DATIN NUR EZDIANI Sukses Menerobos Perniagaan Dalam Dunia Siber

Isteri kepada Datuk Muhd Azraimuddin Zainal ini semakin rancak merencana perjalanan perniagaan yang sudah menjangkau ke arena antarabangsa. Riak wajah figura berusia 36 tahun ini jelas bersinar tatkala berkongsi kisah tentang yang telah diceburi sejak tahun 2014 lagi. Nyata ‘pengabdian’ dirinya terhadap perniagaan yang diusahakan bersama suami tercinta tidak sia-sia dan sedikit demi sedikit telah membuahkan hasil yang tidak terhingga.

Tidak ramai wanita menyertai perniagaan yang berasaskan teknologi maklumat lebih-lebih lagi apabila bergandingan dengan suami sebagai peneraju sebuah syarikat. Kesungguhan memperkenalkan teknologi blockchain yang dianggap masih baru di negara ini telah membulatkan tekad Datin Nur Ezdiani Baharoddin menjadi peneraju utama dalam bidang itu. “Jika wanita lain tidak betah bekerja satu pejabat dengan suami, saya tidak pula begitu. Saya langsung tidak mempunyai masalah bekerja di bawah satu bumbung dengan suami.

Memang saya sedar ramai wanita yang tidak selesa bekerja bersama-sama dengan suami di dalam satu pejabat. Bak kata mereka di rumah pun bersua muka dan di pejabat pun berjumpa lagi. Hampir 24 jam menatap wajah suami atau pun isteri. Bagi saya pula saya lebih selesa bergandingan dengan suami dalam menentukan hala tuju dalam perniagaan. Sementelah pula saya dan suami mempunyai pemikiran yang sama dalam perniagaan yang kami ceburi ini,” tutur Datin Nur Ezdiani ramah sambil membiarkan wajahnya dirias oleh juru solek.

Mengulas lanjut tentang perniagaan yang telah diasaskan bersama suami tercinta untuk rangkaian berasaskan teknologi dan peneraju utama dalam Blockchain ini, “Teknologi blockchain masih dianggap baharu di Malaysia. Ramai yang masih skeptikal malah tidak percaya atau keliru dengan perjalanan sistem perniagaan sebegini. Majoriti player yang terlibat semuanya masih muda dan berada dalam lingkungan usia 20an. Tetapi mereka semua sudah bertaraf multimillionaire

sebab mereka bijak menggunakan teknologi blockchain.

Komuniti saya ada lebih daripada 180 000 orang seluruh dunia seperti Jepun, China, Thailand, Kemboja, Filipina, Vietnam, Singapura dan Indonesia. Suami pula telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai Penyedia Teknologi Kewangan Emas Paling Inovatif oleh The China Forex Expo di Shenzhen dua tahun lalu. Pengiktirafan sebegini benar-benar telah melonjak semangat kami berdua untuk terus berusaha,” bicara Datin Nur Ezdiani bersungguh-sungguh.

Aplikasi yang diasaskan bersama-sama suaminya ini dilihat sebagai perintis teknologi kewangan di negara ini. Ini membuktikan Datin Nur Ezdiani dan suami yang merupakan anak tempatan mampu menghasilkan inovasi yang diiktiraf dunia, malah boleh menandingi kemampuan pakar dalam bidang itu di peringkat global. Perkembangan yang pesat dalam perniagaannya ini telah membuat Datin Nur Ezdiani terpaksa berpecah dua dengan suaminya.

“Jika di peringkat awal penglibatan kami berdua biasanya, akan keluar berdua ke mana sahaja termasuk menghadiri mesyuarat di luar negara atau menerima jemputan sebagai penceramah tentang selok-belok aplikasi Blockchain

ini. Namun, apabila kami berdua sudah ‘tidak cukup tangan’ maka kami terpaksa berpecah dua dalam meneruskan perniagaan ini.

Usaha gigih Datin Nur Ezdiani memperkenalkan Malaysia di mata dunia turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Tokoh Srikandi Negara dengan gelaran Tun Puteh oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi Malaysia). Majlis gilang gemilang ini turut menyaksikan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli menyerahkan anugerah kepada 34 tokoh wanita yang menyuntik inspirasi kepada wanita lain serta berjaya dalam bidang masing-masing termasuk Datin Nur Ezdiani sendiri.

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan