10 tahun nyata bukan satu tempoh singkat. Pastinya sepanjang dekad tersebut pelbagai cabaran dan kejayaan telah dicapai usahawan berjiwa besar, Datin Vivy Sofinas Yusof! Berbekalkan minat dalam fesyen dan perniagaan telah membuatkan wanita inspirasi ini nekad menubuhkan FashionValet di samping suami tercinta, Dato’ Fadzarudin Shah Anuar sekitar tahun 2010. November tahun ini, genap 10 tahun Vivy bergelar usahawan yang turut menyaksikan ulang tahun ke-10 FashionValet. Tahniah!
“Marks my 10th year as an entrepreneur too. With all the learnings from my first decade, I feel like I should write a book! So many achievements, so many mistakes, so many stories I haven’t told. Entrepreneurship is a roller coaster ride of ups and downs, and I’m about to enter the second decade of this awesome ride. Ride with me? Bismillah!”
Dengar kata, sempena ulang tahun kesepuluh ini juga Vivy sedang merancang untuk menerbitkan buku sendiri yang berkisar perjalanan dan pengalaman beliau membangunkan legasi selama ini. Kalau betul, mesti ramai yang ternanti-nanti naskhah istimewa berkenaan.
Siapa sangka daripada seorang blogger, Vivy kini sudah sedekad bergelar usahawan berjaya yang disegani ramai. Kejayaan yang diraih beliau bukan calang-calang kerana selain menerajui empayar FashionValet dan The dUCk Group, Vivy juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM termuda dalam sejarah institusi pengajian terkemuka negara. Bahkan namanya juga pernah tersenarai sebagai Forbes 30 Under 30 Asia kira-kira tiga tahun yang lalu dan menjadi Ikon Wanita Tahun Memperkasa Wanita (TMW) 2018.
Ketika Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung pada 20 November lalu, Vivy menerusi empayar The dUCk Group melakar satu lagi kisah kejayaan apabila koleksi skaf The Malaysia dUCk digayakan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. Nampaknya nilai eksklusif skaf dUCk tidak hanya digemari di Malaysia bahkan turut menambat hati pemimpin luar negara.
Kalau hendak hitung pencapaian Vivy, memang banyak namun yang paling membanggakan ialah kecekalannya menceburi bidang keusahawanan sejak 10 tahun lepas. Ini bermaksud, Vivy sudah membabitkan diri dalam bisnes seawal usia 22 tahun lagi.
Meskipun berdepan pelbagai cabaran saban tahun namun wanita berusia 32 tahun ini enggan mengalah dan terus mengorak langkah menjadi sumber inspirasi kaum wanita. Bersandarkan rupa paras cantik, bijak dan pencapaian membanggakan, tidak hairanlah Vivy sering menjadi ikutan generasi muda hari ini.
Tidak dinafikan, setiap kali bertanya kepada golongan dan usahawan belia hari ini mengenai siapa inspirasi mereka… memang nama inilah antara yang paling banyak disebut-sebut. Mana tidaknya, Vivy bukan saja memiliki rekod akademik yang cemerlang malah berjaya melakar kejayaan dalam bidang perniagaan dan fesyen tanah air.
Bercerita tentang dUCk, jenama muslimah ini sememangnya mempunyai penangan luar biasa. Pendek kata, apa sahaja produk keluaran dUCk pasti laris di pasaran dalam masa singkat. Walau perniagaan makin maju namun Vivy tidak lokek berkongsi rezeki terutamanya ketika negara dilanda penularan wabak Covid-19.
Atas dasar prihatin, beliau terpanggil untuk menyalurkan bantuan dana kepada hospital terlibat menerusi platform FashionValet dan turut menyumbang sejumlah besar dUCkscarves kepada para frontliners.
Moga usaha murni dan kejayaan Vivy Yusof sentiasa menjadi pembakar semangat untuk kaum wanita terus berjaya.
Kredit foto: Instagram Vivy Yusof
This website uses cookies.