Dari Penyanyi Ke Wakil Rakyat Indonesia, Krisdayanti Optimis Dengan Tanggungjawab Baru Ini

Aura penyanyi yang sudah lebih 27 tahun berkecimpung dalam dunia seni ini bukan calang-calang. Sentiasa hadir mempersembahkan karya penuh indah buat santapan halwa telinga peminatnya. Kini Diva terkenal ini telah melangkah ke suatu aras yang lebih tinggi dengan menyertai dunia politik.

“Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka untuk menjadi seorang ahli politik. Namun, bila difikirkan balik, hampir setengah abad saya membesar di negara ini. Jadi, saya merasakan saat ini ialah saat paling tepat untuk saya membalas budi buat negara tercinta dengan memberikan sumbangan dalam bidang lain selain daripada bidang seni,” tutur Krisdayanti saat mengatur pertemuan di kediamannya tempohari.

Krisdayanti merupakan antara 14 artis popular Indonesia yang akan melangkah ke Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi penggal 2019 – 2024. Krisdayanti bersama-sama artis lain seperti Mulan Jameela, Desy Ratnasari dan Rano Karno bakal menyertai anggota DPR yang lain bagi memulakan tugas bermula 1 Oktober ini.

Umum tahu bahawa dunia politik ini penuh dengan onak dan duri namun Krisdayanti positif menyertai bidang ini. “Sebelum ini, mungkin saya melihat bidang politik ini mempunyai jarak atau batasan tapi, sejak di bawah kepimpinan Presiden Jokowi, jarak di antara pihak-pihak tertentu termasuk rakyat itu sendiri sudah tidak lagi wujud.

Dari situ saya berasa senang dan berbesar hati untuk memberikan jasa dan sumbangan dalam bidang ini. Saya juga menganggap is sebagai satu cabaran baru yang boleh saya pelajari dan menjadikan ia sebagai salah satu cabaran dalam kehidupan,” bicara Krisdayanti penuh semangat.

Kewibaawan Krisdayanti sebagai ahli politik terserlah apabila telah mula menjalankan sesi lawatan ke kampung-kampung sejak September tahun lalu. Dilaporkan sehingga bulan Mac lalu Krisdayanti telah melawat lebih 300 buah kampung termasuk Malang, daerah kelahirannya.

Perhatian masyarakat pula pasti akan tertumpu dengan penampilan Krisdayanti yang sentiasa anggun. “Umum mengetahui jenama ‘Krisdayanti’ itu bagaimana dan penampilan ini adalah signature saya. Fesyen itu luaran saja, paling penting tanggungjawab yang saya galas perlu seiring dan perlu dilaksanakan dengan baik,” ulas Krisdayanti yang tidak akan meninggalkan dunia seni walaupun sudah bergelar ahli politik.

Sebagai anak seni yang sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri Krisdayanti tidak akan cepat melatah kala dikritik. Ketika diajukan pertanyaan tentang penerimaan masyarakat tentang tanggungjawab barunya ini, tuturnya, “Penerimaan orang ramai terhadap saya sama ada positif atau negatif, saya menganggapnya sebagai suatu cabaran. Saya sentiasa berfikiran positif dan tidak terlalu mengambil kira hal-hal negatif yang diajukan kepada saya.

Semoga dengan tanggungjawab baru ini Krisdayanti dapat meningkatkan martabat kaum wanita ke peringkat tertinggi dan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh semangat tanpa mudah menyerah kalah.

Foto: Instagram @krisdayantilemos

Share
Published by
Hamizatul Maizan