Dari pentas ajang ratu cantik, wanita berparas jelita ini selesa mengembangkan kerjayanya sebagai entrepreneur. Dari sekadar hobi suka-suka mengayuh basikal, Crissty Chiang Liyean dan suami tekad mengusahakan Cyclists & Co, sebuah kedai basikal high-end yang baru dirasmikan di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Ruang pameran Cyclists & Co diberi sentuhan maskulin. Siling dan kerangka rak hitam diterangi lampu pemantul, menyerlahkan himpunan basikal mewah yang diterbangkan khas dari Itali.
Kata Crissty, selain basikal untuk pelbagai kegunaan, kedainya turut menawarkan servis membaiki basikal, komponen teknikal, aksesori dan pakaian untuk lelaki mahupun wanita.
Jika jelitawan lain asyik bercerita soal fesyen dan kecantikan, Crissty pula fasih menerangkan koleksi jenama basikal di kedainya. Cannondale, Colnago, Pinarello
dan Sworks antara basikal berprestasi tinggi yang diterbangkan jauh dari Itali.Kata Crissty sambil menerangkan satu-persatu model basikal di situ, kebanyakan model ini digilai oleh ramai pencinta sukan basikal, khususnya golongan atasan yang mementingkan mutu kayuhan.
Pengetahuan Crissty dalam bidang sukan berbasikal jelas menjadi kelebihan ratu cantik yang juga bekas juara Miss Selangor 2004 ini, selain pernah menjadi model catwalk dan komersial selama 12 tahun.
“Sebenarnya suami saya, Ken Lim, sangat aktif berbasikal pada waktu lapang. Malah dia juga pernah menyertai beberapa tournament dan mempunyai ramai kenalan dalam sukan ini. Dari situlah juga tercetusnya minat saya dalam bidang ini.
Selain bagus untuk kesihatan, hobi berbasikal juga membuka ruang bersosial sesama wanita dan membolehkan peminatnya berkumpul tanpa mengira kaum.
Menjelang musim PKP, saya mula mendalami bidang perniagaan basikal secara serius. Selepas meneliti permintaan, kami pilih Publika kerana lokasinya yang strategik dan mula membawa masuk jenama-jenama basikal serta aksesori terbaik dari luar negara untuk pasaran Malaysia.” Crissty Chiang
Berusia 30-an, wanita lulusan ijazah kesetiausahaan perniagaan ini mula memberi fokus terhadap operasi Cyclists & Co sejak dibuka pada Julai lepas.
“Sebelum ini saya menjalankan bisnes makanan fusion Jepun dari rumah iaitu Wasushi. Perniagaan berkonsepkan delivery ini dijalankan bersama adik dan adik ipar saya sewaktu PKP.
Saya juga pernah bertugas sebagai setiausaha di sebuah firma hiasan dalaman. Selepas berkahwin, tumpuan saya lebih kepada keluarga namun pada kebanyakan masa, saya senang membantu suami menguruskan bisnes seperti membuat kertas kerja.
Jadi ada kalanya saya di rumah dan ada kalanya saya hadiri mesyuarat atau majlis-majlis penting bersama suami.” Crissty Chiang
********************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link )
********************
Ditanya apakah persediaan untuk wanita yang baru mula berjinak-jinak dengan sukan ini, Crissty yang merupakan ibu kepada sepasang cahaya mata bingkas memberi penerangan.
“Mudah saja. Pertama sekali anda perlu mempunyai basikal. Di Cyclists & Co, kami menawarkan basikal bermula dari harga RM10,000 dan ke atas.
Kemudian anda juga memerlukan topi keledar serta peralatan keselamatan yang baik sebagai perlindungan di atas jalan raya.”
Siapa sebenarnya Crissty Chiang? Baca artikel lengkap mengenai wanita hebat ini dalam naskhah khas Nona Superwoman Award tidak lama lagi.
This website uses cookies.