Daripada Doktor Perubatan Ke Dunia Artis, Dr. Katalina Cekal Mengatur MASA DEPAN – Walaupun LARI BIDANG!

Berstatus ibu tunggal bukan halangan buat wanita jelita ini untuk melangkah maju dalam kerjaya. Satu persatu bidang diceburi dan setiap apa yang dilakukan Dr. Siti Khadijah Awang Amat ini pasti membuahkan hasil.

Mahu dikenali dengan panggilan Dr. Katalina, ibu kepada dua cahaya mata ini juga sudah mula melebarkan sayap dalam bidang lakonan tatkala membawa watak kaunselor penjara dalam drama bersiri Lara Aishah bersama gandingan pelakon hebat seperti Jasmin Hamid dan Dato’ Eizlan Yusof. Setahun lalu juga, Dr. Katalina telah melancarkan single pertamanya ‘Macam Faham’ di bawah naungan Warner Music.

Pernah menyertai program nyanyian bersama RTM Sabah ketika berusia 15 tahun, Dr. Katalina cukup optimis mendepani masa depan bersama dua anaknya, Sofea Adrianna dan Muhd Syafeeq Iskandar.

“Tak ada apa yang hendak saya sembunyikan tentang status ini. I’m alright with that. Lagipun, memang niat utama saya mahu bagi semangat kepada para wanita yang senasib supaya tidak takut menghadapi realiti hidup dan kejar impian. Itu yang harus ditekankan,” pintanya.

Keterbukaan Dr. Katalina mencerminkan keperibadiannya yang luhur dan tulus. Enggan mengingati kisah silam, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini cekal mengharungi liku hidup bersandarkan semangat juang yang tinggi.

Dia yang akur dengan takdir Ilahi turut tidak menafikan kenangan lalu telah banyak mematangkan diri. Saat diminta mengulas tentang profesionnya, doktor berusia 34 tahun ini lantas membuka bicara.

“Masuk tahun ini sudah hampir tujuh tahun saya berkhidmat sebagai doktor perubatan. Awal perkhidmatan dulu saya telah ditugaskan ke Hospital Selayang selama tiga tahun.

Cukup tempoh itu, saya dipindahkan pula ke Klinik Kesihatan Bandar Mentakab untuk beberapa tahun sebelum dilantik sebagai salah seorang doktor peribadi kepada keluarga diraja.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana kurniakan saya kesihatan yang baik untuk meneruskan kelangsungan hidup dan berbakti di bumi Allah. Masa yang terluang itu saya isi dengan aktiviti seni dan memenuhi pelawaan sebagai duta produk.

Demi tanggungjawab sebagai doktor, saya sering turun padang untuk memberi ceramah berbentuk kesihatan dan kesedaran seperti pencegahan penyakit denggi, kebaikan susu ibu, pemakanan bayi dan sebagainya kepada masyarakat.

Kalau ada masa senggang, saya turut mengadakan home visit bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan khusus selain aktif menyertai program bantuan makanan dan keperluan kebajikan bagi golongan gelandangan di sekitar ibu kota.”

Bukan mudah bagi seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang lakonan untuk membawakan sesuatu watak dengan baik dan berkesan namun bagi Duta Kelab Lotus ini, penghayatan yang jelas tentang jalan cerita memudahkan dirinya untuk beraksi di depan lensa kamera.

“Saya tidak pernah ikut mana-mana kelas lakonan. Mungkin bakat berlakon memang sudah ada dalam diri. Ajaibnya, bila sudah berada di set penggambaran dan mendengar suara pengarah yang cuba menyampaikan mood scene terbabit, perasaan itu akan datang dengan sendiri. Hinggakan selepas habis scene pun saya masih menangis kerana terlalu mendalami watak yang diberikan.”

Biarpun sibuk dengan tugas doktor dan penggiat seni, masa bersama anak-anak tidak pernah dilupakan. Malah, dia turut sempat memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti lasak yang digemari.

“Menjadi wanita berkerjaya dan juga ibu tunggal, saya sememangnya amat menitikberatkan kepentingan kedua-dua tanggungjawab ini. Untuk mengelak masa berkualiti dengan keluarga tidak terganggu, saya akan buat jadual kerja dan mengatur temu janji seawal mungkin.

Biasanya, bila ada waktu terluang saya akan pergi bersukan atau beriadah di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk sertai aktiviti lasak seperti jet ski dan go kart. Kalau dapat cuti panjang saya akan melancong bersama keluarga tidak kira di dalam mahupun luar negara,” luah peminat setia Tun Dr Siti Hasmah yang menyifatkan doktor wanita pertama negara ini sebagai seorang wanita dan isteri kepada mantan Perdana Menteri yang berjiwa besar. Suziana Abu Daud

Share
Published by
Norzalina