Dari Pramugari Ke Pengacara TV, Bakat ANIM EZATI Makin Bersinar & Namanya Kian Melonjak!

Siapa sangka, dari seorang pramugari kini Anim Ezati Rizki merupakan antara personaliti televisyen popular. Simpan hasrat menceburi bidang pengacaraan sejak dulu, impian tersebut akhirnya menjadi realiti apabila Anim berjaya dalam pencarian uji bakat pengacara bagi sebuah stesen televisyen swasta.

Berusia 30 tahun, sebelum mewarnai dunia pengacaraan Anim pernah menjadi pramugari Air Asia. Difahamkan siswazah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini beberapa kali menyertai uji bakat untuk jadi pengacara dan pelakon.

Rezeki mula berpihak kepadanya dan tugasan pertama yang dikendalikan Anim ketika itu ialah sebagai hos Pitch Side Football. Dia kemudian mengacarakan Malaysia Hari Ini (MHI) dan berhenti kerjaya pramugari pada April 2017.

Bermula dari MHI, Anim seterusnya diberi kepercayaan mengendalikan program 999 pada tahun 2018 yang pernah dihoskan oleh personaliti TV popular, Zakiah Anas. Bersandarkan bakat dan pesonanya, Anim turut mengacarakan program berbentuk kesihatan ‘Helo Doktor’ selama empat musim.

Anim juga pernah menjadi pemenang Anugerah Bintang Olay 2017. Kebelakangan ini, namanya menjadi perhatian apabila berita penceraiannya hangat diperkatakan di Internet. Khabarnya, rumah tangga yang dibina bersama Mohd Fadli Sahudin pada 28 Disember 2019 hanya bertahan selama dua tahun.

Hasil perkongsian hidup dengan bekas suami, Anim dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Yara Alanna Khalsom berusia dua tahun.

Tabah mendepani ujian mendatang, Anim menerusi media memberitahu tidak mudah baginya menempuh fasa ibu tunggal. “Saya tabik hormat kepada semua ibu tunggal di luar sana. Menggalas gelaran sebagai ibu tunggal bukan mudah.

Saya merasai segala pahit manis, cabaran untuk membesarkan anak tetapi saya bersyukur kerana Allah permudahkan dengan pelbagai cara.”

Berbekalkan populariti dan wajah cantiknya yang sering menghiasi program di kaca televisyen, Anim turut menerima tawaran sebagai pengacara majlis bagi perkahwinan, seminar dan sebagainya. Melimpah ruah rezeki ibu muda ini.

Share
Published by
Suzi