Gaya Hidup

DATIN REBECCA Ada Alasan Tersendiri Kenapa Ada Pembantu Rumah Lebih 5 Orang!

Datin Rebecca sememangnya seorang wanita yang amat mementingkan keluarga. Beliau beruntung kerana berpeluang untuk menguruskan keluarga dan melihat anak-anak membesar di hadapan mata walaupun sibuk dalam urusan perniagaan. Lebih-lebih lagi, anak-anaknya yang masih kecil, sememangnya memerlukan perhatian yang lebih daripada ibu bapa. Atas sebab itulah Datin Rebecca kini lebih selesa berkeja dari rumah agar beliau dapat menyeimbangkan kehidupannya sebagai seorang isteri dan ibu. Pada masa yang sama turut bekerja.

“Walaupun saya mempunyai pembantu rumah untuk menguruskan hal-hal di rumah, tetapi itu tidak bermakna saya lalai dalam soal menguruskan anak-anak. Pembantu ditugaskan untuk meringakan beban saya memantau aktiviti anak-anak serta memastikan kediaman sentiasa berada pada tahap terbaik. Maklumlah, anak-anak masih kecil dan soal kebersihan kediaman perlu diberi perhatian yang serius. Bimbang jika mereka mudah jatuh sakit jika kediaman tidak dibersihkan dengan sempurna.

Saya juga akan pastikan bilik tidur utama dibersihkan setiap hari dan saya sendiri mengemas dan memastikan susun atur bilik tidur utama pada keadaan terbaik. Saya lebih selesa jika ruang personal saya dan suami tidak diganggu oleh orang lain. Jadi, pembantu dipertanggungjawabkan untuk menguruskan soal anak-anak sambil saya pantau dan pastikan anak-anak selesa setiap hari,” ujar wanita berusia awal 30-an ini.

Ibu kepada Nor Anggun Ravierra, 6 tahun, Nor Anggerik Renesmee, 5 tahun, Nor Aliff Al Raffael, 2 tahun, Nor Adam Daniel, 10 tahun dan Nor Ahmet Reaggan, 3 bulan ini juga menjadikan waktu sarapan pagi sebagai waktu untuk duduk berbual dengan suami tersayang, Datuk Nor Azam Sulaiman.

“Kami sekeluarga akan bersama pada setiap hujung minggu. Setiap Sabtu dan Ahad biasanya kami sekeluarga akan keluar sama ada menonton wayang atau makan-makan. Selain itu, jika ada masa saya akan meluangkan masa bersama teman-teman rapat antaranya keluar minum kopi,” ujar Datin Rebecca yang telah 8 tahun mengamalkan pengambilan minuman Body Love by

Rebecca.

Saat diajukan soalan berkenaan bagaimana keluarga besar ini merancang percutian, Datin Rebecca berkongsi tip yang diamalkannya setiap kali merancang percutian bersama keluarga tidak kira sama ada memilih destinasi dalam mahupun luar negara.

“Setiap kali kami sekeluarga ingin bercuti, saya akan membuat checklist terlebih dahulu mengenai jadual perjalanan supaya saya dapat memastikan percutian tersebut berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Saya akan tulis di dalam buku apa yang perlu saya lakukan, barangan keperluan untuk keluarga dan sebagainya. Maklumlah, saya mempunyai anak-anak yang masih kecil. Jadi, kelengkapan mereka pastinya memerlukan perhatian yang lebih. Jadi, perancangan yang teliti penting,” ujar Datin Rebecca lagi.

“Tahun lalu, kami sekeluarga berpeluang ke Istanbul dan Paris. Tahun ini kami bercadang untuk membawa anak-anak ke negara Eropah. Yang penting, setiap hujung tahun, saya dan suami akan meluangkan masa bercuti bersama anak-anak.

Ketika ditanya mengenai pengalaman percutian yang tidak dapat dilupakan, menurut Datin rebecca setiap percutian bersama suami dan anak-anak adalah percutian yang membahagiakan dan tidak boleh dilupakan. Ketika bercuti, ia merupakan momen untuk kami bermesra dengan anak-anak dan melupakan seketika soal perniagaan. Jadi, setiap percutian pilihan merupakan percutian yang indah untuk saya kenang bersama anak-anak,” ujar Datin Rebecca yang pernah membawa anak-anak berkunjung ke Jepun, Paris, Australia dan Turki.

Share
Published by
Rosmah Idayu