Semangat dan kehadiran isterinya – Datin Athiah Ilyana – meniup semangat. Ditambah lagi kehadiran tiga anak-anak tersayang, kemenangan jaguh berbasikal trek negara di acara Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, Datuk Azizulhasni Awang baru-baru ini tambah bermakna.
Meskipun lelaki asal Dungun yang digelar The Pocket Rocketman itu pernah disahkan mengalami masalah jantung jarang jumpa, anomalous aortic origin of right coronary artery (AAORCA), beliau terus menyimpul azam dan semangat untuk kembali beraksi.
Selepas menjalani pembedahan pembetulan (corrective surgery), pemenang pingat perak Olimpik Tokyo berusia 35 tahun itu terus bersemangat menyumbang emas buat negara. Pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai itu, Datuk Azizulhasni memastikan pingat emas ke-12.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/datuk-azizulhasni-datuk-pandelela-dinobat-olahragawan-olahragawati-2021/
Memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi, isteri beliau, Datin Athiah Ilyana Abd Samat, menitipkan semangat dan mendedahkan ACC itu mungkin yang terakhir buat suaminya.
Gelaran Juara Asia Ke-11.
Perlumbaan ACC terakhirnya sebelum bersara.
Akan datang, Olimpik Paris 2024.
Begitulah titip Datin Athiah Ilyana selepas suaminya meraih emas.
Menerusi paparan video dan foto yang dikongsikan sebuah portal berita, Athiah sebak merangkul pelumba berusia 35 tahun itu sejurus aksi final keirin.
Memberikan sokongan padu, Athiah hadir bersama anak mereka, Amna Maryam, Amna Khadeeja dan Amna Fateema serta ahli keluarga yang lain.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu sekali lagi membuktikan kebolehannya selepas berjaya meraih gelaran berganda menerusi acara pecut dan keirin, sekali gus mencipta legasi sendiri dengan 12 pingat emas ACC secara keseluruhan.
Lebih manis, catatan yang dilakukan Azizulhasni itu berjaya mengatasi rekod kebangsaan 9.548 saat yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia 2020 di Berlin, Jerman pada peringkat kelayakan. Syabas Datuk Azizulhasni!