Terinspirasi dengan kesungguhan Hazlin Hussain dalam menimba ilmu dan berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik. Nama wanita serba boleh ini dikenali ramai selepas dia menyertai pencarian bakat ‘Gadis Melayu’ Musim Kedua pada tahun 2009 dan kemudian berkhidmat sebagai penyampai berita.
Populariti Hazlin kian melonjak ketika dia diberi kepercayaan mengacarakan program dokumentari 999 bagi menggantikan Zakiah Anas pada tahun 2014.
Gaya penampilan dan ketegasannya sepanjang mengacarakan program tersebut berjaya menarik perhatian penonton.
Dari pentas dunia glamor, Hazlin sedikit demi sedikit mula ‘berhijrah’. Daripada ‘free hair’ dia nekad mengenakan hijab, mengikuti kelas agama dan meninggalkan kerjaya penyiaran.
Meskipun mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih jauh namun keputusan Hazlin untuk mendekati Allah, rasul dan Al-Quran mengatasi segala-galanya.
Dihubungi Nona baru-baru ini, isteri penyampai berita TV3 Mior Abdul Malek berkenaan terbuka berkongsi perkembangan terkini dan mengharapkan agar perkongsian ini dapat memberi manfaat.
Bercerita kejayaannya menggenggam Sarjana Pengajian Islam Al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada November lepas, Hazlin mendedahkan dia terdetik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut selepas mengerjakan umrah pada tahun 2021.
“Semenjak pulang umrah pada Oktober 2021 iaitu selepas Covid-19, saya berkesempatan untuk naik ke Gua Hira’, suasana yang susah nak digambarkan dan saya tertampar dengan kata-kata mutawif dalam bas.
‘Sedih tak nak meninggalkan tempat ni?’ Jemaah lain cakap sayu, sedih dan ada yang teresak-esak. Saya tak faham kenapa saya tak ‘rasa’.
Mutawif cakap kalau tiada rasa itu sebab kita tak kenal lagi siapa Nabi Muhammad SAW. Kita tak kenal keluarga Baginda, kita tak tahu sirahnya, sahabatnya. Apatah lagi perjuangannya.
Lepas tu, saya nekad untuk belajar dan mencari ilmu. Sehinggalah saya sambung pengajian ke peringkat Master Al-Quran dan Sunnah untuk berada dalam circle baru, guru-guru baru sebab terlalu banyak soalan yang nak ditanya dan dibincangkan,” ujarnya.
Walau sudah berjaya menggenggam ijazah namun Hazlin tidak lelah mencari ilmu dan memanfaatkan masa pada bulan Ramadan ini dengan mengikuti kelas agama.
“Memang setiap kali Ramadan saya busy dengan buat kuih raya semperit dan online class yang melibatkan pengajian Islam seperti kelas tajwid, Bahasa Arab Al-Quran dan terkini, pengajian Al-Quran dan Sunnah.”
Difahamkan anak keempat daripada tujuh beradik ini mula menjual kuih raya semperit sejak lapan tahun lepas.
“Saya mula sejak tahun 2017, memang buat sendiri, pergi belajar sana-sini. Tapi takut nak mulakan perniagaan disebabkan masa tu dah selesa dengan pekerjaaan sedia ada (penyiaran). Tapi masa tu rasa dah tepu dan cuba nak ‘campakkan’ diri dalam bidang lain pula.
Resipi kuih semperit ini dari seorang guru yang saya belajar di sebuah kolej di Selayang, Selangor. Pada awalnya saya rasa biasa je, tapi sebab ada seorang sahabat cakap, kita kena buat bisnes semperit ni, maka kekal sehingga hari ini. Dan sahabat saya tu, masih membantu saya smpi sekarang.”
Tambahnya lagi, “Disebabkan saya hanya buat di rumah dan memperuntukkan 10 hari sahaja untuk beri komitmen buat semperit, jadi tidak banyak yang dapat dihasilkan, purata 500 balang sahaja. Dan tak boleh buat lebih dari 1 jenis kapasiti sangat terhad.
Macam saya maklumkan, saya ada komitmen utama pada bulan Ramadan yang sayang untuk dilepaskan. Mencari ilmu.”
Sentiasa ‘isi’ peribadi dengan ilmu bermanfaat, kejayaan Hazlin memang patut dijadikan ikutan. Bukan hanya bijak, dia juga mahir dalam banyak perkara. Antaranya memasak dan menjahit.
“Saya memang dah biasa tengok mak menjahit tapi jahit ‘ikut dan’ jelah. Masa kecil pun saya yang tolong tetaskan jahitan kalau mak tersalah jahit. Tapi disebabkan saya ni memang kehausan ilmu, jadi mahu ataupun tidak saya suka pergi belajar.
Walau pun jauh, yuran tinggi, takkan halang saya untuk sampai ke kelas tu. Pada saya, minat dah ada tapi ilmu tetap terus kena mencari.”
Dibesarkan dalam keluarga sederhana, Hazlin syukur setiap adik-beradiknya mempunyai kelebihan tersendiri dan akui sikapnya yang suka berdikari.
“Saya anak tengah-tengah, nombor empat. Jadi boleh kata, tidak dimanjakan dan tidak pula dikesampingkan. Tapi selalu apa-apa buat sendiri. Keputusan sendiri. Mak suri rumah, abah kontraktor kecil-kecilan.
Adik-beradik saya memang semua ada kemahiran masing-masing dan ada buat bisnes hasil kemahiran yang ada tu untuk sara hidup dan cari duit tepi.”
Hazlin Hussain mendirikan rumah tangga bersama Mior Abdul Malek Rayani pada 13 Disember 2015.
Diaju bagaimana dia menjaga keharmonian rumah tangga, ini jawapan jujur Hazlin. “Perkara paling penting, komunikasi. Kami sepakat, apa-apa jangan pendam dan perlu luahkan apa yang kita rasa dan sama-sama fikir solusi atau jalan tengah.”
Semoga rumah tangga yang dibina kekal bahagia sampai syurga dan terus memberi inspirasi kepada masyarakat.
This website uses cookies.