Sibuknya dunia kecantikan sekarang ini. Sana-sini orang dok bedah sana, cungkil lemak sini, tarik kedut sana, tambah kolagen sini. Kadang-kadang, bila jari-jemari ini rajin melayari Internet, naik lemas pula bila baca kenyataan wanita-wanita yang obses mahu cantik. Tidak terkecuali, teman baik penulis sewaktu di zaman universiti dulu.
“Lina, jom ke spa. Kita manjakan diri. Penatlah asyik kerja saja. Sesekali, badan pun perlukan rehat yang cukup.”
Dua tiga minggu kebelakangan ini, kerja-kerja di pejabat bagai membukit dan entah bila boleh ‘ditarah’. Lina adalah peneman penulis bila tiba-tiba terasa hendak mencantikkan diri dan memanjakan tubuh. Kerana dia adalah wanita yang very into beauty!
Sebuah spa ala-ala Arab kami singgah pada hujung minggu. Sesekali nak merasa urutan dan rawatan yang berbeza-beza umpama meneroka kedai makan yang tumbuh bak cendawan tumbuh.
Dalam seronok menikmati urutan kaki, satu cerita hangat singgah di telinga penulis. Salah seorang pensyarah yang agak rapat dengan kami di universiti dulu sedang dalam proses perceraian.
“Prof Ika sekarang living in depression. Last week I jumpa dia dan ada la kami kongsi-kongsi cerita. She look so thin. Lain sangat muka dia, cengkung dan kurus.
Tu yang I tanya kalau-kalau dia ada masalah. Terus dia menangis you! I pun naik segan juga sebab ada one time teresak-esak dia menangis. Nasib baik dia bukan jenis yang bercakap macam speaker!” sempat juga Lina ni mengenakan Prof Ika.
Prof Ika merupakan pensyarah Psikologi kami dahulu. Dia cukup terkenal dengan kelembutan tutur kata dan wajahnya mirip pelakon terkenal Maya Karin.
Tidak lama dahulu, dia berkahwin dengan salah seorang pensyarah kami juga tetapi usianya jauh lebih muda. Keakraban pasangan suami isteri ini dilihat semakin ampuh selepas Prof Ika melahirkan anak pertama.
“You ingat tak masa kita buat Gala Dinner dulu? Prof Ika datang dengan baby je kan? Masa tu lagi Encik Bakar sudah pun ada perempuan simpanan. Sudahlah tu, tak habis-habis dibandingkan Prof Ika dengan bekas teman wanitanya. Konon tubuh langsing, kulit bak telur dikupas!” bentak Lina.
“Eh, Prof Ika tu bukan ke cantik? Bukan main lagi budak-budak kelas kita menggedik-gedikkan dengan dia dulu. Sampai hati Encik Bakar.” Teringat lagi Prof Ika bergosip dengan kami mengenai kiriman bunga yang dihantar budak-budak lelaki di dalam kelas kami. Lucu tetapi bila teringatkan kisah perceraiannya, hati tiba-tiba jadi sayu.
“Kata Prof Ika, pada awalnya Encik Bakar mengeluh katanya Prof Ika dah gemuk sedangkan berat Prof Ika masih dalam BMI. Maka berhempas pulas Prof Ika menjalani rawatan kuruskan berat badan dan berbelanja besar kerana sukar untuk mendapatkan tubu seramping model majalah.
Tetapi dek kerana suami, dia turutkan. Paling best sekali, Prof Ika stalk Facebook suaminya dan dari situlah segala-galanya terbongkar! Encik Bakar sibuk bermesej dengan beberapa orang wanita melalui private message. I nak cerita dengan you pun rasa geli sebab masa Prof Ika tunjukkan pada I snapshot perbualan mereka, I sampai loya tak lalu nak makan.
Dalam mesej tu, Encik Bakar kutuk Prof Ika berbakul-bakul! Bila kantoi, dia mulalah minta maaf siap sujud kaki. Tetapi lama-kelamaan dia semakin gatal pula.
Prof Ika habis beribu-ribu ringgit untuk suaminya tu konon-kononnya untuk kos repair kereta. Rupa-rupanya, ‘sedekah’ dekat perempuan lain. I kesian dengan Prof Ika.
Lebih kesian lagi apabila Encik Bakar mula memburuk-burukkan Prof depan keluarganya menyebabkan keluarga mentua Prof Ika membencinya.”
Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah ibarat kehidupan seorang wanita yang memperjudikan kehidupannya. Disangka kebahagiaan ke hujung nyawa tetapi lautan bara datang mencelah.
Prof Ika tidak lagi menjadi tenaga pengajar di universiti kami. Gara-gara emosinya terganggu dan disiplin kerja tunggang-langgang menyebabkan dia diberhentikan. Lebih sedih lagi, anak kecilnya kini di bawah jagaan suami, yang sudah pun berkahwin lain.
Hidup seorang wanita umpama perjudian. Kita tidak tahu sama ada kita akan menang atau tidak.
Allah juga berpesan supaya kita tidak terlalu meletakkan rasa kasih dan sayang sesama manusia kerana ia tidak kekal bersama kita selamanya. Sebaik-baiknya, lebihkan kasih itu kepada Yang Maha Esa. Wallahua’lam. KR
This website uses cookies.