Seperti kata pepatah Melayu, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’. Memang benar tuah manusia tiada siapa yang mengetahuinya kerana nasib yang baik dan rezeki yang murah semuanya bergantung kepada usaha kita sendiri, sebelum ikhtiar itu kita serahkan kepada yang Maha Esa.
Bagi Irah Sukri, penglibatannya dalam alam perniagaan bermula di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan, dengan menjual kain pasang. Wanita dari negeri yang digelar Negeri Cik Siti Wan Kembang ini hanyalah peniaga biasa yang pernah merasai kehidupan ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Saban hari kehidupannya hanya tertumpu di pasar tersebut, menantikan dengan penuh harapan pelanggan akan mengunjungi kedainya untuk membeli-belah. Namun, Rokiah sedar, beliau juga perlu berdepan dengan peniaga-peniaga lain yang menjadi saingannya, yang turut mencari rezeki untuk sesuap nasi buat keluarga mereka.
Menurut Irah, hasil jualannya di Pasar Siti Khadijah tidak menentu dan ada pasang surutnya. Apa yang lebih menyesakkan hatinya ialah ramai peniaga yang turut menjual produk yang sama sepertinya.
Ekoran itu, Irah terpaksa melipat gandakan usaha bagi menarik pengunjung masuk ke dalam kedainya, atau barang-barangnya tidak akan dapat dijual, yang akhirnya menyebabkan beliau menanggung kerugian.
“Kami peniaga di Pasar Siti Khadijah ini rata-ratanya menjual barangan yang hampir serupa. Di pasar ini ada beratus peniaga. Jadi hasilnya sudah tentulah tidak seberapa,” katanya mengimbas kisah hidupnya berjualan di pasar itu.
“Saat yang paling dinanti-nantikan oleh setiap peniaga ialah semasa cuti sekolah. Kehadiran pelancong khususnya dari luar Kelantan biasanya membawa limpahan rezeki berbanding hari-hari biasa.”
“Saya dah berniaga kat pasar itu selama 10 tahun. Banyak yang sudah saya lakukan untuk tingkatkan jualan tapi tiada kemajuan yang boleh dibanggakan. Hidup saya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Menyedari keadaan perniagaan yang tidak begitu memberangsangkan, beliau nekad mahu melakukan sesuatu kerana jika tidak, nasib perniagaannya tidak akan berubah dan dia sendiri tidak tahu berapa lama ia akan kekal begitu.
Suatu hari pada tahun 2017, beliau menonton sesi Live seorang usahawan wanita yang tidak berpendidikan serta tidak tahu membaca atau menulis, tetapi mampu mencapai hasil jualan berjuta-juta ringgit.
Kejayaan usahawan itu, Halimah Muda, pengasas Nur Idaman Eksklusif, dicapai setelah beliau menyertai program-program RichWorks, kendalian Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
“Sesi Live itu membuka mata saya kerana kalau Puan Halimah boleh berjaya, kenapa saya tidak? Saya kemudiannya, mendaftar dan menyertai program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) anjuran RichWorks,” katanya.
Sejak menyertai program tersebut, beliau mula sedar dengan potensi perniagaan yang diusahakannya. Beliau juga percaya, dengan teknik perniagaan dan pemasaran yang betul, perniagaannya masih boleh dikembangkan.
Tidak cukup menyertai IMKK, Irah menyertai pula program Millionaire Marketing Master (MMM) dan dalam program itu, beliau diajar dengan lebih mendalam tentang pemasaran luar talian (offline) dan atas talian (online).
“Selepas mempraktikkan ilmu yang diajar, perniagaan saya nampaknya semakin maju dan pelanggan juga semakin ramai. Saya juga mengguna pakai teknik pemasaran online untuk perniagaan saya.”
“Di peringkat awal, saya guna media sosial untuk membina follower. Saya perkenalkan juga jenama sendiri iaitu IrahSukri kepada rakyat Malaysia dan hasilnya, perniagaan saya semakin dikenali,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Irah Sukri Global Sdn Bhd itu.
Ditanya maksud di sebalik nama Irah Sukri yang dipilih, beliau memberitahu, Irah adalah nama panggilannya semasa kecil manakala Sukri adalah nama suaminya. Beliau bersyukur gabungan nama Irah Sukri yang dipilihnya benar-benar membawa tuah.
Pada tahun 2018, perniagaan Irah semakin maju dan pencapaian jualannya pada tahun itu adalah sebanyak RM969 ribu. Tahun berikutnya pula iaitu 2019, hasil jualan IrahSukri terus melonjak naik ke RM2.4 juta, peningkatan sebanyak 149.52%.
Pada 2019 itu juga, perniagaannya mula 100% dijalankan secara atas talian dan beliau turut mendapat pelanggan dan tempahan dari Singapura dan Brunei. Beliau juga sudah mampu memiliki sebuah unit rumah kedai dan pejabat pengurusan, dengan 20 kakitangan.
Namun demikian, tahun 2020 memberi cabaran yang lebih besar kepada Irah apabila pandemik Covid-19 menjejaskan jualan kain pasang syarikatnya. Tetapi, beliau terus memanfaatkan teknologi untuk tujuan pemasaran dan membentuk pasukan jualan serta melantik key leaders.
“Kami masih kekal konsisten melaksanakan perniagaan di atas talian pada tahun lalu. Fokus kami masih dengan bisnes dan produk yang sama. Pasukan kami semakin berkembang dan ramai,” kata Irah.
Pada tahun 2020 itu, syarikatnya berjaya mencatat keuntungan jualan sebanyak RM3.46 juta manakala di antara Januari sehingga September 2021, syarikat itu telah pun mencecah jualan sehingga RM5.32 juta.
Kini, Irah mula menyimpan impian yang lebih besar. Beliau mahu berkongsi rezekinya bersama golongan suri rumah yang berminat untuk memiliki pendapatan sendiri.
“Saya bercita-cita untuk membantu suri rumah menjana pendapatan yang stabil. Kalau boleh saya mahu membantu mereka daripada zero iaitu tidak memiliki apa-apa hinggalah menjadi seorang hero,” jelas Irah.
Setelah tiga tahun berlalu, Irah kini sudah mampu mengukir senyuman bangga menyaksikan perniagaan yang diusahakannya itu memberi pulangan yang cukup lumayan.
Beliau bukan sahaja berjaya mengubah kehidupannya yang susah sebelum ini, malah mampu membeli kediaman dan kereta sendiri. Beliau juga membuka banyak peluang pekerjaan menerusi program dropship yang dijalankan oleh syarikatnya.
Beliau mengingatkan usahawan atau bakal usahawan di luar sana agar tidak mengalah dengan cabaran yang terpaksa ditempuh, dan mesti sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan ilmu dan mentor yang boleh memajukan perniagaan yang dijalankan.
Jika Irah boleh berjaya dan menjadi jutawan walaupun terpaksa melalui pengalaman pahit semasa mula-mula menjalankan perniagaan, bagaimana pula dengan anda?
Artikel ini juga diharap dapat memberi manfaat kepada golongan wanita yang ngin membuktikan bahawa mereka juga boleh menjana pendapatan sendiri.
Kejayaan Irah sehingga mampu menjana pendapatan jutaan ringgit, mungkin boleh menjadi contoh dan pendorong kepada masyarakat untuk mengikut jejak langkahnya bergelar usahawan berjaya.
Sumber: Buku 100 Usahawan Jutawan (Satu Misi Bantu The Nation) Terbitan Richworks
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
This website uses cookies.