Leka ‘membelek’ laman Instagram pagi tadi, tiba-tiba terpandang posting terbaru selebriti tinggi lampai ini. Dalam diam, rupa-rupanya Datin Fouziah Gous dan suami diberi rezeki bertandang ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini. Alhamdulillah, berbekalkan usia yang masih muda dan berkemampuan dari segi wang ringgit serta tenaga yang masih kuat.. pasangan suami isteri ini memanfaatkan kurniaan Allah SWT untuk melaksanakan rukun Islam kelima tersebut.
Berkongsi beberapa foto sebelum berangkat ke sana di samping keluarga tersayang ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, jelas kelihatan riak teruja di wajah Datin Fouziah dan Dato’ Zhafran.
Aktres berusia 35 tahun itu kelihatan cukup anggun dalam persalinan jubah biru dan bertudung litup rona kelabu. Sementara suaminya pula segak menyarungkan kurta berwarna biru lembut.
“Assalamualaikum wbt.. Syukur Alhamdulillah, saya Fouziah Gous & Zhafran Yusof, dengan penuh takzim ingin memaklumkan bahawa kami berdua akan menunaikan Fardhu Haji (1439H) dan akan berlepas ke Tanah Suci pada Khamis 16 Ogos 2018.
Di kesempatan ini, kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan & kekhilafan yang secara sengaja atau tidak sengaja kami lakukan di sepanjang persahabatan / perkenalan kita. Mohon dihalalkan makan minum saya dan segala hutang, jika ada.
Doakan kesihatan dan keselamatan kami sentiasa terpelihara sepanjang ibadah haji nanti. Terima kasih.”
Semoga pasangan ini selamat pergi dan pulang ke tanah air serta dipermudahkan segala urusan. Aaminn..
Sumber: Instagram Fouziah Gous
“Terima Kasih Buat Anak-Anak Happy,” Ridzuan Hashim Meninggal Dunia, Momen Sambut Raya Bersama Tahun Lalu Undang Sebak!
Innalillahiwainnailaihirojiun. Salam takziah buat Didie Alias dan lima anaknya dengan bekas suami, Allahyarham Ridzuan Hashim yang menghembuskan nafas terakhir pada 1.57 tengah hari tadi.
Sebak apabila pelakon wanita Didie Alias memaklumkan berita sedih tersebut di media sosial miliknya. Dalam perkongsian video yang dimuat naik itu, dia dilihat berada di perkarangan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Memetik laporan Astro Awani, pemergian Allahyarham Ridzuan Hashim yang juga pelakon berusia 62 tahun itu dimaklumkan anak saudara Allahyarham iaitu Kamarul Izham Ahmad Badri.
Pastinya yang paling terkesan atas pemergian Allahyarham ialah lima anaknya hasil perkongsian hidup arwah bersama Didie Alias.
Masih ingat betapa satu keluarga ini bahagia dan teruja dapat meraikan lebaran bersama-sama selepas 20 tahun tidak dapat berbuat demikian selepas ibu bapa mereka berpisah.
Mengenang kembali detik itu, anak sulung Allahyarham iaitu Nur Dhaniyah ada berkongsi momen terindah sambut raya pada Mei 2022 di Instagram miliknya bersama ibu dan bapa tersayang.
Dhaniyah pelajar cemerlang https://www.nona.my/sambung-master-waktu-anak-baru-4-bulan-dhaniyah-guna-pengaruh-anak-selebriti-cetus-inspirasi/
Dhaniyah menzahirkan rasa gembiranya dapat beraya bersama ibu dan bapanya bersama-sama buat pertama kali selepas ibunya berpisah dengan pelakon Ridzuan Hashim pada tahun 2002.
“20 years later..Siapa sangka, dulu terpaksa ambik turn nak beraya dengan mamy ke ayah dulu eh. Nak kena jaga hati dua-dua walaupun ada yang terasa,” tulis isteri kepada Mohd Razi Shahriman yang telah 20 tahun menanti detik bahagia ini.
Tambahnya lagi, “Impian semua anak-anak daripada “broken family” untuk satukan mak dan ayah mereka. Mungkin nampak macam broken family untuk semua, tapi bagi kami love and care daripada mamy dan ayah, dua-dua kami dapat walaupun mereka tak together.
Walaupun stigma orang tentang broken family ini kata anak-anak akan terabailah, anak-anak memberontak, anak-anak tak cukup kasih sayang. It may be broken to some, but not to us.
Thank you mamy, ayah and daddy sebab selalu ingatkan kakak dan adik-adik tentang tanggungjawab kami dengan mak dan ayah. Never once kami rasa kami daripada broken family. We’re still a family but not together je.
Tapi hari ini dalam sejarah, setelah 20 tahun penantian, kakak dan adik-adik dapat beraya dengan satu family, priceless! And we should hold on to this moment forever.
Terima kasih sebab buat anak-anak happy. Terima kasih sebab buat semua ini untuk kami. Kami tak mintak banyak, tapi saat ini yang kami tunggu dari tahun 2002 sampai hari ini.
Percayalah, mak dan ayah mungkin boleh bercerai, tapi bukan mak dan ayah dengan anak-anak. Jangan putus harapan, jangan putus doa.”
Semoga Allahyarham Ridzuan Hashim ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.
Anggap Macam Bapa Kandung, Datuk Jamal Abdillah Sebak Teringat Kebaikan Allahyarham Tan Sri Harussani
Pemergian tokoh agama yang juga Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang menghembuskan nafas terakhir pada Ahad, 30 Mei 2021 akibat jangkitan COVID-19 menjadi perhatian ramai pihak termasuk Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.
Menurut penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak yang baru menimang cahaya mata kedua dengan Datin Zai Izzati Khairuddin itu, beliau telah mengenali Allahyarham sejak kecil lagi.
Malah mengikut perancangan, mereka sekeluarga ada merancang untuk menjemput Allahyarham menyempurnakan majlis tahnik anaknya, El Issac Yamani selepas tamatnya PKP nanti, namun ajal terlebih dahulu ‘menjemput’ pendakwah tersebut.
Sebagai sahabat baik kepada arwah bapanya, Datuk Jamal Abdillah, 62, mengakui sangat mengasihi dan menghormati tokoh agamawan tersebut.
“Selalu juga saya bertemu Allahyarham, sejak kecil apabila menghadiri majlis-majlis seperti majlis sambutan hari raya.
Pernah Allahyarham menasihati saya atas permintaan arwah ayah. Allahyarham berpesan, kasihilah ayah dan jangan malukan keluarga.
Allahyarham juga selalu memberi nasihat berkaitan agama. Katanya, apa pun terjadi, jangan putuskan hubungan dengan Allah.
Selagi kita jaga yang lima waktu itu, Allah juga akan jaga kita,” Datuk Jamal Abdillah.
KENANGAN MANIS
Seniman yang masyhur dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu berkata, keperibadian Allahyarham yang dianggap seperti bapanya sendiri itu melambangkan seorang insan berpekerti mulia dan tinggi pengetahuan agama.
“Jujur memang saya segan dengan Allahyarham, walaupun saya selalu juga berjumpa dengannya apabila pulang ke Ipoh.
Apa sahaja yang ingin disampaikan, Allahyarham akan buat dengan cara yang sangat lemah lembut, nada suaranya jelas dan tersusun. Itu yang membuat saya jadi kasih dan hormat padanya.”
Paling diingati Jamal, ialah teguran Allahyarham semasa beliau menyampaikan sumbangan beras kepada golongan asnaf di Perak, satu masa dahulu.
“Dalam fikiran saya, sumbangan itu adalah zakat. Tapi Allahyarham tegur, sumbangan itu sedekah dan tak boleh dianggap zakat.
Allahyarham jelaskan dengan lebih lanjut dan dari situlah saya memahami perbezaan antara zakat dan sedekah.
Dan apabila saya beritahu mahu buat sedekah itu atas nama arwah ayah, air matanya terus mengalir.” Datuk Jamal Abdillah
Kehilangan pendakwah dan agamawan tersebut bukan saja dirasai oleh rakyat Perak seperti Datuk Jamal Abdillah malah seluruh rakyat Malaysia yang mencintai dunia dakwah.
Jabatan Mufti Negeri Perak dalam satu entri di Facebook memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira jam 3 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak.
Sebelum ini dilaporkan, Harussani, 82, dan isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani sedang mendapatkan rawatan di HRPB, sebelum sambutan Aidilfitri berikutan jangkitan COVID-19.
Isteri Allahyaham telah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Mei lepas. Astro Awani
Melancong Cara CHE PUAN JULIANA EVANS. SELANGOR Tawar Pelbagai Destinasi Menarik. Jom Pusing Selangor Dulu!
Tahniah diucapkan kepada Che Puan Juliana Evans diatas perlantikan sebagai Duta Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” baru-baru ini. Ibu kepada Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah ini telah dilantik untuk tempoh dua tahun bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Selangor menerusi landasan media sosial.
Pelantikan ini adalah seiring dengan visi Tourism Selangor untuk mendekati audiens dengan lebih luas dengan alternatif yang lebih “segar” dan terkini menerusi landasan digital.
Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri meneruskan langkah proaktif ke arah merancakkan industri pelancongan Negeri Selangor dengan pelaksanaan Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”
Kempen ini mula diwar-warkan melalui landasan digital bermula pada 10 Jun yang lalu, susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik Negara oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Umum mengetahui, industri pelancongan merupakan antara yang paling terjejas ekoran impak dari pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Sebahagian operator pelancongan perlu menutup operasi atau beroperasi tanpa keuntungan dan golongan yang bergantung pada industri pelancongan pula terjejas pendapatan, malah ada yang hilang mata pencarian.
Memahami situasi ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menjadi pendahulu dalam pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi dan juga Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 yang telah diumumkan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 13 Julai lalu. Antara yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 adalah Pakej Bantuan Sektor Pelancongan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM 2,600,000.00.
Sebanyak RM 553,000.00 dari jumlah ini merangkumi pemberian insentif khas bersasar secara one-off sebanyak RM 1,000 seorang, di mana Kerajaan Negeri Selangor pada 19 November lalu telah secara rasmi mengagihkan insentif khas ini kepada seramai 553 orang penerima merangkumi 486 pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan Selangor Tourist Guide Association (SGTA), 16 pengusaha rumah inap atau homestay yang diperakui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta 51 Hos Komuniti Selangor.
Pakej Bantuan Sektor Pelancongan ini turut merangkumi penerbitan subsidi “Baucar Pelancongan Negeri Selangor” dengan nilai peruntukan sebanyak RM 2,000,000.00. Baucar Pelancongan Negeri Selangor ini telah secara rasmi diaktifkan di Majlis Pelancaran Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” di Shah Alam pada Khamis.
Majlis yang hanya dihadiri oleh pihak Media ini telah disempurnakan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, dengan diiringi oleh YB. Tuan Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, serta Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor, dan Tuan Azrul Shah bin Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor.
Penggunaan baucar ini adalah dalam bentuk pengembalian mata nilai dompet elektronik dan baucar eletronik sebanyak RM 200.00 seorang untuk penerima yang layak. Baucar ini perlu digunakan bagi pakej-pakej pelancongan terpilih yang akan melalui penyenaraian di aplikasi dompet elektronik Touch n’ Go E-Wallet dan aplikasi ‘marketplace’ Lazada Malaysia melalui capaian khas pautan sesawang mikro ‘Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’.
Penebusan subsidi baucar pelancongan ini akan membuka promosi jualan di kedua-dua landasan e-dagang tersebut bermula pada 8 hingga 31 Januari 2021 dengan tempoh sah-laku bagi pakej yang telah dibeli sehingga 31 Jun 2021. Satu penghormatan kepada barisan hadapan Negara, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan kuota penerima baucar pelancongan ini khusus untuk 3,000 orang frontliners yang bertugas di Negeri Selangor dalam usaha memerangi impak pandemik Covid-19.
Sebanyak 17 pakej pelancongan “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” usahasama antara pihak Tourism Selangor dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) turut dilancarkan pada Majlis sama. Usahasama ini melibatkan penyelarasan dan tawaran pakej-pakej pelancongan untuk di pasarkan melalui agensi-agensi pelancongan yang berdaftar dengan pihak MITA.
Menjengah ke laman Instagram milik Che Puan Juliana Evans, foto-foto menarik mengenai destinasi pelancongan di Selangor sudah mula kelihatan di mana Che Puan mempromosikan destinasi pelancongan seperti sekittar Sekinchan, dan Tanjung Karang, Selangor. Sekaligus membuktikan terdapat pelbagai lokasi menarik yang boleh dilawati tidak jauh dari ibukota!
Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” disokong oleh tunjang utama, landasan digital menerusi pelbagai inisiatif promosi seperti penganjuran program Selangor e-Travel Fair, kempen media sosial bersama para Key Opinion Leaders (KOLs), serta pengiklanan digital dan atas talian. Medium pengiklanan turut diperluas merangkumi pengiklanan billboard pegun, billboard digital serta unipoles di beberapa buah lokasi tumpuan di seluruh Negara.
Selain itu, Tourism Selangor akan menganjurkan Program Jelajah Pesona Selangor ke Negeri-negeri di Malaysia serta pelbagai Acara Pelancongan berdasarkan norma baharu yang menekankan SOPs (Standard Operating Procedures) mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kempen ini turut memberi penekanan kepada inisiatif promosi serba mampan dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak Hotel, Agensi Pelancongan, Media dan Syarikat Penerbangan bagi mempromosikan tarikan pelancongan Negeri Selangor secara lebih meluas, termasuk pakej pelancongan bersepadu merangkumi 9 Daerah dan 12 PBT di Negeri ini.
Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor agar Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” dapat memberikan impak yang signifikan ke arah membangunkan semula industri pelancongan domestik Negara, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.