Penyanyi Datin Alyah yang kini tampil dengan figura ideal dan lebih segar tidak menafikan sebelum ini dia mengalami masalah gastrik sehingga ada ketika menjadi kekangan buatnya untuk membuat persembahan.
Isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS ini menambah, berat badannya juga pernah mencecah hingga 68 kilogram.
“Saya tak nafikan ramai yang bertanya bagaimana saya boleh kurus. Sebenarnya siapa yang mengikuti perkembangan saya pasti ada yang tahu berat badan saya pernah cecah hampir 70 kilogram.
“Ditambah pula saya ada alami masalah gastrik yang teruk hingga muntah-muntah. Malah pernah juga masuk hospital kerana masalah tersebut,” katanya.
“Jadi saya ambil keputusan untuk berjumpa pakar bedah gasteroenterologist Dr Mustafa Mohammed Taher. Saya terlebih dahulu mendapatkan nasihat dan cadangan apa yang terbaik untuk kesihatan.
“Lalu saya jalani bariatric operation tahun lalu dan tiada rahsia untuk disembunyikan. Perkara itu saya ada kongsi di media sosial juga,” ujarnya.
Datin Alyah mengakui dirinya berasa bahagia dengan keputusan melakukan pembedahan bariatrik atas faktor kesihatan meskipun ada suara-suara sumbang mengecam dirinya sekarang kelihatan sangat kurus.
Malah, tegasnya tiada apa yang perlu dimalukan jika seseorang mengambil keputusan melakukan prosedur tersebut kerana hanya diri sendiri yang tahu betapa seksanya menanggung kesakitan.
“Bila orang nampak kita dah kurus, mereka hanya fikir, yelah nak menunjuk-nunjuk. Siapa yang nak fikir, kita pernah sakit sebelum ini? Tiada siapa peduli ya.
“Bila dah kurus pula, ada pula suara-suara berbunyi, kenapa kurus sangat, cengkung muka tu, saya nak awak yang dulu, sekarang kurus sangat,” tulis Alyah dalam sebuah perkongsian video menerusi Instagram.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
This website uses cookies.