Bukan mudah! Hakikat sebenar sebagai duta Malaysia di Amerika Syarikat, ia satu tanggungjwab besar dalam membawa nama Malaysia ke mata dunia. Majalah NONA berkesempatan menghubungi Datin Seri Haflin Nazri Aziz bertanyakan perkembangan beliau di sana.
Dikhabarkan terjual pada harga RM26 juta, kisah status Villa Danialla Beach Resort termasuk Villa Haflin Private Residence menjadi mukadimah bicara kami.
“Buat masa sekarang belum lagi ada pembeli dan saya masih menguruskan perniagaan dari jauh. Alhamdulillah, saya ada team yang terbaik di sana.
Pada bulan puasa, perniagaan tidaklah terlalu sibuk seperti hari biasa. Saya masih berharap mungkin ada pembeli dari pihak korporat yang berminat dalam bidang perhotelan.”
Perasaan Datin Seri Haflin sewaktu menjejakkan kaki di Amerika? “Jujurnya ketika sampai saya rasa amat bersyukur kerana diberi peluang datang ke sini. Saya rasa ini adalah tanggungjawab besar untuk saya membantu suami sebagai duta Malaysia dalam usaha mengeratkan lagi hubungan diplomasi Malaysia dan Amerika Syarikat.”
Bicara tentang aktiviti harian sekarang… “Kami sekeluarga baru sahaja menetap di sini kira-kira sebulan lebih. Pada peringkat awal peranan saya sebagai ibu tentu sahaja sibuk dengan persiapan persekolahan anak, Jean Pierre Azize. Di sini Jean Pierre perlu lebih berdikari tidak sama seperti di Paris dahulu, dia perlu pergi sekolah sendiri naik bas.
Waktu pagi saya akan sibuk menyediakan sarapan dan bekal lunch box untuknya. Saya juga perlu menyediakan keperluan dan pakaian Datuk Seri, kalau sebelum puasa tentu sahaja breakfast perlu disediakan.
Bila berpindah ke Rumah Malaysia kat sini, kami perlu mengambil masa untuk sesuaikan diri dan susun deko kediaman mengikut keselesaan keluarga.
Saya sebagai orang rumah, tugas saya untuk susun atur dan menghias semua ruang agar kelihatan menarik. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik dan kami masih lagi menanti barang-barang rumah yang dibawa dari Malaysia ke sini,” jelas Datin Seri Haflin.
Menyentuh tentang peranan sebagai isteri duta dan aktiviti yang dilaksanakan, Datin Seri Haflin kelihatan aktif menyerikan pelbagai program di media sosial.
“Saya sememangnya fokus dengan apa yang dilakukan dan sentiasa hadir bersama Datuk Seri menyertai undangan pelbagai majlis. Inilah peluang untuk saya lebih mengenali pelbagai pihak di sana, membuat PR komunikasi dan berkongsi tentang Malaysia.
Inilah sebahagian tugas saya dalam usaha mempromosikan Malaysia di mata dunia. Suasana ini begitu serasi dengan jiwa saya yang sukakan seni dan budaya Malaysia, terutamanya mempromosikan makanan dan budaya pelbagai bangsa. Negara kita sangat unik, saya rasa inilah usaha terbaik saya buat Malaysia yang dicintai.
Bila jadi isteri duta, secara automatik saya menjadi Presiden Perwakilan untuk Washington DC yang mana di bawah Perwakilan kami sekarang ada 35 ahli wanita Malaysia yang aktif. Saya amat bangga dengan sumbangan wanita Malaysia di sana, mereka bersungguh-sungguh dalam mempromosikan Malaysia di sana.
Kami juga telah mengadakan pertemuan untuk sama-sama berbincang pelbagai aktiviti yang bakal diadakan dalam usaha merapatkan lagi kerjasama Malaysia dan Amerika, termasuk komuniti negara ASEAN lain yang ada di sini.
InsyaAllah, selepas Raya nanti pelbagai aktiviti akan diadakan. Buat masa sekarang dalam bulan puasa, kami aktif mengadakan majlis khatam Al-Quran, bazar Ramadan dan majlis berbuka puasa.
Saya juga aktif bersama The ASEAN Spouses Circle Washington DC, meliputi sepuluh negara Asean. Saya telah bertemu dan turut berbincang untuk pastikan setiap aktiviti yang dirancang berjaya. Selain itu, saya turut menjadi ahli International Neighbors Club One (INC 1).
Saya berharap dengan menyertai kelab ini, akan dapat membuat networking dengan semua pihak dan dapat mengadakan kerjasama bersama PERWAKILAN Malaysia,” bicara Datin Seri Haflin dengan penuh semangat.
Apa pendapat Datin Seri, bila ada pihak tidak berpuas hati mengenai perlantikan Datuk Seri Mohamed Nazri sebagai duta ke Amerika Syarikat?
“Sukar untuk saya komen tentang perkara ini, kita tidak boleh menutup mulut semua pihak. Tapi bagi saya dan suami, kami lihat secara positif dan berusaha memastikan peranan kami di sini dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat membanggakan tanah air.
Yang pastinya keputusan itu melibatkan dua negara. Pihak Amerika yang akan membuat pilihan dan menilai selama 6 bulan untuk menerima Datuk Seri Mohamed Nazri sebagai duta Malaysia di Amerika,” jelas Datin Seri Haflin yang sering mengubat rasa homesick dengan bertemu rakyat Malaysia di sana.
“We’re not alone, kita rakyat Malaysia di sini bagai sebuah keluarga.”
This website uses cookies.