Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri tanpa mengira darjat atau warna kulit pasti mengimpikan kehidupan bahagia bersama pasangan kekal sehingga ke jannah. Namun, sudah menjadi lumrah kehidupan dalam setiap perhubungan pasti akan diuji. Ujian yang datang dalam pelbagai cara secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan pasangan suami isteri tersebut.
Pasangan selebriti yang sama cantik sama padan, Datuk Farid Kamil dan Datin Diana Danielle juga seperti pasangan suami isteri lain yang tidak terkecuali diuji dalam melayari kehidupan berumah tangga. Berkahwin pada 3 November 2012 dan kini telah pun dikurniakan dengan sepasang cahaya mata yang comel, Muhammad dan Nur Aurora.
Ramai wanita dan juga isteri di luar sana yang mengagumi sikap Datin Diana yang kelihatan begitu tenang dalam menghadapi ‘situasi sukar’ apabila suaminya menghadapi dugaan kehidupan sedikit masa lalu. Mencungkil rahsia ketenangan yang diperoleh wanita pan asian ini, “Saya rasa setiap orang ada masa-masa yang getir dalam kehidupan.
Sebagai manusia biasa, kita perlu beri peluang dan ruang untuk berkembang. Di saat dia jatuh bagi dia masa untuk bangun balik. Itu adalah perkara yang di ajar oleh mak saya sejak daripada dulu lagi. Pengalaman melihat ibu saya menghadapi dugaan naik turun naik turun dalam bisnes, menempuh ujian dalam kehidupan serta menghadapi situasi sakit dan sebagainya benar-benar mengajar saya erti sebuah kehidupan.
Sebagai seorang anak kita tak pernah pun terfikir nak abaikan ibu kita yang sedang menghadapi dugaan sebab beliau adalah darah daging kita sendiri. So, apa pula bezanya suami. Dalam keadaan yang macam itu, kita fikir balik suami sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan keluarga kita. Orang kata bila kita tua-tua nanti pun dia lah juga akan menjadi peneman kita.
Saya juga sering ingat dan semat dalam hati pesan dan kata-kata orang tua kita, apabila diuji dengan dugaan yang kecil kita dipermudahkan dengan sikap tolak ansur dan memaafkan. Tak perlu diperbesarkan masalah yang ada atau mahu menyusahkan lagi keadaan. So
daripada situ kita cuba bertindak untuk kebaikan keluarga bukan hanya untuk kebaikan pasangan sahaja,” bicara Datin Diana dengan tenang.Kehidupan selebriti kini lebih terdedah dengan kritikan netizen di laman sosial yang kadang-kadang boleh mempengaruhi kehidupan. Namun, Datin Diana mengambil pendekatan yang bijak dengan tidak membaca langsung kritikan yang dilemparkan oleh netizen. Menurut wanita tinggi lampai ini, tindakan tidak membaca kritikan itu adalah jalan yang terbaik supaya tidak memberi reaksi yang dimahukan oleh mereka.
Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, Datin Diana kini sedang sibuk mengendali program Kata Serasi untuk siaran NTV7. Rancangan ini mengetengahkan isu-isu keluarga, perhubungan antara pasangan, dan membongkar segala isu mengenai perspektif lelaki dan wanita yang dihoskan bersama Naz Rahman.
Ketika diajukan pertanyaan tentang perniagaan kosmetik yang diceburi sedikit masa lalu, “Selepas melahirkan anak kedua saya dah tak boleh nak tanggung komitmen menguruskan perniagaan. Sebab semuanya saya buat sendiri dan partner
saya juga sudah ke luar negara. Bebanan komitmen tersebut dah buat saya sampai jatuh sakit.Namun saya ada membuat perancangan untuk mulakan balik atau penjenamaan semula cuma saat dan ketika ini memang saya tak mampu. Fikir tentang perniagaan itu pun saya rasa lelah. Banyak pelanggan yang bertanya kenapa tak bagi pada stockist tapi saya tak pandai nak membuat urusan sebegitu. Era saya dulu bukan macam itu. Lebih baik saya stop dulu dan nanti bila ada kelapangan masa dan sumber kewangan mencukupi, baru saya akan mula balik,” tutur Datin Diana mengakhiri perbualan.
*Foto kredit: instagram @dianadanielleb
This website uses cookies.