penting mesti berbuka dengan air sirap dan kurma. Warnanya yang merah membuatkan saya sering kali teruja untuk berbuka. Suasana sewaktu saya di Alor Setar, Kedah dahulu lebih tenang, tidak ramai orang dan masjid Zahir pun tidak sesesak seperti sekarang. Jika ingin diimbas kembali, terlalu banyak keindahan yang saya amat hargai. Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T dengan kesihatan yang baik untuk saya teruskan kehidupan sebagai seorang hamba-Nya dan melaksanakan ibadah puasa sehingga kini,” jelas Tun Mahathir tenang.
“Seperkara lagi kalau tibanya Raya, paling gembira bila dapat baju baru. Zaman dahulu, kalau dapat sehelai baju raya itu sudah mencukupi dan teramat gembira kerana baju itulah yang akan dipakai sepanjang tahun. Saya rasa semua individu mempunyai kenangan terindah setiap kali Ramadan dan Aidilfitri.
Menjangkau usia 91 tahun ketika itu, Tun Mahathir masih lagi aktif melakukan pelbagai aktiviti dan melaksanakan tanggungjawab yang masih belum selesai. “Saya tidak boleh duduk diam, perlu membuat sesuatu dan bergerak aktif. Jika tidak membaca, saya akan menghabiskan masa bersama-sama rakan berbual tentang masalah semasa. Paling penting, setiap apa yang saya lakukan dan laksanakan jauh sekali, tidak akan memburukkan nama negara.”
Tun Siti Hasmah sempat memberitahu, “Sampai sekarang, Tun suka keluar hari minggu di waktu pagi atau petang, memandu sendiri menuju ke kawasan projek yang beliau laksanakan atau telah dilaksanakan. Ingat lagi saya sewaktu Menara Berkembar KLCC sedang di bina, setiap minggu Tun akan ke sana melawat tapak projek. Kadang-kadang saya ikut serta bersama Tun, dia memandu saya duduk di bahagian sebelah penumpang rasanya kaki ini seperti sekejap-kejap ingin menekan brek kereta, risau juga!” ketawa kecil Tun Siti Hasmah sambil bercerita.
Semasa membesarkan anak-anak, pernah Tun dan isteri merancang agar mereka mengikut jejak langkah dalam bidang perubatan? Dan benar, Tun dikatakan sebagai seorang bapa yang garang? “Saya mungkin seorang yang tegas dan menegur anak-anak sama seperti seorang bapa lain membesarkan anak mereka. Nak kata sampai anak-anak membenci saya, tidaklah. Kita sekeluarga rapat dan cara dahulu lebih kepada rasa hormat yang menebal, cuma sekarang cara membesar anak-anak lebih santai seperti kawan. Ya jujurnya, saya suka kalau anak-anak yang mengikut jejak kami dalam bidang perubatan tetapi mereka tidak menunjukkan minat ke aras itu, saya tidak boleh memaksa. Itu adalah pilihan mereka. Tetapi sekarang ada juga cucu yang telah menunjukkan minat dalam bidang kedoktoran.”
Sepanjang perjalanan Tun dalam menerajui Malaysia, pastinya ada kenangan yang menyentuh hati yang tidak mungkin dilupakan sehingga saat ini, “Tanggal 1969 sewaktu saya kalah di pilihan raya. Saya merasa amat sedih, sehingga menitiskan air mata. Dan saat paling menggembirakan sewaktu hari Tun Hussein Onn melantik saya menjadi Timbalan Perdana Menteri.” Jelas Tun Mahathir. Biarpun ada segelintir yang melabelkan beliau dengan pelbagai andaian sebagai seorang yang kejam, keras dan sebagainya tetapi baginya itu hanya pandangan mereka yang tidak benar-benar mengenali beliau.
Setelah hampir 13 tahun meninggalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, jasa beliau pastinya tidak akan dilupakan oleh setiap generasi yang membesar bersama pembangunannya. “Alhamdulillah saya amat hargai mereka yang masih mengambil berat terhadap apa yang saya lakukan. Saya berasa cukup senang dan lega kalau tiada terpahat rasa benci dalam setiap hati manusia. Cuma andai suatu hari nanti saya telah tiada, cubalah untuk lupakan saya kerana saya sedar, saya tidak mampu membuat semua orang suka kepada kita, ada juga yang membenci,” kata-kata Tun terhenti di situ dan penulis terpaku seketika menahan sebak di dada. Dalam hati kecil ini, tidak mungkin kami akan melupakan pengorbanan mu begitu sahaja. Tun Mahathir adalah ikon, bapa wawasan dan di antara pemimpin terbaik menyumbangkan pembangunan kepada negara Malaysia.
Sebelum tempoh masa saya bersama Tun Mahathir dinoktahi, sedikit kata buat semua pembaca NONA, khususnya kaum wanita… “Saya bangga melihat wanita Malaysia hari ini yang bertindak dalam apa jua bidang sekalipun tidak keterlaluan sifatnya. Terus kekal menjaga keperibadian sebagai seorang wanita timur.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...