Kejelitaan wanita benar-benar terserlah apabila raut wajahnya kekal remaja meskipun usia makin meningkat. Keremajaan kulit tidak akan datang dengan sendiri tanpa usaha yang berterusan.
Rejim kecantikan kulit memainkan peranan utama dalam mengekalkan kelembapan dan keserian kulit jauh dari dalam. Sebaik-baiknya penjagaan kulit harus dilakukan sejak awal agar kejelitaan terus terpelihara.
Nona mengintai rutin kecantikan wanita jelita, Datin Narena Nasrudin yang memiliki raut wajah yang lembut dan kulit bersih tanpa sebarang cela walaupun sudah mencecah usia 40 tahun.
Keanggunan wanita yang bertubuh tinggi lampai ini tidak perlu disangkal lagi dan pesona dalam dirinya melambangkan wanita yang bercita rasa tinggi dalam kelasnya tersendiri. Pasti ibu kepada empat orang anak ini menyimpan rahsia rejim kecantikan tersendiri.
Tanpa berselindung wanita yang mudah mesra ini berkongsi rahsianya mempercayai Clé de Peau Beauté sebagai produk yang membelai lembut kulit wajahnya.
“Saya memang menitik-beratkan penampilan dan bagi saya setiap wanita perlu menjaga kecantikan untuk kepuasan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Solekan menjadi suatu kemestian bagi saya walaupun hanya dengan berbedak atau bercelak.
Setiap wanita patut mengambil inisiatif untuk sentiasa tampil cantik dan bergaya. Tidak semestinya menyarung baju berjenama mewah atau menggalas beg tangan buatan luar negara tetapi setiap wanita perlu tahu memotret dirinya di depan masyarakat.
Melalui aturan yang betul dengan manfaat yang ditawarkan oleh sesuatu produk adalah penting untuk kita wanita mendapat kulit yang bersih dan cantik seperti yang diidamkan. Saya begitu cerewet dalam pemilihan sesuatu produk terutama berkaitan dengan kulit.
Saya akan mencuba dengan teliti dan membaca ulasan sesuatu produk itu. Namun saya akan setia jika sudah berjumpa dengan produk yang menambat hati.
Kunci kepada kecantikan sebenar kulit adalah apabila mempunyai tahap kelembapan yang diperlukan oleh kulit. Rahsia saya sudah semestinya serum kesayangan saya, Clé de Peau Beauté, Le Sérum! Kuasa Clé de Peau Beauté, Le Sérum ini sangat menakjubkan kerana membantu menyegarkan kulit dari dalam umpama terjaga daripada lena yang panjang. Malah serum pujaan saya ini berupaya memberikan penghidratan maksimum dan menjadi nadi utama rejim kecantikan saya. Setelah berjumpa dengan Clé de Peau Beauté, Le Sérum ini saya tidak pernah tinggalkannya dalam rutin penjagaan kulit setiap hari dan menjadi teman percutian yang wajib dibawa.
Selain itu pembersih juga sangat penting dalam rutin penjagaan kulit harian saya. Fungsi buih pembersih ini adalah untuk membersihkan wajah jauh ke dasar kulit sambil mengekalkan kelembapan semula jadi. Sudah menjadi kemestian untuk memakai pembersih dua kali sehari. Kemudian diikuti pula dengan menyapu losen serta pelembap pada waktu siang dan malam.
Bagi mengekalkan kecantikan dalaman pula saya banyak makan buah-buahan, sayur-sayuran serta ulam. Saya tidak boleh hidup kalau tidak makan buah dalam sehari,” kongsi Datin Narena tentang rahsia rejim penjagaan kulitnya yang putih dan mulus.