Gaya Hidup

DATIN NARENA NASRUDIN Walau Sudah Berusia 40an Tetap Kelihatan Muda Remaja

Keanggunan wanita yang bertubuh tinggi lampai ini tidak perlu disangkal lagi. Pesona yang terpamer dalam dirinya melambangkan wanita yang bercita rasa tinggi dalam kelasnya tersendiri. Memiliki raut wajah yang lembut dan kulit bersih tanpa sebarang cela walaupun sudah mencecah usia 40 tahun pasti ibu kepada empat orang anak ini menyimpan rahsia rejim kecantikan tersendiri.

“Saya memang menitik-beratkan penampilan dan bagi saya setiap wanita perlu menjaga kecantikan untuk kepuasan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Solekan menjadi suatu kemestian bagi saya walaupun hanya dengan berbedak atau bercelak. Setiap wanita patut mengambil inisiatif untuk sentiasa tampil cantik dan bergaya. Tidak semestinya menyarung baju berjenama mewah atau menggalas beg tangan buatan luar negara tetapi setiap wanita perlu tahu memotret dirinya di depan masyarakat.

Wanita moden kita sangat beruntung kerana mempunyai banyak saluran untuk mereka belajar menjaga penampilan diri. Semuanya maklumat hanya di hujung jari sama ada mahu bertindak atau tidak sahaja. Saya percaya dalam hidup ini tidak ada jalan singkat untuk menggapai sesuatu termasuk kecantikan.

Melalui aturan yang betul dengan manfaat yang ditawarkan oleh sesuatu produk adalah penting untuk kita wanita mendapat kulit yang bersih dan cantik seperti yang diidamkan. Saya begitu cerewet dalam pemilihan sesuatu produk terutama berkaitan dengan kulit. Saya akan mencuba dengan teliti dan membaca ulasan sesuatu produk itu. Namun saya akan setia jika sudah berjumpa dengan produk yang menambat hati.

Kunci kepada kecantikan sebenar kulit adalah apabila mempunyai tahap kelembapan yang diperlukan oleh kulit. Rahsia saya sudah semestinya pelembap. Kuasa pelembap sangat menakjubkan kerana membantu menyegarkan kulit dari dalam umpama terjaga daripada lena yang panjang. Serum pula menjadi nadi utama rejim kecantikan saya. Saya tidak pernah tinggalkannya dalam rutin penjagaan kulit setiap hari.

Selain itu mask juga sangat penting dalam rutin penjagaan kulit harian saya. Fungsi mask ini adalah untuk membersihkan wajah jauh ke dasar kulit sambil mengekalkan kelembapan semula jadi. Sudah menjadi kemestian untuk memakai mask dua kali sehari selepas membersihkan wajah. Kemudian diikuti pula dengan menyapu losen serta serum pada waktu siang dan malam.

Bagi mengekalkan kecantikan dalaman pula saya banyak makan buah-buahan dan sayur-sayuran serta ulam. Saya tidak boleh hidup kalau tidak makan buah dalam sehari,” kongsi Datin Narena tentang rahsia rejim penjagaan kulitnya yang putih dan mulus.

Setiap wanita mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi setiap kelemahan diri. Menangani tugas yang tidak bertepi membuat Datin Narena memilih bercuti sebagai caranya untuk meredakan stres. “Setelah tubuh terlalu penat biasanya saya akan keluar bercuti bersama keluarga. Ketika bercuti saya akan lupakan segala-galanya termasuk urusan kerja. Saya bebas melakukan apa sahaja ketika bercuti.

Cuba bayangkan, ketika saya bercuti di New York dahulu, akibat terlalu penat berjalan, saya boleh duduk bersila atas jalan. Saya benar-benar membebaskan diri dan menikmati percutian yang begitu indah,” ujar wanita yang menggemari rekaan pereka tempatan Rizman Ruzaini ini.

 

 

 

 

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan