Dari Minat Jadi Kerjaya, PUAN SRI NISA Bangga Bawa Masakan Tradisi Sampai Kota London!

Puan Sri Nisa Bakri nyata bukan calang-calang wanita. Kejayaan yang diraih beliau bukan hanya dalam industri kulinari tempatan malah diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa. Salah satu pencapaian membanggakan yang terpahat segar di ingatan Puan Sri Nisa pastinya saat beliau berjaya membawa masakan warisan Malaysia sampai ke Kota London!

Menceritakan kembali perjalanan awal dalam bidang ini, pemilik nama Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid ini mengakui aktiviti memasak pada mulanya hanya dijadikan sekadar hobi. Namun lama-kelamaan isteri Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini memilih dunia kulinari sebagai kerjaya.

Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi dan kewangan telah menempa nama dan reputasi cemerlang sepanjang bergelar cef selebriti.

“Memasak ini memang hobi saya dan dari hobi itu ia kemudian berputik menjadi passion.

Sejak suami bersara kira-kira enam tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan memasak di rumah. Sepanjang aktif memasak ini juga saya akhirnya berjaya keluarkan buku masakan dan ada program masakan sendiri.

Tak sangka dari hobi, ia makin menjadi-jadi. Ingat hendak berehat dah, tapi Tan Sri faham minat saya dalam dunia masakan dan mahu saya teruskan minat ini. Mengenai pencapaian terbaik, alhamdulillah pada bulan Ramadan tahun lalu saya dapat buat program masakan sendiri yang disiarkan di saluran TV Okey bersama artis-artis tersohor negara.

Itu adalah salah satu pencapaian bermakna bagi saya. Keduanya pula ialah apabila saya dapat masak di London Fashion Week 2018. Saya buat masakan warisan Malaysia untuk empat fashion show melibatkan 700 orang. Memang ia pencapaian berharga buat saya,” telus Puan Sri Nisa yang merupakan penulis buku masakan, I Am Not A Chef.

Buku masakan yang diterbitkan pada tahun 2015 tersebut merupakan sebuah karya unik beliau berkonsepkan Romance, Food and Love yang menghimpunkan 25 resipi tradisional. Selepas kejayaan menerbitkan buku masakan sendiri, Puan Sri Nisa turut mendapat pengiktirafan sebagai Top Outstanding Gourmet Ambassador di World Gourmet Award 2018 selain dilantik Culinary Advisor oleh World Gourmet Award Association 2019.

Pada tahun sama juga Puan Sri Nisa menerima Anugerah Outstanding ASEAN Women Enterpreneur Award 2019 anjuran Awen iaitu ASEAN Women Entrepreneur Network di Bangkok, Thailand.

Berbicara soal rutin harian, Puan Sri Nisa mengambil manfaat situasi pandemik Covid-19 untuk mengajak semua kakitangannya tampil lebih kreatif dan berani mencuba strategi pemasaran baharu dalam usaha menarik semula permintaan pasaran.

Antara inisiatif yang dijalankan adalah pengenalan pek makanan, menyediakan makanan DIY, membantu golongan wanita yang diberhentikan kerja menjana pendapatan dari rumah, menyediakan modul perniagaan dari rumah, memantapkan jenama NisaBakri secara dalam talian, mengadakan kelas makanan online dan kelas masakan untuk kanak-kanak.

“Setiap minggu hari Jumaat, NisaBakri (NB) Gourmet akan tutup katering untuk public business. Kami ambil hari Jumaat untuk memasak bagi pihak pemberi sumbangan sebelum diagihkan kepada anak-anak yatim, gelandangan, warga emas, petugas barisan hadapan dan golongan yang memerlukan makanan sihat dan lazat.

Individu-individu yang memberi sumbangan kepada NB Gourmet ini percaya dengan kebolehan kami untuk melaksanakan niat mereka sebab kami amat mementingkan masakan yang sihat tanpa pengawet atau preservatives.

Sejujurnya, saya sudah mulakan program ‘Friday Givings’ ini sejak enam tahun lepas. Sekarang alhamdulillah, ramai yang sudah tahu program berkenaan. Hari Jumaat ialah hari paling istimewa buat saya dan saya sendiri akan masak untuk insan-insan istimewa berkenaan.

Antara menu yang disediakan ialah Biryani Ayam Yemen, Biryani Grill, Ayam Masak Merah, Lontong Ayam Sayur, Daging Dendeng dan banyak lagi,” jelas Puan Sri Nisa yang mengambil tempahan makanan bagi tujuan kebajikan.

Terinspirasi dengan gaya hidup Puan Sri Nisa. Meskipun sibuk mengurus keluarga, cucu dan anak, tetap komited dengan bisnes yang diusahakan. Moga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai wanita.

 

 

Kredit foto: Instagram Puan Sri Nisa Bakri

Share
Published by
Suzi