Dari Pramugari Ke Pengawal Peribadi, JENERAL SUTHIDA Kini PERMAISURI THAILAND!

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itu perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan kehidupan yang sedang dilalui Jeneral Suthida Vajiralongkorn Na Ayudhya ketika ini. Mana tidaknya, dari seorang bekas pramugari Thai Airways… Jeneral Suthida kemudian dilantik sebagai Timbalan Pengawal Peribadi Raja Vajiralongkron sebelum dilamar ‘majikannya’ itu dan kini bergelar Permaisuri Thailand. Beruntungnya!

Setelah sekian lama menjaga keselamatan dan melindungi Raja Vajiralongkorn, Suthida yang dilaporkan berusia 40 tahun pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pemerintah Unit Pengawal Peribadi Raja Vajiralongkorn pada tahun 2014 dan menerima kenaikan pangkat sebagai Jeneral pada Disember 2016.

Baginda seterusnya dilantik menjadi pengawal peribadi Raja Vajiralongkorn pada tahun 2017 dan dianugerahkan Thanpuying iaitu gelaran diraja yang membawa gelaran Lady.

Sepanjang tempoh itu kelibat Suthida sentiasa berada di samping Raja Vajiralongkorn demi memastikan keselamatan pewaris takhta Thailand tersebut dikawal rapi. Baginda juga sering dilihat lengkap berpakaian tentera ketika mengiringi Raja Vajiralongkorn ke acara-acara rasmi.

Hadir melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah istana di Bangkok, Raja Vajiralongkorn segak berpakaian seragam rasmi berwarna putih. Manakala Jeneral Suthida pula anggun mengenakan dres tradisional sutera Thailand merah jambu.

Ia merupakan perkahwinan keempat baginda Raja selepas bercerai dengan isteri ketiganya, Puteri Srirasmi pada 2014 setelah 13 tahun berkahwin. Semuanya gara-gara pembabitan ahli keluarga Srirasmi yang dikatakan terlibat dalam skandal rasuah.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang putera.

Upacara menandatangani ikrar perkahwinan Raja Vajiralongkorn dan Jeneral Suthida, ia turut disaksikan adindanya Princess Siridhorn dan salah seorang pemimpin tertinggi Thailand, Prem Tinsulanonda.

Turut menghadiri upacara tersebut ialah Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dan beberapa ahli pemimpin Thailand.

Raja Maha Vajiralongkorn yang bakal menggunakan gelaran King Rama X, menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Bumibol Adulyadej pada Oktober 2016 selepas memegang takhta diraja Thailand selama 70 tahun.

Upacara pertabalan Raja Vajiralongkorn sebagai Raja Thailand berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Mei lalu.

 

Share
Published by
Suzi