Naluri memiliki barang kemas sentiasa bersarang dalam diri wanita kerana mampu menterjemahkan kebahagiaan yang abadi. Malah barang kemas menzahirkan rasa sayang dan cinta yang tidak berbelah-bahagi sama ada barangan kemas diperbuat daripada emas kuning, putih atau batu permata. Pemilik jenama barang kemas dan permata terkemuka negara, Datin Sri Zarida Noordin terus komited dan berjaya menempatkan diri kelasnya yang tersendiri dalam industri ini.
Selama hampir 60 tahun HABIB menawarkan emas permata kepada pelanggan sudah tentu mempunyai resipi tersendiri dalam mengekalkan namanya di kalangan peminat barangan kemas. “Syarikat kami mempunyai warisan dan membina reputasi yang tersendiri. Mencari pelanggan tidak sukar tetapi memiliki pelanggan yang setia merupakan suatu cabaran. Oleh itu membina hubungan dan kepercayaan terhadap pelanggan sangat penting.
Kami sangat menekankan jualan selepas perkhidmatan. Selepas membuat pembelian, pelanggan bebas untuk datang kembali jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati pembelian tersebut. Apa sahaja yang dipersoalkan pelanggan kami akan cuba menangani dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kita membina kepercayaan di antara syarikat dan pelanggan,” jelas Datin Sri Zarida memulakan bicara.
Membawa masuk jenama antarabangsa PANDORA ke tanahair merupakan percaturan yang bijak buat pasangan ini. Berjaya menjadi outlet yang pertama di Asia bukan suatu tugas yang mudah. “Jenama PANDORA sudah tidak perlu diperkenalkan lagi ketika kami bermula pada tahun 2010. Saya masih ingat ketika di awal pembukaan dahulu ramai yang teruja apabila akhirnya terdapat sebuah concept store PANDORA di Malaysia.
Saya bersyukur kerana segala aturan kami dipermudahkan dengan masa yang tepat dan peluang tapak perniagaan yang sangat strategik. Ini adalah antara faktor kejayaan PANDORA dan telah dinobatkan sebagai salah satu francais terbaik PANDORA di Asia,” terang Pengarah Urusan PANDORA Malaysia & Brunei ini.
Sebagai wanita, mengemudi sebuah syarikat yang terkenal memerlukan komitmen dan ketegasan yang padu. “Sebagai seorang ketua, peranan saya adalah untuk membangunkan team atau pasukan baru yang telah terbina. Saya tidak akan boleh berjaya tanpa sokongan daripada pasukan. Kami perlu bekerjasama demi mencapai matlamat dalam perniagaan ini.
Saya selalu menekankan kepada pasukan saya untuk meletakkan diri sendiri sebagai pelanggan. Sebagai pelanggan apa yang kita harapkan daripada jurujual dan selalu menggembirakan hati pelanggan. Khidmat pelanggan sangat penting dan saya banyak menganjurkan kursus khidmat pelanggan di kalangan pasukan saya.
Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang ketua dan mengamalkan dasar terbuka di kalangan pekerja. Mereka boleh datang berjumpa dengan saya bila-bila masa sahaja dan boleh berbual tentang apa sahaja isu. Saya tidak mempunyai sebarang hierarki dan menganggap semua pekerja adalah sama. Saya berharap dapat memotivasikan pasukan menjadi seorang yang lebih baik. Apabila mereka mencapai sasaran secara tidak langsung saya mencapai peranan saya sebagai seorang ketua,” tegas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
Menurut ibu kepada Mirzan, 27 tahun, Marissa, 25 tahun, dan Mirsham, 24 tahun ini, nilai teras yang sering diterapkan dalam diri pasukannya adalah kejujuran dan keikhlasan. Tambah Datin Sri Zarida kedua-dua nilai ini sangat dalam setiap aspek kehidupan. Satu lagi nilai utama yang dipegang oleh wanita ini adalah setiap orang adalah usahawan. Anggap kerjaya yang diceburi merupakan perniagaan sendiri baharu semua orang boleh berjaya.
This website uses cookies.