Dataran Merdeka & Bendera Mini, Model TVC Popular Ini Imbau KENANGAN TERMANISNYA Tentang Malaysia

Sejak mula mengenali wanita jelita kacukan Parsi-Cina ini, Nona sudah tertawan dengan ketinggian budi bahasanya. Orangnya lembut, senang bertukar senyuman dan selalu cuba bercakap Bahasa Melayu meskipun kedengaran baku.

Tehmina Kaoosji atau Tehm, 33, adalah contoh penggiat seni Malaysia yang serba boleh, bijak dan selesa didampingi. Jika perasan, wajahnya kerap menghiasi iklan-iklan komersial TV dan kini Tehm turut bergelar seorang pengacara berbahasa Inggeris di Bernama.

Kisah Tehm menyambut hari kemerdekaan pertamanya di Malaysia antara yang menarik untuk diketahui. Katanya, teringat zaman kereta mereka dihias dengan bendera kecil… berkibar-kibar ditiup angin. Oh, patriotiknya!

Tak kenal maka tak cinta. Kisah Tehm ini memang sungguh menarik dan boleh menaikkan semangat kenegaraan di hati semua rakyat Malaysia!

  • Nama Penuh: Tehmina Kaoosji
  • Usia: 33 Tahun
  • Asal: Hyderabad, India
  • Pendidikan: BA Mass Communication & Psychology, IB English Literature
  • Keturunan: Kacukan Parsi (sebelah bapa) dan Cina (sebelah ibu)
  • Keluarga: Anak sulung daripada 3 adik-beradik

(a) Kerjaya anda sekarang?

Saya merupakan seorang hos televisyen, emcee/moderator dan Content Producer. Saya juga seorang model komersial dan turut berlakon dalam beberapa produksi kerana minat terhadap bidang seni persembahan.

(b) Wow, banyaknya! Jadi bagaimana anda bahagikan masa untuk melakukan semua kerja?

Semuanya perlu dirancang, diatur dan diuruskan dari awal. Pandai-pandai luangkan masa untuk kesihatan diri dan susun jadual sebaik-baiknya untuk memaksimumkan masa yang kita ada.

Saya suka buat beberapa senaman seperti HIIT workout, sesi yoga yang ringkas untuk meregang dan menghilangkan stres serta menyediakan makanan sihat kerana saya selalu on the go.

Amalan multitasking sentiasa menjadi sebahagian diri ini. Saya akan menjawab e-mel, panggilan telefon dan mesej berkaitan kerja sewaktu dalam perjalanan berulang-alik ke mana-mana pun.

And in between everything, i try to get enough sleep! Hahaha…

(c) Sebagai wanita yang sibuk, dengarnya anda tetap memilih untuk TIDAK MEMANDU KERETA sendiri? Kenapa?

Sejujurnya saya TAK PERNAH MAHU MEMANDU kerana saya yakin kita perlu mengurangkan kereta di atas jalan raya. Saya fikir udara di KL tentu lebih bersih tanpa pencemaran jika semua orang menaiki pengangkutan awam. Saya juga bencikan traffic jams!

(d) Langkah keselamatan diri bila perlu bekerja di pelbagai tempat?

Selalu berjaga-jaga dan sentiasa alert dengan persekitaran atau orang asing yang ditemui. Saya juga akan beritahu lokasi semasa pada dua orang individu yang dipercayai serta muat turun aplikasi keselamatan di telefon pintar untuk membantu saat kecemasan.

(e) Sempena hari kemerdekaan ke-60, apa pandangan anda tentang tahap keharmonian kaum di Malaysia?

Saya telah menetap di negara ini selama 23 tahun. Ibu saya seorang rakyat Malaysia tetapi saya dibesarkan di Hyderabad, iaitu sebuah bandar Muslim di negeri yang penganut majoritinya adalah Hindu.

Apa yang dapat saya simpulkan adalah Malaysia merupakan satu negara yang cukup sempurna keharmoniannya. Meskipun kita semua berbeza agama, fahaman dan kepercayaan tapi tetap dapat hidup bersama tanpa perselisihan yang besar.

Masa depan negara kita sangat terang. Jangan pernah putus asa untuk menjadi sebuah utopia kemanusiaan, satu hari nanti!

(f) Masih ingat pengalaman hari kemerdekaan pertama anda?

Ya, tak pernah saya lupakan. Waktu tu, usia saya baru 11 tahun dan bapa bawa saya berjalan-jalan ke Dataran Merdeka untuk menyambutnya.

Kereta kami tak ada bendera mini seperti orang lain tapi sebaik sampai di dataran, tiba-tiba ramai yang meletakkan bendera kecil itu di bumbung kereta kami.

Semua melambai-lambai gembira melihat kami. Itulah kenangan paling indah dan menggembirakan saya. Rasa dialu-alukan dan ia semestinya akan dikenang buat selama-lamanya.

(g) Ucapan hari kemerdekaan buat peminat anda.

Saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI MERDEKA KE-60 buat semua pengikut dan peminat saya. Semoga setiap daripada kita akan terus berkembang lebih maju, memberi inspirasi dan terinspirasi daripada keindahan negara ini.

Untuk ulang tahun Malaysia yang ke-60 dan seterusnya!

(j) Harapan anda dalam kerjaya dan kehidupan sekarang?

Saya mahu berkongsi pengalaman yang ada melalui platform yang lebih luas. Saya bercita-cita untuk menganjurkan satu persidangan untuk memperkasakan wanita dengan penyertaan ramai golongan bijak pandai.

Tapi harapan terbesar saya adalah untuk melihat anak perempuan dan cucu perempuan saya satu hari nanti hidup dengan selamat, sihat dan gembira. Begitu juga anak-anak lelaki yang lain. Kalau bisa tercapai, saya juga berhajat untuk menjadi wanita Asia pertama yang menerima anugerah Oscar!

(k) Ceritakan secara ringkas langkah pertama anda dalam bidang seni?

Oh wow, long story nih! (ketawa). Sebenarnya saya dah bergiat aktif dalam bidang teater muzikal dan teater sejak di bangku sekolah rendah di India. Apabila kami berpindah ke Kuala Lumpur, saya sertai The Operafest Children’s Choir pada hujung minggu.

Kami selalu buat persembahan di seluruh Malaysia dan Singapura. Saya juga mengambil bahagian dalam kumpulan teater muda REP 16:21 di Actor’s Studio, Dataran Merdeka pada tahun 2000.

Melangkah ke alam kolej, saya bertambah sibuk tapi masih aktif berlakon untuk penggambaran dokumentari, siri jenayah Malaysia di saluran Jenayah & Penyiasatan serta bersama organisasi Malaysian AIDS Council (filem pertama Bernard Chauly).

Kemudiannya saya berjinak-jinak dengan dunia modelling dan terpilih untuk menyertai Estee Lauder Model Search 2010 sewaktu bersiar-siar dengan adik di KLCC. Itu membuka ruang yang lebih besar untuk diri saya. Saya dijemput menghadiri commercial casting, TVC dan iklan serta banyak peluang modelling.

Salah satu yang sukar dilupakan ialah tampil sebagai MASKULIN Woman of the Month oleh Editor pada masa itu iaitu Abang Armizi.

Saya juga pernah menyertai Miss Universe Malaysia 2011 dan disenarai pendekkan sebagai TOP 20. Sayangnya saya gagal ke final kerana mempunyai tatu besar di belakang bahu.

Momen terbesar dalam bidang lakonan pula, saya pernah memegang watak cameo dalam filem aksi thriller Hollywood bertajuk BLACKHAT yang menampilkan aktor Liam Hemsworth, Lee Hom dan diarahkan oleh Michael Mann.

Saya juga melakonkan watak Sara dalam permainan mobil buatan Malaysia, Sara Is Missing (S.I.M) yang dimainkan oleh jutaan orang di seluruh dunia. Dalam tahun ini juga, saya ada terlibat memegang beberapa watak dalam syarikat produksi tempatan. Norzalina Mohd Alias

Share
Published by
Norzalina